Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) telah melancarkan kempen pengumpulan dana bagi membantu mereka yang terjejas akibat gempa bumi di Afghanistan dan banjir besar di Pakistan.
Kempen tersebut menyasarkan kutipan dana sekurang-kurangnya $100,000 yang akan disalurkan untuk bantuan segera seperti makanan, air bersih, rawatan perubatan dan sokongan psikososial.
Usaha ini dijalankan dengan kerjasama Palang Merah Singapura (SRC) dan akan dijalankan sehingga 5 Oktober.
Usaha ini menyusuli kejadian gempa bumi yang melanda timur Afghanistan dan meragut lebih 2,200 nyawa, selain mencederakan ribuan orang lagi serta memusnahkan lebih 8,000 rumah pada 31 Ogos.
Lebih 1.3 juta orang terjejas dengan ramai daripada mereka kehilangan tempat tinggal serta berdepan dengan risiko penyakit.
Banjir kilat di Pakistan juga menenggelamkan lebih 2,000 kampung dan memaksa lebih dua juta penduduk berpindah.
Setakat ini, 33 nyawa terkorban dan kemusnahan itu menjejas kegiatan pertanian serta mata pencarian penduduk.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), RLAF memberitahu jumlah sasaran kali ini dijana melalui pengalaman sebelum ini, di mana mereka berjaya mengumpulkan $155,005 bagi Afghanistan, serta sekitar $400,000 bagi penduduk Pakistan susulan banjir besar pada 2022.
Ketua Eksekutif RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, menekankan pentingnya masyarakat Singapura tampil bersama.
“Kempen ini membolehkan kita bersatu sebagai sebuah negara dengan menghulurkan sokongan kepada mereka yang sedang berdepan dengan kehilangan (harta benda dan insan tersayang).
“Setiap sumbangan, walau sekecil mana sekalipun, mampu membawa harapan dan kelegaan kepada mereka yang paling memerlukannya. Kami yakin masyarakat akan bersatu hati untuk menyokong masyarakat di negara lain yang terjejas akibat bencana alam ini,” ujar beliau.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut mengalu-alukan usaha tersebut.
“Inisiatif ini mencerminkan sifat belas kasihan dan perpaduan rakyat Singapura terhadap mereka yang berdepan dengan keadaan mencabar.
“Saya amat berterima kasih atas sokongan kukuh dan sumbangan yang telah diberikan kepada pengumpulan dana RLAF sebelum ini, dan saya berharap kita sekali lagi dapat bersatu untuk menyokong usaha murni ini,” kata beliau, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri).
Derma boleh dilakukan melalui beberapa cara: PayNow ke UEN RLAF 200910530Z, pindahan bank ke nombor akaun OCBC RLAF: 601313315001, cek kepada ‘RLAF’ atau portal Giving.sg atau laman RLAF di https://rlafoundation.org.sg//
Kutipan dana khas akan dijalankan di masjid-masjid terpilih dari 26 September hingga 2 Oktober, dengan kotak derma berlogo RLAF disediakan.
Dana yang dikumpul akan disalurkan melalui SRC kepada rakan usaha kemanusiaan termasuk Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan (ARCS) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Pakistan (PRCS), dengan sokongan Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) serta Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg