Seorang pencipta sistem pintu yang menjimatkan ruang dan digunakan secara meluas di flat HDB dan rumah tempatan lain telah memenangi kesnya di Mahkamah Tinggi ke atas pesaing yang mendakwa pintu serupa adalah hasil rekaannya.
Saman di Mahkamah Tinggi telah dikemukakan oleh Encik Ng Say Keong, pemilik tunggal dalam perniagaan mereka bentuk, memasarkan dan memasang pintu di Singapura, lapor The Straits Times (ST).
Beliau telah mendaftarkan perniagaannya S & K Solid Wood Doors pada 2006 dan memohon paten Singapura bagi sistem pintu gelongsor-ayun yang beliau cipta itu pada 2014.
Paten tersebut telah disahkan pada 2015 dan menamakan produk tersebut ‘SK Door’. Pelanggannya termasuk pereka dalaman, kontraktor, pemaju swasta dan HDB.
Beliau berkata pada Julai 2023, seorang saudara kepada pelanggannya telah memasang pintu gelongsor-ayun yang dibeli daripada Jia Le Aluminium dan 9 Power Aluminium & Glass, dan pekerja yang memasang pintu tersebut didakwa memperkenalkan diri mereka sebagai daripada ‘SK Doors’.
Jia Le didaftarkan di Singapura pada 2017 dan 9 Power pula pada 2018. Mereka berkongsi alamat berdaftar yang sama serta pemegang saham dan pengarah sama, Encik Koh Thiam Hock dan Encik Lim Swee Kiat.
Apabila Encik Ng memeriksa pintu-pintu yang dipasang di rumah saudara pelanggannya, beliau mendapati bahawa ia bukan produknya.
Beliau kemudian mengupah seorang penyiasat privet untuk menjalankan ‘pembelian perangkap’ di bilik pameran Jia Le dan 9 Power.
Penyiasat itu ditunjukkan sebuah pintu gelongsor-ayun yang dirujuk sebagai pintu SK. Setelah diperiksa, Encik Ng mengesahkan bahawa ia bukan pintu yang dipatenkannya.
Encik Ng menyaman Jia Le dan 9 Power di Mahkamah Tinggi pada Mac 2024, menuduh mereka melanggar patennya dan menjual produk mereka sebagai pintu SK.
Jia Le dan 9 Power menafikan dakwaan tersebut dan mencabar kesahihan paten Encik Ng.
Kes Mahkamah Tinggi telah didengar selama lima hari pada Mei dan Julai.
Dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan pada 5 Disember, Hakim Dedar Singh Gill memutuskan bahawa Jia Le dan 9 Power telah menjual pintu SD sebagai pintu SK.
Hakim Gill berkata: “Pintu SK telah dipasang di bilik pameran mereka... dan terdapat pelbagai bahan (contohnya, kemasan kayu gelap, kemasan marmar hitam) dengan label berangka yang ditampal pada pintu SK”.
Jia Le dan 9 Power tidak mempertikaikan bahawa terdapat pintu SK di bilik pamerannya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg