NEW YORK: Kesahihan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat menangkap Presiden Venezuela, Encik Nicolas Maduro, dijangka menjadi tumpuan utama perbincangan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 5 Januari.
Namun, Washington dijangka tidak berdepan kritikan keras daripada sekutu rapatnya walaupun operasi itu mencetuskan kebimbangan serius dari sudut undang-undang antarabangsa.
Majlis Keselamatan PBB yang dianggotai 15 negara dijadual bermesyuarat pada 5 Januari susulan operasi oleh Pasukan Khas Amerika pada 3 Januari yang membawa kepada penahanan Encik Maduro.
Operasi itu dilaporkan menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Caracas dan menyasarkan beberapa kemudahan ketenteraan, dengan pihak berkuasa Venezuela menyatakan terdapat korban jiwa.
Encik Maduro kini ditahan di New York dan dijangka hadir ke mahkamah pada 5 Januari untuk berdepan pertuduhan berkaitan dadah.
Russia, China serta beberapa sekutu Venezuela mengecam tindakan Amerika menuduh Washington melanggar undang-undang antarabangsa.
Namun, reaksi daripada sekutu Barat Amerika dilihat lebih berhati-hati dan tidak lantang.
“Berdasarkan reaksi pemimpin Eropah setakat ini, saya menjangkakan sekutu Amerika akan mengambil pendirian berkecuali secara halus dalam Majlis Keselamatan,” kata Pengarah Isu Sejagat dan Institusi di Kumpulan Krisis Antarabangsa, Encik Richard Gowan.
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, melalui jurucakapnya pada 3 Januari menyatakan operasi ketenteraan Amerika itu mewujudkan “contoh berbahaya” dalam hubungan antarabangsa.
Ramai pakar undang-undang turut berpandangan tindakan Amerika tidak sah, walaupun Washington mempunyai keupayaan menyekat sebarang tindakan terhadapnya di Majlis Keselamatan.
Selepas operasi tersebut, kebanyakan negara Eropah hanya menyeru agar undang-undang antarabangsa dihormati tanpa menyebut secara langsung Amerika.
Namun, Menteri Luar Perancis, Encik Jean-Noel Barrot, tampil lebih tegas dengan menyatakan tindakan Washington melanggar “prinsip larangan penggunaan kekerasan yang menjadi asas undang-undang antarabangsa”.
Piagam PBB dengan jelas menyatakan semua negara anggota “hendaklah menahan diri daripada ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap keutuhan wilayah atau kebebasan politik mana-mana negara”.
PBB kini mempunyai 193 negara anggota.
Duta Amerika ke PBB, Encik Mike Waltz, mempertahankan operasi tersebut dengan merujuk kepada Artikel 51 Piagam PBB, yang memperuntukkan hak mempertahankan diri secara individu atau kolektif jika berlaku serangan bersenjata terhadap sesebuah negara anggota.
“Dalam kes itu, kita berdepan seorang dalang dadah, pemimpin tidak sah yang didakwa di Amerika, yang bersekongkol dengan China, Russia, Iran dan kumpulan pengganas seperti Hezbollah, menyalurkan dadah, penjenayah dan senjata ke Amerika serta mengancam jiran-jirannya,” katanya dalam temu bual bersama Fox News.
Namun, pakar undang-undang antarabangsa menolak hujah tersebut.
Mereka menegaskan operasi itu tidak mendapat kebenaran Majlis Keselamatan PBB, tidak dilakukan dengan persetujuan Venezuela, dan tidak memenuhi kriteria mempertahankan diri daripada serangan bersenjata.
“Tindakan itu melanggar undang-undang antarabangsa,” kata Profesor Tom Dannenbaum dari Sekolah Undang-undang Stanford.
“Bantahan undang-undang yang serius terhadap rejim Maduro tidak menghapuskan keperluan kepada asas undang-undang yang sah untuk menggunakan kekuatan ketenteraan di Venezuela,” ujarnya.
Walaupun terdapat kecaman, Amerika hampir mustahil dipertanggungjawabkan oleh Majlis Keselamatan PBB.
Sebagai salah satu daripada lima anggota tetap bersama Russia, China, Britain dan Perancis, Washington mempunyai kuasa veto untuk menghalang sebarang ketetapan yang bertujuan mengambil tindakan terhadapnya.
Encik Maduro sebelum ini didakwa oleh Amerika pada 2020 atas beberapa pertuduhan, termasuk konspirasi keganasan berkaitan dadah, yang sentiasa dinafikannya.
Profesor Milena Sterio dari Cleveland State University College of Law menegaskan walaupun terdapat dakwaan penyeludupan dadah, ia tidak memenuhi takrif serangan bersenjata.
“Walaupun Maduro bertanggungjawab menyeludup dadah ke Amerika, perbuatan itu tidak boleh dianggap sebagai serangan bersenjata dan tidak memberi kebenaran kepada Amerika untuk menggunakan kekerasan atas alasan mempertahankan diri,” katanya.
Beliau turut menegaskan Amerika “tidak boleh menggunakan bidang kuasa luar wilayah untuk menangkap individu di mana-mana sahaja sesuka hati”.
Pandangan sama disuarakan oleh Profesor Adil Haque dari Sekolah Undang-Undang Rutgers, yang menyifatkan penahanan Encik Maduro sebagai “pelanggaran jelas terhadap prinsip kekebalan dan kedaulatan seorang ketua negara yang sedang berkhidmat”.
“Walaupun kesahihan demokratiknya boleh dipersoal, beliau jelas menjalankan fungsi rasmi sebagai ketua negara,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg