Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk Afghanistan desak Taliban naik pulih Masjid Biru rosak akibat gempa

Nov 6, 2025 | 1:53 PM
Sebahagian daripada struktur Masjid Biru dilihat mengalami kerosakan kecil selepas gempa bumi yang melanda Mazar-i-Sharif, Afghanistan, pada 5 November 2025. Masjid yang turut dikenali sebagai Makam Hazrat Ali itu merupakan antara tapak keagamaan paling dihormati di Afghanistan.
Sebahagian daripada struktur Masjid Biru dilihat mengalami kerosakan kecil selepas gempa bumi yang melanda Mazar-i-Sharif, Afghanistan, pada 5 November 2025. Masjid yang turut dikenali sebagai Makam Hazrat Ali itu merupakan antara tapak keagamaan paling dihormati di Afghanistan. - Foto REUTERS

MAZAR-I-SHARIF, Afghanistan: Penduduk di utara Afghanistan menyeru pemerintah Taliban supaya membantu membaik pulih dan memulihkan sebuah masjid bersejarah di Mazar-i-Sharif yang rosak akibat gempa bumi kuat baru-baru ini.

Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda kawasan berhampiran bandar itu pada 3 November, mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang, mencederakan hampir 1,000 yang lain serta memusnahkan ratusan rumah hanya beberapa minggu sebelum bermulanya musim sejuk yang mencabar di Afghanistan.

Masjid Hazrat Ali, yang juga dikenali sebagai Masjid Biru, dianggap antara tapak paling suci di Afghanistan dan dipercayai sebagai tempat persemadian sepupu serta menantu Nabi Muhammad saw. Struktur semasa masjid yang dihiasi jubin biru dan mozek rumit itu dibina pada abad ke-15.

Menurut laporan pasukan Reuters yang melawat lokasi pada 5 November, masjid tersebut mengalami kerosakan ketara dengan jubin yang tercabut dan menara yang retak.
Encik Sayed Mohammad Hussain, seorang pensyarah universiti di Mazar-i-Sharif, berkata masjid itu merupakan simbol sejarah utama bandar tersebut dan juga tarikan tempatan yang penting.

“Memandangkan bahagian yang telah rosak, kami menyeru perhatian serius daripada pemerintah untuk membantu membaik pulih dan memulihkannya,” katanya.
Seorang lagi penduduk tempatan, Encik Sayed Bashir Rasaa, berkata kerosakan pada masjid itu amat serius. “Sepanjang 55 tahun hidup saya, saya tidak pernah menyaksikan gempa bumi sekuat ini,” katanya.

Setakat ini, kerja pembaikan belum dimulakan dan masjid masih dibuka kepada orang ramai, walaupun pihak Taliban berjanji akan memulakan usaha pemulihan.

Jurucakap Kementerian Maklumat dan Kebudayaan berkata pasukan teknikal kementerian akan mengambil langkah sewajarnya dalam masa terdekat bagi menilai tahap kerosakan dan memulakan kerja pemulihan.

Pada tahun 2001, semasa pemerintahan terdahulu, Taliban mengejutkan dunia apabila mengarahkan pemusnahan dua patung Buddha gergasi di Lembah Bamiyan, dengan alasan ia dianggap berhala.

Namun sejak kembali berkuasa pada tahun 2021, Taliban menegaskan bahawa mereka kini memberi perhatian serius terhadap pemeliharaan budaya dan telah berjanji untuk memulihkan beberapa tapak warisan, termasuk di Bamiyan.

Landskap budaya dan tinggalan arkeologi di Lembah Bamiyan kekal tersenarai dalam senarai Warisan Dunia Terancam oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg