JAKARTA: Keputusan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo untuk menarik larangan lama eksport pasir laut di Indonesia telah mencetuskan bantahan daripada golongan pencinta alam sekitar dan masyarakat pesisir pantai.
Mereka melahirkan rasa bimbang langkah itu boleh memusnahkan ekosistem marin dan membahayakan pulau-pulau kecil yang sudah terancam oleh hakisan.
Media tempatan melaporkan, peraturan mengenai eksport pasir laut itu ditetapkan di bawah Peraturan Pemerintah mengenai Pengelolaan Hasil Pemendapan Laut.
Langkah pemerintah Indonesia melonggarkan larangan eksport pasir laut itu telah mendapat kritikan daripada aktivis alam sekitar dan beberapa ahli politik.
Mereka mendakwa tindakan itu mengeksploitasi alam sekitar dan membawa kesan negatif dari segi sosial.
Dalam responsnya, Encik Jokowi menyatakan apa yang dieksport bukanlah pasir laut, tetapi adalah mendapan (sedimen).
“Ini bukan pasir laut. Apa yang dibenarkan (untuk dieksport) adalah mendapan,” kata Presiden Jokowi pada 17 September.
Larangan eksport yang telah berkuat kuasa selama lebih 20 tahun ditarik balik pada 9 September selepas Menteri Perdagangan, Encik Zulkifli Hasan, meminda peraturan tersebut.
Dalam satu kenyataan media, kementeriannya telah mengenal pasti pasir laut sebagai salah satu bentuk mendapan.
Langkah itu diambil lebih setahun selepas Encik Jokowi pada Mei 2023 mengeluarkan peraturan bagi membenarkan pemegang lesen perlombongan mengumpul dan mengeksport pasir laut, dengan syarat keperluan domestik telah dipenuhi.
Pemerintah Indonesia dilaporkan merancang mengorek mendapan laut di tujuh kawasan perairan iaitu Demak, Surabaya, Cirebon, Indramayu, Karawang, Kutai Kartanegara dan Balikpapan, serta di Pulau Karimun, Pulau Lingga, dan Pulau Bintan di Kepulauan Riau.
Langkah itu diambil bagi membersihkan laluan perkapalan yang dikatakan terhalang oleh mendapan laut, namun ramai yang mempersoalkan rasional di sebalik keputusan ini, lapor laman web, Tempo.co.
Pengurus Kempen untuk Pesisir dan Pulau Kecil di Forum Lingkungan Hidup Indonesia (Walhi), Encik Parid Ridwanuddin, mengkritik rancangan tersebut dengan menyatakan bahawa keputusan itu tidak berasaskan kajian saintifik yang kukuh.
Menurut beliau, alasan pemerintah bahawa pemendapan laut menyekat laluan perkapalan adalah tidak berasas, terutama kerana kawasan tersebut sebenarnya mempunyai perairan yang dalam.
Encik Parid menegaskan bahawa tidak wujud halangan yang ketara di laluan perkapalan utama di kawasan tersebut, dan oleh itu, tindakan mengorek sedimen laut mungkin lebih memberi kesan buruk kepada ekosistem marin.
Aktivis Greenpeace Indonesia menyatakan bahawa perlombongan pasir laut boleh merosakkan ekosistem marin, menghancurkan habitat biodiversiti dan memburukkan hakisan pantai serta banjir pasang surut.
“Aktiviti perlombongan pasir ini merosakkan kawasan tangkapan ikan nelayan, mengurangkan produktiviti dan dalam jangka panjang boleh menyebabkan isu keselamatan makanan,” kata Encik Afdillah Chudiel, di laman rasmi kempen laut Greenpeace Indonesia.
Larangan asal yang dikuatkuasakan pada 2003 oleh Presiden Megawati Sukarnoputri bertujuan melindungi alam sekitar dan mengelakkan pulau-pulau kecil daripada tenggelam akibat kegiatan perlombongan pasir.
Pentadbiran Presiden Jokowi mendakwa bahawa tidak akan berlaku kerosakan alam sekitar dalam eksport pasir kali ini kerana ia akan dikenakan syarat ketat.
Antara syarat utama adalah pasir yang diekstrak hanyalah mendapan yang ditemui di tujuh wilayah Indonesia, termasuk Pulau Jawa, Kalimantan dan Kepulauan Riau.
Namun, aktivis Greenpeace seperti Encik Afdillah menegaskan bahawa mendapan yang sepatutnya adalah dalam bentuk lumpur yang tidak mempunyai nilai komersial, bukan pasir yang boleh dieksport.
“Apa yang dijelaskan hanyalah alasan untuk membenarkan perlombongan pasir dan eksportnya ke luar negara,” tegas Enck Afdillah.
Beberapa Anggota Parlimen Indonesia turut mengecam keputusan itu, dengan mendakwa bahawa pemerintah hanya bermain dengan ‘semantik’ apabila menyebut eksport sebagai mendapan.
“Pada pandangan saya, ini hanya menguntungkan segelintir pihak,” kata Encik Deddy Yevry Sitorus, ahli Parlimen dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), kepada CNN Indonesia.
Ahli Parlimen Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Encik Amin Ak, turut menambah bahawa eksport pasir laut berisiko membawa kesan buruk kepada alam sekitar dan sosial di Indonesia, terutama dalam hal pengawasan dan penguatkuasaan undang-undang yang dianggap lemah.
“Siapa yang boleh menjamin bahawa pasir yang diambil adalah benar-benar mendapan?” soal Encik Amin.
Pakar ekonomi seperti Encik Bhima Yudhistira, pengarah eksekutif Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-undang, turut berpendapat bahawa keuntungan ekonomi daripada eksport itu tidak sepadan dengan kesan buruk terhadap alam sekitar.
Bagi komuniti tempatan, kegiatan itu boleh mengganggu laluan nelayan dan mengurangkan sumber laut di sekitar kawasan pantai kerana pasir yang diambil menyebabkan perubahan ekosistem.
Hakisan pantai dan kemusnahan habitat laut seperti padang rumput laut serta terumbu karang merupakan antara kesan utama yang dihadapi.
Padang rumput laut berfungsi sebagai habitat penting bagi banyak spesies marin dan membantu dalam penyerapan karbon, manakala terumbu karang memainkan peranan dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem marin.
Memandangkan risiko alam sekitar yang besar, pemerintah Indonesia berhadapan dengan cabaran serius dalam mengawal selia industri perlombongan pasir laut ini.
Penguatkuasaan yang ketat diperlukan bagi memastikan bahawa faedah yang diperoleh melebihi kos alam sekitar.
Penilaian kesan alam sekitar (EIA) merupakan alat penting untuk menilai kesan penambangan pasir sebelum permit dikeluarkan.
Namun, terdapat kritikan bahawa penilaian itu kerap diabaikan atau tidak dilaksanakan dengan baik.
Masyarakat pesisir pantai yang bergantung kepada sumber laut juga perlu dilibatkan dalam proses membuat keputusan mengenai penambangan pasir itu.
Kegagalan untuk berunding dengan masyarakat itu boleh mencetuskan konflik sosial dan memperburukkan lagi masalah kemiskinan di kawasan pesisir. – Agensi berita.
“
“Aktiviti perlombongan pasir ini merosakkan kawasan tangkapan ikan nelayan, mengurangkan produktiviti dan dalam jangka panjang boleh menyebabkan isu keselamatan makanan... Apa yang dijelaskan hanyalah alasan untuk membenarkan perlombongan pasir dan eksportnya ke luar negara.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg