Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Negara Eropah, Arab gesa masyarakat antarabangsa laksana sekatan terhadap Israel

Pengarah Eksekutif Yayasan Kemanusiaan Gaza letak jawatan serta-merta
May 26, 2025 | 12:11 PM
 Encik  Jose Manuel Albares, madrid
Menteri Ehwal Luar Sepanyol, Encik Jose Manuel Albares (enam dari kiri), bergambar bersama para wakil daripada negara Arab dan Eropah yang menyertai Persidangan Huraian Dua Negara di Madrid pada 25 Mei. - Foto AFP

MADRID: Masyarakat antarabangsa harus melihat sekatan terhadap Israel untuk menghentikan perang di Gaza, kata Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares ketika negara Eropah dan Arab berhimpun di Madrid pada 25 Mei.

Beberapa sekutu lama Israel juga menyuarakan tekanan antarabangsa ditingkatkan selepas Israel memperluaskan operasi ketenteraan terhadap Hamas di Gaza.

Sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan selama dua bulan telah memburukkan masalah kekurangan makanan, air, bahan api dan ubat-ubatan di wilayah Palestin, mencetuskan kebimbangan terhadap krisis kebuluran.

Organisasi bantuan kemanusiaan menyatakan bekalan yang dibenarkan Israel baru-baru ini untuk masuk ke Gaza adalah jauh daripada mencukupi.

Sidang di Madrid itu bertujuan menghentikan perang “tidak berperikemanusiaan” dan “tidak masuk akal” Israel di Gaza, kata Encik Albares kepada pemberita sebelum sidang dimulakan.

Bantuan kemanusiaan mesti memasuki Gaza “secara besar-besaran, tanpa syarat dan tanpa had, dan tidak dikawal oleh Israel”, tambahnya, sambil menyifatkan Jaluran Gaza sebagai “luka terbuka” manusia.

“Dengan berdiam pada saat-saat ini sama seperti bersubahat dengan pembunuhan beramai-ramai di sana... itulah sebabnya kami bertemu,” ujar Encik Albares lagi.

Wakil daripada negara Eropah termasuk Perancis, Britain, Jerman dan Italy menyertai utusan dari Mesir, Jordan, Arab Saudi, Turkey, Maghribi, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam.

Norway, Iceland, Ireland dan Slovenia, yang seperti Sepanyol telah pun mengiktiraf negara Palestin, turut menyertai, bersama Brazil.

Selepas Kesatuan Eropah memutuskan minggu ini mengkaji semula perjanjian kerjasamanya dengan Israel, Encik Albares memberitahu pemberita bahawa Sepanyol akan meminta “penggantungan segera”.

Sepanyol juga akan menggesa rakan kongsi agar mengenakan sekatan senjata ke atas Israel dan “tidak menolak sebarang” sekatan individu terhadap mereka “yang mahu merosakkan penyelesaian dua negara selama-lamanya”, tambahnya.

Pertemuan pada 25 Mei itu juga akan menggalak penyelesaian dua negara kepada konflik Israel-Palestin.

Menteri Luar Perancis, Encik Jean-Noel Barrot, yang bercakap melalui pautan video dengan rakan sejawatannya daripada Arab pada 25 Mei, menggesa “keperluan untuk tekanan yang diselaraskan” bagi gencatan senjata, bantuan dan pembebasan tebusan yang ditahan Hamas.

Encik Barrot juga akan bertemu Menteri Ehwal Luar, Penguasa Palestin, Cik Varsen Aghabekian Shahin, semasa lawatan ke Yerevan, Armenia, pada minggu depan.

Usaha diplomatik itu dibuat sebulan sebelum persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai konflik Israel-Palestin yang dipengerusikan oleh Perancis dan Arab Saudi.

Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez, berkata negaranya akan menyokong draf ketetapan di PBB bagi meningkatkan akses bantuan ke Gaza dan meminta Israel bertanggungjawab ke atas kewajipan kemanusiaan antarabangsanya.

Percubaan Madrid mendapatkan konsensus yang lebih luas mengenai perang Gaza itu timbul setahun selepas ia berpecah dengan beberapa sekutu Eropah dengan mengiktiraf sebuah negara Palestin, menimbulkan kemarahan Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu.

Serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas selatan Israel telah membunuh lebih 1,200 orang dan lebih 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.

Serangan balas Israel sehingga kini telah membunuh lebih 67,000 orang.

Dalam masa yang sama, Pengarah Eksekutif Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), Encik Jake Wood, dilapor meletak jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

Encik Wood berkata sebelum ini beliau menerima tanggungjawab bagi memimpin yayasan berkenaan sejak dua bulan lalu kerana terdorong membantu meringankan penderitaan rakyat Gaza.

“Seperti ramai pihak lain di seluruh dunia, saya amat terkesan dan sedih melihat krisis kebuluran di Gaza dan sebagai pemimpin kemanusiaan, saya rasa terpanggil untuk membantu meredakan penderitaan itu,” katanya dalam kenyataan 25 Mei.

Encik Wood menegaskan beliau bangga dengan usaha yang dilaksanakannya, termasuk merangka satu pelan pragmatik memberi makanan kepada golongan kebuluran, menangani isu keselamatan berkaitan penyelewengan bantuan serta melengkapi usaha badan bukan pemerintah (NGO) sedia ada di Gaza.

GHF adalah sebuah yayasan tajaan Amerika Syarikat yang mencetuskan kontroversi berikutan rancangannya menyalurkan bantuan ke Semenanjung Gaza.

Yayasan yang beribu pejabat di Geneva sejak Februari lalu sebelum ini berikrar akan mengagihkan sekitar 300 juta hidangan dalam tempoh 90 hari pertama operasi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg