ISTANBUL — Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, yang dilihat sebagai pencabar utama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dijangka tampil di mahkamah pada 10 April buat kali pertama sejak penahanannya bulan Mac lalu atas dakwaan menghina seorang pendakwa raya.
Perbicaraan itu dijadualkan berlangsung di kompleks mahkamah-penjara di daerah Silivri, Istanbul, di mana Imamoglu kini ditahan. Kes ini berkisar kepada dakwaan bahawa beliau telah menghina dan mengugut Ketua Pendakwa Raya Istanbul, Encik Akin Gurlek.
Encik Imamoglu, yang juga anggota Parti Rakyat Republikan (CHP) — parti pembangkang utama di Turkey — telah ditahan pada Mac lalu sementara menunggu perbicaraan berkaitan tuduhan berasingan iaitu rasuah dan membantu kumpulan pengganas.
Penahanan itu mencetuskan gelombang protes besar-besaran di seluruh Istanbul, kejatuhan nilai aset Turkey dan dakwaan meluas bahawa sistem kehakiman negara itu dipolitikkan.
Pendakwa raya kini menuntut hukuman penjara sehingga tujuh tahun empat bulan terhadap Encik Imamoglu atas kenyataan yang dibuat awal tahun 2025 ini yang mengkritik tindakan Encik Gurlek.
Dalam pertuduhan yang difailkan oleh unit jenayah pengganas Pejabat Ketua Pendakwa Raya Istanbul, Encik Imamoglu dituduh cuba menakut-nakutkan Encik Gurlek melalui kenyataannya.
Bagaimanapun, Encik Imamoglu tidak memberi sebarang komen kepada umum mengenai pertuduhan terbaharu ini, namun dalam kes-kes terdahulu beliau telah menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan menyifatkannya bermotifkan politik.
“Kami melihat tindakan ini sebagai cubaan sistematik pemerintah untuk menyingkirkan pemimpin pembangkang yang dipilih secara sah oleh rakyat,” kata jurucakap Parti CHP dalam kenyataan rasmi.
CHP turut menuduh badan kehakiman Turkey menjadi alat kepada kepentingan politik Presiden Erdogan, terutama selepas beberapa orang Datuk Bandar daripada parti itu turut ditahan sebelum ini.
Bagaimanapun, pihak pemerintah menolak dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa sistem kehakiman Turkey kekal bebas.
“Pemerintah tidak mencampuri urusan mahkamah. Segala proses undang-undang berjalan mengikut peraturan dan kebebasan kehakiman di negara ini tidak boleh dipertikaikan,” kata jurucakap rasmi pemerintah seperti dilaporkan Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg