Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendaki gunung M’sia maut dalam gua salji Gunung Denali, Alaska

Jun 1, 2024 | 4:23 PM
Encik Zulkifli Yusuf, 37 tahun, disyaki meninggal dunia kerana mengalami masalah paru-paru berair ekoran pendedahan pada cuaca sejuk semasa ekspedisi di Gunung Denali di Alaska, Amerika Syarikat.
Encik Zulkifli Yusuf, 37 tahun, disyaki meninggal dunia kerana mengalami masalah paru-paru berair ekoran pendedahan pada cuaca sejuk semasa ekspedisi di Gunung Denali di Alaska, Amerika Syarikat. - Foto INSTAGRAM ZULKIFLI YUSUF

KUALA LUMPUR: Seorang pendaki Malaysia, Encik Zulkifli Yusuf, 37 tahun, meninggal dunia semasa menjalani ekspedisi di Gunung Denali di Alaska, Amerika Syarikat.

Berita menyedihkan itu disahkan oleh Wisma Putra, melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles. Ia juga melaporkan bahawa dua lagi pendaki Malaysia dalam ekspedisi yang sama telah dimasukkan ke hospital, lapor akhbar New Straits Times (NST).

Dalam satu kenyataan pada 1 Jun, Wisma Putra berkata bahawa Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles telah berhubung dengan waris Allahyarham dan menghulurkan bantuan yang diperlukan.

Mereka juga berhubung dengan pihak berkuasa di Amerika dengan usaha memindahkan jenazah Allahyarham masih diteruskan, bergantung kepada keadaan cuaca.

Kelab Jelajah Alpine Malaysia turut mengesahkan kejadian tersebut.

Kejadian berlaku sekitar 6 pagi pada 29 Mei ketika Encik Zulkifli dan rakan pendaki, Encik Zainudin Lot, berlindung dalam gua salji di kawasan yang dikenali sebagai Football Field pada ketinggian 19,700 kaki (6,004 meter) dari aras laut.

Gunung Denali, Alaska, mempunyai ketinggian 6,194 meter.

Kumpulan pendaki terbabit terkandas ketika dalam misi pendakian sejak 28 Mei.

“Susulan kejadian itu, pihak penyelamat membuat beberapa percubaan untuk mengeluarkan mereka dengan helikopter, namun tidak berjaya kerana faktor cuaca yang berkabus dan angin kencang,” jelas jurucakap Kelab Jelajah Alpine Malaysia.

Menurut Ketua Komunikasi Kelab Jelajah Alpine Malaysia, Encik Ayob Yahya, lagi dua pendaki yang dikenal pasti sebagai Encik Zainudin Lot, 48 tahun, dan Encik Illaham Ishak, 48 tahun, dapat diselamatkan dan kini berada dalam keadaan stabil di hospital di Talkeetna, Alaska.

Menurut Encik Ayob, kematian Encik Zulkifli disyaki berpunca daripada masalah paru-paru berair yang terdedah pada keadaan sejuk dan ketinggian gunung yang didaki.

Allahyarham akan dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

Encik Ayob menjelaskan, hanya pada 6 pagi, 31 Mac, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan Encik Zainudin daripada tempat kejadian.

“Keadaan beliau stabil tetapi mengalami radang dingin pada kedua-dua belah tangan.

“Mayat Encik Zulkifli kini masih berada di lokasi kejadian dan proses mengeluarkannya mungkin mengambil masa kerana perlu menunggu cuaca baik,” katanya.

Kelab itu berkata, Encik Illaham pula diselamatkan beberapa hari lalu dan mengalami radang dingin pada tangan dan kaki. – NST.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg