DAMSYIK: Pemimpin gabungan pemberontak yang menumbangkan rejim Bashar al-Assad, Encik Ahmed al-Sharaa, menyeru Amerika Syarikat dan negara lain agar menarik balik sekatan ekonomi ke atas Syria.
Dalam wawancara pada 16 Disember, Encik Sharaa menekankan bahawa sekatan perlu ditamatkan bagi membolehkan Syria dibina semula selepas lebih sedekad dilanda perang saudara.
“Kami berada di medan perang selama ini, tetapi sekarang adalah masa untuk membina semula Syria,” kata Encik Sharaa dalam pertemuan bersama wartawan di Damsyik.
Beliau menyatakan bahawa sekatan yang dikenakan sebelum ini adalah terhadap “penindas”, merujuk kepada rejim Assad dan kini ia tidak lagi relevan selepas kejatuhan rejim tersebut.
Sementara itu, Encik Assad akhirnya memecah kebisuannya sejak melarikan diri ke Russia.
“Keluarnya saya dari Syria bukanlah dirancang dan ia tidak berlaku pada saat-saat akhir pertempuran seperti yang didakwa,” kata Encik Assad dalam kenyataan yang disiarkan melalui saluran Telegramnya.
Beliau mendakwa dirinya mahu terus “berjuang dan menjalankan tugas”, tetapi dipindahkan ke Russia oleh pihak tentera negara tersebut apabila pemberontak semakin mara ke Damsyik.
“Negara ini kini berada dalam tangan pengganas,” ujarnya.
Encik Sharaa, yang sebelum ini dikenali sebagai Abu Mohammed al-Jolani dan pemimpin kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), menegaskan bahawa masa untuk peperangan telah tamat dan tumpuan kini adalah untuk membentuk pemerintah yang bersifat terangkum.
Ketika ditemui di bangunan yang dahulunya menempatkan pejabat perdana menteri, Encik Sharaa tampil dengan pakaian sut kelabu dan kemeja biru, meninggalkan seragam tenteranya.
“Ketika peperangan, kami berpakaian tentera. Kini, dalam pertemuan awam, kami berpakaian seperti rakyat biasa,” katanya.
Encik Sharaa turut menyeru agar label keganasan yang dikenakan terhadap HTS oleh Amerika ditarik balik.
Namun, beliau menegaskan bahawa tuduhan itu tidak menjadi keutamaan baginya.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa negara termasuk Turkey dan Qatar telah mula membuka semula kedutaan masing-masing di Damsyik.
Encik Sharaa turut bertemu dengan wakil khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Encik Geir O. Pedersen, sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik ke arah pemulihan Syria.
Di tengah-tengah perubahan landskap politik Syria, kegiatan ketenteraan asing masih berlanjutan.
Tentera Amerika melaporkan telah melancarkan serangan udara pada 16 Disember yang menyasarkan saki-baki kumpulan militan IS di kawasan tengah Syria.
Dalam masa yang sama, Russia masih belum membuat keputusan muktamad berhubung pangkalan tenteranya di negara tersebut.
Jurucakap Kremlin, Encik Dmitri Peskov, berkata bahawa Russia sedang “berhubung” dengan pihak berkuasa baharu Syria.
Di kawasan pantai Mediterranean Syria, Israel pula dilaporkan telah melancarkan beberapa serangan udara terhadap lokasi yang sebelum ini dikawal tentera Syria, termasuk tapak pertahanan udara dan gudang peluru.
Serangan itu dipercayai bertujuan mencegah senjata jatuh ke tangan kumpulan pelampau.
Encik Shara turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Israel yang mara ke zon penampan Syria-Israel.
“Kami komited untuk mematuhi perjanjian 1974, tetapi kami menggesa masyarakat antarabangsa agar memastikan Israel juga mematuhinya,” kata beliau, merujuk kepada perjanjian gencatan senjata selepas Perang Yom Kippur.
Ketika Encik Sharaa menyeru bantuan antarabangsa untuk pembangunan semula negara, beliau turut menegaskan bahawa keutamaan kepimpinannya adalah membentuk institusi awam yang berkhidmat untuk semua rakyat Syria tanpa mengira etnik atau agama.
“Kami perlu membina negara yang adil untuk semua rakyat Syria. Kami tidak boleh lagi berpatah balik ke masa lalu,” tegas Encik Sharaa dalam wawancara tersebut. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg