Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ribuan sertai protes tujuh malam berturut-turut selepas lebih 1,400 ditahan di Turkey

Mar 26, 2025 | 1:54 PM
Anggota polis berkawal ketika orang ramai menyertai protes membantah penahanan Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, yang disiasat atas dakwaan rasuah, di hadapan bangunan Perbandaran Metropolitan Istanbul, di Istanbul, Turkey, pada 26 Mac 2025.
Anggota polis berkawal ketika orang ramai menyertai protes membantah penahanan Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, yang disiasat atas dakwaan rasuah, di hadapan bangunan Perbandaran Metropolitan Istanbul, di Istanbul, Turkey, pada 26 Mac 2025. - Foto REUTERS

ISTANBUL: Ribuan rakyat Turki terus membanjiri jalan-jalan utama di Istanbul untuk malam ketujuh berturut-turut dalam siri protes besar-besaran susulan penahanan Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu — tokoh pembangkang yang dilihat sebagai pencabar utama Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Lebih 1,400 orang telah ditahan setakat ini, termasuk pelajar, wartawan dan peguam. Antara yang dibicarakan di mahkamah pada 25 Mac termasuk jurufoto agensi berita AFP, Yasin Akgul, yang ditahan ketika membuat liputan tunjuk perasaan.

“Yasin bukan penunjuk perasaan. Beliau hadir sebagai wartawan, dan gambar-gambarnya adalah bukti kerja profesional,” tegas Pengerusi AFP, Encik Fabrice Fries dalam surat terbuka kepada Presiden Erdogan.

Protes bermula minggu lalu selepas Encik Imamoglu ditahan atas dakwaan rasuah, satu tuduhan yang dianggap bermotif politik oleh penyokongnya dan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai pertubuhan hak asasi telah mengecam kekasaran pihak polis serta tindakan pemerintah menyekat kebebasan bersuara.

“Tuduhan ini direka untuk melemahkan suara rakyat. Saya tidak akan tunduk,” kata Encik Imamoglu dalam kenyataan ringkas sebelum dibawa ke pusat tahanan.

Pada malam 25 Mac, ribuan pelajar universiti berhimpun di Taman Maçka sebelum berarak ke arah daerah Şişli. Mereka melaungkan slogan seperti “Pemerintah, letak jawatan!” sambil membawa sepanduk dan bendera.

Walaupun pihak berkuasa melarang perhimpunan dan menutup beberapa jalan utama atas alasan “keselamatan awam”, kehadiran pelajar yang besar tetap mencetuskan perhatian. Ramai antara mereka memakai pelitup muka atau selendang bagi mengelak dikenali pihak berkuasa, mencerminkan ketakutan terhadap penindasan.

“Kami hanya mahukan keadilan. Kami tak bersenjata, hanya bersuara,” kata Encik Emre, seorang pelajar sains politik yang menyertai perarakan.

Parti utama pembangkang, Parti Rakyat Republikan (CHP), mengumumkan bahawa himpunan malam 25 Mac adalah yang terakhir untuk minggu ini, namun merancang satu perhimpunan besar di Dataran Taksim, Istanbul pada hari Sabtu, 29 Mac.

“Adakah anda bersedia untuk satu perhimpunan besar Sabtu ini?” soal pemimpin CHP, Encik Ozgur Ozel kepada orang ramai.
“Untuk menyokong Imamoglu, menolak penahanan wali kota kami, dan menuntut perbicaraan terbuka serta pilihan raya awal.”

Dalam satu majlis berbuka puasa di Ankara, Presiden Erdogan menyifatkan keadaan ini sebagai “hari-hari yang sangat sensitif”, dan menggesa rakyat untuk bersabar dan menggunakan akal budi.

“Mereka yang mahu menjadikan negara ini medan kekacauan tiada tempat dalam masyarakat kita,” katanya, sambil menambah bahawa laluan yang diambil oleh para penunjuk perasaan “adalah jalan buntu.”

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak meredakan ketegangan. Menteri Dalam Negeri, Encik Ali Yerlikaya, berkata seramai 1,418 orang telah ditahan dan 478 daripadanya dihadapkan ke mahkamah pada 25 Mac. “Tiada kompromi terhadap mereka yang cuba mencetuskan huru-hara, menyerang nilai moral dan pihak polis kita,” katanya melalui hantaran media sosial.

Encik Imamoglu masih dibenarkan bertanding dalam pilihan raya presiden selagi tidak disabitkan kesalahan. Namun, sekiranya sabitan berlaku, beliau akan hilang kelayakan secara automatik.

Encik Erdogan, yang telah memegang kuasa selama 22 tahun, dijangka menamatkan penggalnya pada 2028. Di bawah perlembagaan sedia ada, beliau tidak boleh bertanding semula tetapi pemerhati politik menjangka beliau mungkin cuba meminda undang-undang atau mengadakan pilihan raya awal.

Kementerian Kehakiman Turkey menolak dakwaan bahawa Presiden Erdogan terlibat dalam penahanan tersebut, dan menegaskan sistem kehakiman negara itu adalah bebas.

Namun, sokongan awam terhadap Encik Imamoglu dilihat semakin kuat. Seorang peserta protes, Encik Ayse Demir, seorang peguam berusia 42 tahun, berkata:
“Jika suara rakyat disekat, kami akan terus turun ke jalan. Imamoglu bukan hanya individu — beliau simbol harapan bagi masa depan Turkey yang lebih adil.” - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg