AMMAN: Negara-negara Arab dan Islam bersetuju menubuhkan satu mekanisme tetap bagi mendokumentasikan serta mendedahkan pelanggaran yang didakwa dilakukan Israel di Baitulmakdis Timur dan kawasan suci Islam serta Kristian.

Ia merupakan usaha meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap tindakan pemerintahan Israel di bandar itu.

Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat menteri-menteri luar Arab dan Islam di Amman, Jordan, pada 5 Ogos, yang turut dihadiri wakil Indonesia, Malaysia, Pakistan dan Turkey.

Menerusi deklarasi bersama yang dipersetujui, para menteri memutuskan untuk mewujudkan satu platform media antarabangsa bagi mengumpul, mendokumentasi dan menyiarkan maklumat berkaitan tindakan Israel terhadap tempat-tempat suci serta para penganut agama, sebelum disalurkan kepada organisasi antarabangsa dan masyarakat dunia.

Mereka menegaskan bahawa peningkatan ketegangan di Baitulmakdis, khususnya di kawasan Masjid Al-Aqsa, berisiko mencetuskan konflik berasaskan agama yang boleh memberi kesan kepada keamanan serantau dan sejagat.

“Baitulmakdis kini berdepan ancaman yang semakin serius, manakala tempat-tempat suci Islam dan Kristian lain berada dalam keadaan paling terancam berbanding sebelum ini,” ujar kenyataan bersama itu.

Delegasi yang hadir terdiri daripada Jawatankuasa Menteri Arab Mengenai Baitulmakdis yang dianggotai Mesir, Jordan, Tunisia, Algeria, Iraq, Qatar, Arab Saudi, Somalia, Palestin dan Maghribi, selain Setiausaha Agung Liga Arab, Encik Ahmed Aboul Gheit.

Turut serta ialah wakil dari Indonesia, Malaysia, Pakistan dan Turkey yang menyatakan sokongan terhadap usaha bersama mempertahankan status Baitulmakdis.

Dalam kenyataan itu, para menteri mengecam dasar Israel yang didakwa bertujuan mengubah identiti Arab, Islam dan Kristian di Baitulmakdis Timur, selain mengubah status undang-undang serta komposisi demografi bandar yang diduduki itu.

Menurut mereka, tindakan seperti pembinaan penempatan haram, pengilhakan tanah, rampasan harta penduduk Palestin serta usaha memisahkan Baitulmakdis daripada wilayah Palestin yang lain adalah bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

“Kami menolak segala usaha yang bertujuan mengubah identiti sejarah, agama dan undang-undang Baitulmakdis Timur,” tambah deklarasi itu.

Mesyuarat berkenaan turut memberi tumpuan kepada perkembangan di Masjid Al-Aqsa.

Para menteri mendakwa berlaku peningkatan pencerobohan oleh pendatang haram Israel dan pegawai pemerintah Israel ke kawasan masjid, selain sekatan terhadap jemaah Islam, campur tangan dalam pentadbiran Jabatan Wakaf Baitulmakdis dan Masjid Al-Aqsa serta penggalian berterusan di bawah dan sekitar kawasan masjid.

Menurut deklarasi itu, tindakan tersebut dilihat sebagai cubaan mengubah status quo sejarah dan undang-undang yang telah lama dipersetujui.

“Masjid Al-Aqsa dalam keseluruhan kawasannya ialah tempat ibadat eksklusif bagi umat Islam,” tambah kenyataan itu.

Para peserta turut menegaskan bahawa Kementerian Wakaf Jordan kekal sebagai satu-satunya pihak berkuasa sah yang bertanggungjawab mentadbir kompleks Masjid Al-Aqsa.

Mereka sekali lagi menyatakan sokongan terhadap Peranan Penjagaan Bani Hashim Jordan ke atas tempat-tempat suci di Baitulmakdis.

Selain isu Masjid Al-Aqsa, para menteri turut mengecam tindakan yang didakwa menyasarkan tapak suci Kristian di Baitulmakdis.

Antara yang dibangkitkan ialah sekatan ke atas penganut Kristian untuk memasuki Gereja Holy Sepulchre, campur tangan dalam urusan gereja, sekatan terhadap institusi keagamaan Kristian serta serangan terhadap paderi, penganut dan simbol keagamaan.

Menurut kenyataan itu, golongan paderi Kristian turut berdepan ancaman daripada kumpulan pelampau selain cubaan merampas tanah dan aset gereja menerusi undang-undang yang didakwa tidak sah.

Bagi memperkukuhkan usaha tersebut, para menteri bersetuju menubuhkan mekanisme institusi yang akan beroperasi secara berterusan bagi mengumpulkan bukti, mendokumentasikan pelanggaran serta menyelaras penyebaran maklumat kepada masyarakat antarabangsa.

Platform media yang bakal diwujudkan itu dijangka menjadi saluran rasmi untuk memaklumkan perkembangan di Baitulmakdis kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pertubuhan hak asasi manusia dan media antarabangsa.

Mesyuarat itu turut menggesa Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan segera bagi menghentikan pembinaan penempatan haram Israel, pengilhakan tanah Palestin, keganasan peneroka, tekanan terhadap ekonomi Palestin serta tindakan yang menyasarkan Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Para menteri turut menolak sebarang keputusan sepihak untuk membuka atau memindahkan kedutaan asing ke Baitulmakdis dan menggesa negara yang berbuat demikian supaya menarik balik langkah tersebut.

Para peserta turut menegaskan semula bahawa Baitulmakdis Timur ialah ibu negara Palestin berdasarkan sempadan 4 Jun 1967 selaras dengan penyelesaian dua negara, Inisiatif Damai Arab dan Deklarasi New York.

Sebagai langkah susulan, mereka bersetuju mengadakan mesyuarat bersama menteri luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab sempena Perhimpunan Agung PBB di New York pada September depan bagi menilai perkembangan terkini di Baitulmakdis serta menyelaras tindakan diplomatik selanjutnya.

Mereka turut mengiktiraf peranan Jawatankuasa Al-Quds dan agensi pelaksananya, Bayt Mal Al-Quds Al-Sharif, dalam membantu pembangunan serta memperkukuh kehadiran masyarakat Palestin di Baitulmakdis. – Agensi berita.