Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

GEMPA DI INDONESIA

Penduduk Cianjur cuba bangkit walau rumah musnah, ditimbus

Dec 03, 2022 | 05:30 AM



GEMPA bumi di Cianjur, sebuah kawasan pertanian di wilayah Jawa Barat, Indonesia, yang terkenal dengan padinya, baru-baru ini telah memusnahkan puluhan ribu rumah selain mencetuskan tanah runtuh besar yang 'menelan' banyak kediaman penduduk.



Sejauh ini, dilaporkan lebih 320 penduduk terkorban, satu angka agak tinggi, walaupun di Indonesia yang kerap mengalami gempa bumi dan bencana alam lain.



Kira-kira satu pertiga daripada mereka yang terbunuh adalah kanak-kanak yang telah terperangkap di dalam rumah atau sekolah yang runtuh, dan di kawasan luar bandar dengan piawaian bangunan yang longgar.



Ribuan penduduk cedera selain puluhan ribuan lain terpaksa meninggalkan rumah mereka yang adanya ditelan bumi dek gempa itu dan tanah runtuh yang berlaku.



KEMUSNAHAN KETARA



Pegawai pemerintah berkata keadaan muka bumi yang landai dan tanah yang tidak stabil telah menyumbang kepada tahap kerosakan itu.



Beberapa hari selepas gempa bumi berlaku, ada kawasan kampung yang masih tidak dapat dikunjungi melalui darat.



Ini memandangkan pusat gempa itu hanya kira-kira sembilan kilometer di bawah permukaan bumi - bermakna gelombang seismik tidak kehilangan banyak kekuatan gegarannya apabila mencapai permukaan.



Malah, gegaran kuat turut dirasai di ibu kota Jakarta, sejauh kira-kira 90 kilometer.



Indonesia adalah sebuah kepulauan dengan kira-kira 270 juta orang yang kedudukannya terletak di Lilitan Api Pasifik, di mana plat tektonik bertembung.



Kemusnahan akibat gempa bumi di Cianjur dilaporkan telah diburukkan lagi oleh tanah runtuh yang disebabkan penebangan hutan, perlombongan berskala kecil dan pembangunan bandar.



SOLAT JUMAAT



Sementara itu, ratusan penduduk di kawasan itu terpaksa bersolat Jumaat di kawasan terbuka bersebelahan sawah dan di jalan raya, lapor AFP.



Ustaz Muhamad Jamhur mengimami satu solat jemaah di gelanggang bola tampar 200 meter dari masjid yang dindingnya retak dan tingkap pecah akibat gempa bumi berukuran 5.6 magnitud itu.



"Selepas bencana ini, kami masih berasa bimbang. Jadi kami terpaksa berpindah ke sini (untuk solat) di gelanggang bola tampar ini, bukan di masjid.



"Saya meminta jemaah untuk terus berjaga-jaga kerana bencana mungkin berlaku lagi," kata Ustaz Muhamad, 52 tahun.



Ratusan gegaran susulan berlaku dan menggegarkan kawasan pergunungan itu, dengan penduduk yang berasa trauma terpaksa berteduh di khemah, sambil menunggu bekalan makanan, air, dan ubat-ubatan yang telah dihambat oleh hujan lebat dan tanah runtuh.



Peniaga makanan, Encik Asep Hidayat, yang seperti ramai penduduk lain telah kehilangan rumah dalam gempa itu, berkata beliau masih bersyukur kerana dapat menunaikan solat walaupun tidak di masjid.



"Solat tetap perlu diteruskan, walaupun kita berteduh, solat itu wajib," katanya.



Majoriti penduduk Indonesia beragama Islam.



BERJAYA DISELAMATKAN



Sedang angka yang maut meningkat, kisah seorang kanak-kanak lelaki yang berjaya diselamatkan selepas terperangkap di bawah runtuhan tanpa makanan dan minuman dianggap sebagai satu "keajaiban".



Usaha menyelamat budak itu telah dirakam dengan kanak-kanak itu dilihat berjaya dikeluarkan hidup-hidup daripada serpihan, beberapa hari selepas gegaran kuat yang melanda kawasan Jawa Barat itu.



"Selepas kami sedar bahawa Azka masih hidup, semua orang menangis, termasuk saya," kata Encik Jeksen Kolibu, 28 tahun, seorang sukarelawan tempatan, kepada AFP.



"Ia amat mengharukan, ia terasa seperti satu keajaiban."



Video menunjukkan pekerja penyelamat menarik Azka keluar dari sebuah rumah yang runtuh di daerah Cugenang, paling teruk dilanda gempa, dengan memakai baju biru dan seluar yang dipakainya apabila dia terperangkap.



Azka kemudian dilihat dengan tenang menghirup minuman, sambil dipegang seorang askar sedang seorang lagi pekerja kecemasan mengusap rambutnya.



Namun, ibunya meninggal dunia dalam gempa bumi itu dan mayatnya ditemui beberapa jam sebelum Azka diselamatkan.



Budak itu 'diselamatkan' oleh satu tembok yang menahan satu lagi tembok yang runtuh, menghalangnya daripada menghempap budak itu, lapor media tempatan.



"Selama bertahun-tahun sejak menjadi sukarelawan, saya tidak pernah melihat perkara seperti ini. Macam mana saya tidak boleh menangis?" kata Encik Jeksen.



Menurut Ketua Agensi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Encik Suharyanto, gempa itu telah merosakkan lebih 62,000 rumah dan memaksa lebih 73,000 orang berpindah ke sekurang-kurangnya 325 pusat perlindungan.



Gempa bumi di Cianjur itu adalah yang paling buruk di negara Asia Tenggara itu sejak gempa bumi 2018 yang mengakibatkan tsunami dan membunuh lebih 4,000 orang di pulau Sulawesi.




“Selepas bencana ini, kami masih berasa bimbang. Jadi kami terpaksa berpindah ke sini (untuk solat) di gelanggang bola tampar ini, bukan di masjid. Saya meminta jemaah untuk terus berjaga-jaga kerana bencana mungkin berlaku lagi.”
– Ustaz Muhamad Jamhur.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >