CARACAS: Ribuan penyokong Presiden Venezuela yang digulingkan, Encik Nicolas Maduro, turun ke jalan-jalan utama ibu kota, Caracas, pada 6 Januari bagi menuntut pembebasannya daripada tahanan Amerika Syarikat, ketika pemimpin sementara negara itu, Cik Delcy Rodríguez, menegaskan pemerintah yang dipimpinnya masih berkuasa dan tiada campur tangan asing mentadbir Venezuela.
Perarakan besar itu berlaku tiga hari selepas operasi tentera khas Amerika menangkap Encik Maduro dan isterinya, Cik Cilia Flores, dalam satu serbuan mengejut di Caracas sebelum membawa pasangan itu ke New York pada 3 Januari.
Kedua-duanya kini ditahan di Pusat Tahanan Metropolitan, Brooklyn, dan pada 5 Januari mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkaitan dadah dan senjata api.
“Pemerintah Venezuela mentadbir negara kami. Tiada siapa yang lain. Tiada ejen luar yang memerintah Venezuela,” kata Cik Rodríguez dalam satu kenyataan awam.
Ia secara langsung menyangkal dakwaan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bahawa Washington kini “mengawal” negara Caribbean itu.
Cik Rodríguez turut mengumumkan tujuh hari berkabung nasional bagi memperingati mangsa yang terkorban akibat serangan Amerika di Caracas.
“Tiada perang di sini kerana kami bukan negara yang berperang. Kami adalah rakyat yang cintakan keamanan, tetapi telah diserang dan dianiaya,” tegasnya, sambil menuntut pemulangan segera Encik Maduro dan Cik Flores ke Venezuela.
Setakat ini, pemerintah Venezuela belum mengeluarkan angka rasmi korban.
Namun, pendakwa raya negara itu memaklumkan tiga pegawai khas telah dilantik untuk menyiasat kematian yang dianggarkan mencecah “berpuluh-puluh” orang.
Tentera Venezuela pada 5 Januari mengesahkan 23 anggotanya terkorban, termasuk lima jeneral.
Cuba pula mengesahkan 32 rakyatnya terbunuh, kebanyakannya daripada pasukan keselamatan peribadi Encik Maduro.
Walaupun jumlah sebenar peserta perarakan sukar disahkan, beberapa ribu penyokong Encik Maduro dilihat memenuhi jalan utama ibu kota itu sebelum perhimpunan itu berakhir dengan satu rapat umum yang turut disertai beberapa pegawai pemerintah dan disiarkan secara langsung di televisyen negara.
Dalam ucapannya, Menteri Dalam Negeri Venezuela, Encik Diosdado Cabello, yang juga berdepan pertuduhan di Amerika, menyampaikan mesej tegas kepada penyokong.
“Suara rakyat Venezuela sedang bangkit, menuntut Nicolas dan Cilia dikembalikan kepada kami. Bersama kamu, kami bersedia untuk berjuang,” katanya.
Pada masa yang sama, pemerintah Venezuela dilihat memperketat kawalan keselamatan.
Laporan media tempatan dan pemerhati antarabangsa menyebut kewujudan sekatan jalan raya, pemeriksaan telefon bimbit orang awam, penahanan wartawan serta penangkapan sekurang-kurangnya dua individu yang didakwa meraikan penahanan Encik Maduro.
Hampir tiada kelihatan tanda-tanda kehadiran pembangkang di jalanan.
Kumpulan militia bersenjata propemerintah yang dikenali sebagai, Colectivos, dilaporkan berkawal secara meluas di ibu kota sejak beberapa hari lalu.
Beberapa penduduk mendakwa mereka disoal siasat dan telefon mereka diperiksa bagi mengesan sebarang sokongan terhadap serangan Amerika.
Ketegangan itu semakin memuncak susulan pendedahan satu dokumen perintah darurat selama 90 hari yang didakwa dikeluarkan pemerintah Venezuela.
Dokumen yang diperoleh The New York Times itu mengarahkan polis agar “segera mencari dan menahan” mana-mana individu yang menyokong “serangan bersenjata Amerika”, selain memperluas langkah yang mengehadkan kebebasan awam di negara yang sudah lama diperintah secara autoritarian itu.
Cik Rodríguez sebelum ini mengumumkan dekri itu dalam ucapan kepada negara, menyatakan ia telah dihantar ke Mahkamah Agung Venezuela dan berkuat kuasa “bermula sekarang”.
“Kami bersedia mempertahankan Venezuela dan mempertahankan sumber semula jadi kami,” katanya.
Bagaimanapun, status perundangan dokumen itu masih tidak jelas kerana ia belum disiarkan dalam warta rasmi pemerintah, satu syarat penting untuk menjadikannya mengikat secara sah.
Begitupun, dokumen tersebut telah tersebar luas dalam kalangan media tempatan, pertubuhan bukan pemerintah dan turut dirujuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dekri berkenaan juga mengarahkan penempatan menyeluruh angkatan tentera di seluruh Venezuela dan di sempadan negara, termasuk pengambilalihan sementara industri minyak serta perkhidmatan awam dan prasarana strategik oleh pihak tentera.
Ia turut memberi kuasa luas kepada Cik Rodríguez untuk menutup sempadan, mengehadkan kemasukan ke negara itu serta menggantung hak berhimpun, berhijrah dan bergerak bebas.
Pakar perlembagaan dari Universiti Pusat Venezuela, Encik Juan Carlos Apitz, berkata dekri tersebut pada hakikatnya memberi pengiktirafan rasmi kepada amalan yang telah lama dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
“Apa yang berlaku sebelum ini kini dijadikan rasmi di atas kertas,” katanya.
Namun, beliau memberi amaran bahawa Artikel Lima dekri itu membuka ruang luas untuk penahanan sewenang-wenangnya.
“Soalnya, siapa yang menentukan sokongan itu, dan berdasarkan kriteria apa? Adakah satu mesej WhatsApp sudah memadai untuk menuduh seseorang menyokong serangan Amerika?” katanya.
Encik Apitz menyifatkan dekri itu sebagai tanda pemerintah berada dalam keadaan terdesak.
Beliau menambah, dekri tersebut boleh digunakan sebagai alasan untuk memburu pihak yang disyaki terlibat atau membenarkan penahanan Encik Maduro.
“Persoalan terbesar sekarang ialah: Siapa yang menyerahkan Maduro?” kata Encik Apitz. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg