Topik diikuti
Pergi ke BHkuPendakwaan jarang berlaku: Warga Israel dituduh bunuh rakyat Palestin di Tebing Barat
BAITULMAKDIS: Pihak pendakwa Israel mendakwa seorang penduduk haram Yahudi atas pertuduhan membunuh secara melulu seorang aktivis Palestin terkenal di Tebing Barat, dalam kes yang dianggap antara tindakan undang-undang paling jarang diambil terhadap warga Israel yang didakwa melakukan keganasan terhadap penduduk Palestin di wilayah yang diduduki.
Yinon Levi didakwa di sebuah mahkamah daerah Israel atas pertuduhan membunuh secara melulu, menceroboh dengan bersenjata dan melakukan kerosakan harta benda secara berniat jahat berhubung kematian aktivis Palestin, Encik Awdah Hathaleen.
Pendakwaan itu dikemukakan lebih setahun selepas Encik Hathaleen, 31 tahun, ditembak mati di kampung Umm al-Khair di selatan Tebing Barat pada Julai 2025 ketika berlaku pertikaian antara penduduk Palestin dengan sekumpulan penduduk haram Israel.
Encik Hathaleen dikenali sebagai seorang guru, bapa kepada tiga anak serta aktivis masyarakat yang terbabit dalam dokumentari pemenang Anugerah Akademi Oscar, No Other Land, yang memaparkan kehidupan penduduk Palestin di Tebing Barat di bawah pendudukan Israel.
Menurut kertas pertuduhan, Levi melepaskan tembakan secara melulu ke arah kawasan yang dipenuhi orang awam, termasuk kanak-kanak, ketika berlaku konfrontasi di kampung berkenaan.
Insiden itu tercetus selepas Levi mengarahkan seorang remaja berusia 17 tahun yang bekerja dengannya menggunakan jentolak bagi membuka laluan baharu merentasi tanah milik penduduk Palestin.
Penduduk kampung cuba menghalang kerja berkenaan dengan membaling batu ke arah jentolak sebelum Levi menghampiri mereka dan melepaskan beberapa das tembakan menggunakan pistol ke arah bangunan di Umm al-Khair.
Salah satu peluru mengenai Encik Hathaleen yang ketika itu sedang merakam kejadian dari kawasan pusat masyarakat kampung, kira-kira 20 meter dari lokasi tembakan.
Rakaman video yang tersebar kemudian menunjukkan Levi mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan ke arah kumpulan penduduk.
Rakaman yang dipercayai dirakam sendiri oleh Encik Hathaleen turut merakam detik beliau ditembak sebelum rebah ke tanah.
Siasatan berasingan oleh pertubuhan hak asasi Palestin, Al-Haq, menggunakan analisis video, keterangan saksi dan data geospatial mendapati peluru yang membunuh Encik Hathaleen sepadan dengan pistol milik Levi.
Laporan itu turut menyatakan tiada seorang pun penduduk Palestin yang berada di lokasi ketika itu bersenjata, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap dakwaan Levi bahawa dia bertindak mempertahankan diri.
Dalam surat kepada pejabat pendakwa raya Israel, Levi bagaimanapun menegaskan dia percaya nyawanya berada dalam bahaya ketika kejadian berlaku.
Dia turut menyifatkan pertuduhan yang dikenakan sebagai tidak munasabah dan mendakwa ia seolah-olah memberikan sokongan kepada keganasan.
Peguam Levi pula berkata anak guamnya akan mempertikaikan semua pertuduhan di mahkamah.
Keluarga Encik Hathaleen menyambut baik pendakwaan itu tetapi menyifatkan pertuduhan membunuh secara melulu tidak mencerminkan tahap kesalahan yang dilakukan.
Abang mangsa, Encik Khalil Hathaleen, berkata keluarga mereka hanya mahukan keadilan.
“Kami berharap dapat memperoleh keadilan untuk Awdah. Itulah satu-satunya tuntutan kami,” katanya.
Jika disabitkan kesalahan, Levi boleh dihukum penjara hingga 12 tahun.
Pertubuhan hak asasi Israel, Yesh Din, berkata ini adalah antara kes yang amat jarang berlaku membabitkan pendakwaan terhadap pendatang Israel atas kematian rakyat Palestin.
Menurut pertubuhan itu, hanya kira-kira tiga peratus daripada lebih 1,700 kes keganasan pelampau Yahudi di Tebing Barat yang disiasat antara 2005 hingga 2024 berakhir dengan sabitan penuh atau sebahagian.
Yesh Din turut memaklumkan pendakwaan terakhir terhadap seorang penduduk haram Israel kerana membunuh rakyat Palestin berlaku pada 2019.
Pertubuhan hak asasi Israel, B’Tselem, berkata pendakwaan terhadap Levi hanyalah kes terpencil yang tidak mencerminkan amalan sebenar, sambil mendakwa pendatang haram dan anggota tentera Israel terus menikmati kekebalan daripada tindakan undang-undang.
Menurut B’Tselem, sekurang-kurangnya 1,100 rakyat Palestin, termasuk lebih 240 kanak-kanak, terbunuh di Tebing Barat sejak perang Gaza meletus pada Oktober 2023, sama ada akibat tindakan tentera Israel atau serangan peneroka.
Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menunjukkan sekurang-kurangnya 18 rakyat Palestin terbunuh dalam insiden berkaitan serangan penduduk haram sepanjang 2026 ini, berbanding 17 kes bagi keseluruhan tahun 2025.
PBB, Palestin dan sebahagian besar masyarakat antarabangsa menganggap petempatan penduduk haram Israel di Tebing Barat sebagai menyalahi undang-undang antarabangsa serta menjadi antara halangan utama kepada penyelesaian dua negara.
Israel bagaimanapun mempertikaikan pendirian itu dengan menegaskan masyarakat Yahudi mempunyai hubungan sejarah yang beribu-ribu tahun lamanya dengan Tebing Barat.
Kes terhadap Levi dilihat menjadi tumpuan antarabangsa kerana berlaku ketika keganasan penduduk haram di Tebing Barat terus meningkat sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023, selain menguji sejauh mana sistem kehakiman Israel bersedia mengambil tindakan terhadap keganasan yang dilakukan oleh penerokanya.– Agensi berita.
