Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin masyarakat Maghribi gesa tenang susulan pertempuran antimigran di Sepanyol

Jul 16, 2025 | 2:09 PM
antimigran, bantahan, torre pacheco, sepanyol
Polis membawa pergi seorang lelaki yang bertengkar dengan penunjuk perasaan di tengah-tengah pergolakan antimigran berikutan serangan ke atas seorang lelaki warga emas di Torre Pacheco, Sepanyol, pada 15 Julai. - Foto REUTERS

TORRE PACHECO (Sepanyol): Pemimpin masyarakat Maghribi di bandar Torre Pacheco di Sepanyol menyeru agar ketenangan dikembalikan selepas empat malam pertempuran antara pendatang Afrika Utara dengan kumpulan sayap kanan.

Pertempuran tersebut merupakan antara beberapa pergolakan paling teruk di negara itu sejak kebelakangan ini.

Polis telah menahan sekurang-kurangnya 14 orang setakat ini berhubung pertempuran yang berlaku pada 11 Julai selepas serangan minggu lalu ke atas seorang lelaki tempatan berusia 60-an tahun.

Kumpulan sayap kanan telah menggesa bantahan antipendatang pada 15 Julai yang menyaksikan lebih 120 pegawai Pengawal Awam dikerahkan untuk menjaga keselamatan di bandar itu, kata jurucakap pihak berkuasa wilayah itu.

Pihak berkuasa berkata tiga warga Maghribi yang disyaki terlibat dalam serangan itu telah ditahan, termasuk seorang lelaki berusia 19 tahun yang didakwa sebagai pelaku utama.

Lelaki itu ditahan pada petang 14 Julai di utara Sepanyol atas tuduhan melakukan serangan.

Jurucakap pejabat pemerintah pusat di wilayah Murcia berkata, tiada seorang pun daripada kesemua suspek yang ditahan tinggal di Torre Pacheco.

Selepas mesej tersebar di media sosial untuk “memburu” penduduk yang berasal dari Afrika Utara, pemimpin masyarakat Maghribi tempatan menggesa kesemua pihak supaya bertenang dan menasihatkan golongan muda agar duduk di rumah.

Gesaan itu dibuat selepas berpuluh-puluh orang bertempur dengan kumpulan sayap kanan dan polis pada hujung minggu dan pada 14 Julai.

“Kami mahukan keamanan... Kami tidak mahu keganasan atau orang yang datang dari luar membuat kacau di sini,” kata Encik Abdelali, jurucakap tidak rasmi masyarakat Maghribi yang telah tinggal di bandar itu selama 25 tahun.

Polis menahan tiga orang semalaman selepas konfrontasi dengan puluhan lelaki muda di kawasan kejiranan San Antonio, yang menempatkan majoriti pendatang asing yang mewakili hampir satu pertiga daripada 40,000 penduduk bandar itu, berdasarkan data pemerintah tempatan.

Rakaman menunjukkan para penunjuk perasaan, kebanyakannya bertopeng, melontar bunga api ke arah pegawai pencegah rusuhan yang bertindak balas dengan melepaskan peluru getah.

Pendakwa raya jenayah kebencian Sepanyol, Encik Miguel Angel Aguilar, menyatakan pejabatnya sedang menyiasat kejadian di Torre Pacheco, serta mesej media sosial yang menghasut keganasan terhadap pendatang.

Beliau turut mengesahkan pihak pendakwa sedang meneliti ucapan pemimpin parti sayap kanan Vox di Murcia, Encik Jose Angel Antelo, yang mengaitkan pendatang asing dengan jenayah. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg