Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendakwa raya Korea S panggil Yoon lagi berkaitan undang-undang tentera

Dec 17, 2024 | 1:32 PM
Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, sekali lagi diminta hadir ke pejabat pendakwa raya untuk disoal siasat berhubung pengisytiharan undang-undang tentera yang singkat.
Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, sekali lagi diminta hadir ke pejabat pendakwa raya untuk disoal siasat berhubung pengisytiharan undang-undang tentera yang singkat. - Foto AFP

SEOUL: Pendakwa raya Korea Selatan buat kali kedua memohon pada 16 Disember agar Presiden Yoon Suk Yeol hadir ke pejabat mereka untuk disoal siasat berhubung pengisytiharan undang-undang tentera yang singkat, selepas beliau menolak panggil pertama sehari sebelumnya, lapor agensi berita Yonhap.

Tindakan itu dibuat selepas Dewan Negara meluluskan usul pemecatan Encik Yoon pada 14 Disember berhubung pelaksanaan undang-undang tentera pada 3 Disember yang mencetuskan kemarahan orang ramai.

Daripada 300 Anggota Parlimen, 204 mengundi untuk mendakwa Encik Yoon atas dakwaan melakukan pemberontakan.

Seorang pegawai polis Seoul sebelum ini menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 200,000 orang berkumpul di luar Dewan Negara untuk menyokong penyingkiran Encik Yoon.

Menyusuli kelulusan pemecatannya, kuasa presidennya digantung, tetapi beliau masih belum didakwa secara rasmi.

Secara berasingan, pasukan penyiasat bersama yang terdiri daripada anggota Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi, polis dan Kementerian Pertahanan berkata ia telah meminta Encik Yoon hadir ke pejabat untuk disoal siasat pada 18 Disember.

Berikutan undian Parlimen pada 14 Disember, Mahkamah Perlembagaan mengadakan mesyuarat pertama pada 16 Disember untuk membincangkan prosiding pemecatan.

Menurut mahkamah, mereka bersetuju mengadakan sidang persediaan pada 27 Disember, walaupun kehadiran Encik Yoon tidak diperlukan.

“Rekod siasatan daripada pihak pendakwa dan polis akan diperoleh pada peringkat awal,” kata pegawai penerangan awam mahkamah kepada pemberita selepas mesyuarat itu, sambil menambah bahawa kes pemecatan akan diutamakan berbanding kes lain yang belum selesai.

Perdana Menteri, Encik Han Duck-soo, kini merupakan pemimpin sementara negara, manakala mahkamah kini mempunyai 180 hari untuk memutuskan sama ada meluluskan pemecatan Encik Yoon atau mengembalikannya.

Dalam undian Parlimen itu, sekurang-kurangnya 12 daripada 108 anggota parlimen Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang memerintah, mengundi menyokong pemecatan walaupun garis rasmi parti itu menentangnya.

Pada 16 Disember, pemimpin PPP, Encik Han Dong Hoon, yang telah memohon pemecatan Encik Yoon sebelum pengundian dijalankan, berkata beliau akan berundur, berikutan perpecahan dalaman parti berhubung usul itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg