Sebanyak 20 firma tempatan dinamakan pemenang Anugerah Jenama Berprestij Singapura (SBPA) 2025 pada majlis anugerah yang diadakan di Hotel Parkroyal Collection Marina Bay pada 9 Disember.
Antara jenama yang diiktiraf kali ini termasuk syarikat digital GO-GENIE yang dipacu kecerdasan buatan (AI), agensi perkhidmatan e-dagang Jumpstart Commerce dan firma perunding digital Jeffery.
Ditubuhkan pada 2002 oleh Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (ASME) dan akhbar bahasa Cina Lianhe Zaobao, anugerah tersebut merupakan antara pengiktirafan paling lama bagi jenama tempatan di Singapura.
Ia meraikan jenama tempatan yang cemerlang dalam strategi penjenamaan, kehadiran pasaran dan inovasi, lapor The Straits Times (ST).
Lima firma menerima pengiktirafan untuk jenama baru yang bakal berkembang, 11 untuk jenama mapan dan empat untuk jenama warisan.
Pemenang utama setiap kategori akan diumumkan di acara gala pada 2 Januari 2026.
Selain penaja Maybank, Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dan Pejabat Hak Cipta Intelektual Singapura (Ipos) turut terlibat dalam penilaian, kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur dari ASME, Encik Alan Tan.
“Dengan begitu banyak anugerah ketika ini, saya merasakan anugerah yang disokong agensi pemerintah tempatan mewujudkan lebih kepercayaan,” katanya.
Pengiktirafan itu, tambahnya, menjadi tanda mutu, terutamanya apabila jenama tersebut berkembang ke luar negara.
Timbalan Editor Lianhe Zaobao, Cik Quek Lee Kiang, berkata jenama pemenang masing-masing melalui pertumbuhan unik dalam tahun yang mencabar dengan tarif dan peningkatan kos.
Lebih 30 syarikat yang disenarai pendek melalui dua pusingan penilaian sejak Ogos, termasuk temu bual bersemuka, dinilai berdasarkan strategi, identiti, prestasi dan pengurusan jenama.
Lebih 30 jenama telah dimasukkan ke dalam Dewan Kemasyhuran selepas mencapai sekurang-kurangnya tiga kemenangan sejak anugerah diperkenalkan.
Secara keseluruhan, lebih 450 jenama telah menerima pengiktirafan itu.
Antara pemenang pada 2025 ialah GO-GENIE, yang merupakan platform logistik berkuasa AI yang menggabungkan penyimpanan dan penghantaran pesanan.
Syarikat itu menawarkan kecekapan, kawalan kos dan penjejakan karbon, sambil kekal mudah digunakan oleh pelanggan.
Jenama makanan, Munchi Pancakes diiktiraf kerana berjaya mengubah penjual kuih tradisional min jiang kueh atau apam balik daripada gerai penjaja menjadi rangkaian arus perdana dengan 41 cawangan di Singapura dan Johor.
Math Mavens pula menawarkan program matematik sekolah rendah yang diajar oleh mantan guru menggunakan kurikulum berstruktur, dan berkembang ke Thailand pada 2025.
Singapore Funeral Group, diasaskan pada 2006 oleh Encik Nicky Teo ketika berusia 17 tahun, menyediakan perkhidmatan daripada pengurusan pengebumian hingga repatriasi dan perancangan memorial.
Dalam ucapannya, Ketua Perkhidmatan Kewangan Masyarakat Maybank, Encik Adam Tan, berkata penjenamaan hari ini melangkaui logo atau slogan.
Ia bergantung pada kejelasan, ketekalan dan keupayaan membentuk hubungan emosi dengan pelanggan.
“Kisah-kisah jenama mengingatkan kita jenama hebat dibina dengan niat, ketabahan dan jiwa,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg