GAZA: Hamas sekali lagi menegaskan syaratnya bahawa Israel mesti menghentikan sepenuhnya serangan ke atas Gaza sebelum sebarang perjanjian untuk membebaskan tebusan dapat dicapai.
Kumpulan itu turut mengkritik kenyataan Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Encik Donald Trump, yang mengancam akan ada “neraka menanti” jika semua tebusan tidak dibebaskan sebelum 20 Januari.
Kenyataan pada 8 Januari itu dibuat di tengah-tengah rundingan intensif dengan perantara Qatar dan Mesir untuk mencapai gencatan senjata.
Namun, keadaan terus tegang apabila kedua-dua pihak saling menyalahkan satu sama lain atas kegagalan mencapai persetujuan.
Pegawai kanan Hamas, Encik Osama Hamdan, dalam sidang media di Algiers, mendakwa Israel adalah punca utama yang menggagalkan semua usaha damai.
“Kami menuntut penghentian penuh pencerobohan dan pengunduran tentera Israel dari kawasan yang mereka duduki,” katanya.
Mengulas ancaman Encik Trump bahawa akan ada ‘musibah besar’ jika semua tebusan tidak dibebaskan sebelum pelantikannya, Encik Hamdan berkata:
“Presiden Amerika perlu membuat kenyataan yang lebih berdisiplin dan diplomatik.”
Sebaliknya, pihak Israel menuduh Hamas sebagai halangan utama dalam usaha pembebasan tebusan.
“Hamas adalah satu-satunya penghalang kepada pembebasan tebusan,” kata Ketua Pengarah Kementerian Luar Israel, Encik Eden Bar Tal.
Encik Bar Tal menegaskan bahawa Israel komited sepenuhnya untuk mencapai perjanjian.
Rundingan antara Hamas dengan Israel yang dijalankan Qatar dan Mesir dilaporkan semakin intensif.
Kementerian Luar Qatar pada 8 Januari mengesahkan bahawa rundingan antara Hamas dengan Israel untuk mencapai perjanjian gencatan senjata masih diteruskan.
Jurucakap kementerian, Encik Majid Al-Ansari, menyatakan bahawa “terdapat banyak isu yang sedang dibincangkan” tetapi menegaskan tiada keperluan untuk menetapkan sebarang garis masa mencapai persetujuan.
Dalam satu langkah yang dianggap positif, seorang pegawai Hamas memberitahu agensi berita Reuters bahawa kumpulan itu telah membersihkan senarai 34 tebusan yang dikemukakan Israel untuk dibebaskan dalam fasa awal gencatan senjata.
Senarai tersebut termasuk askar wanita Israel, serta orang awam wanita, kanak-kanak dan warga emas.
Bagaimanapun, pejabat Perdana Menteri Israel menyatakan mereka belum menerima pengesahan sama ada tebusan dalam senarai itu masih hidup atau sebaliknya.
Sebagai balasan, Israel akan membebaskan sekumpulan penduduk Palestin yang kini ditahan di penjara.
Dengan tarikh pelantikan Encik Trump yang semakin dekat, usaha diplomatik giat dijalankan.
Wakil khas Encik Trump ke Timur Tengah, Encik Steve Witkoff, dalam sidang media di Palm Beach, Florida, melahirkan harapan untuk perkembangan positif.
“Saya optimis kita akan ada perkara baik untuk diumumkan menjelang pelantikan presiden,” katanya.
Encik Witkoff menambah bahawa beliau mungkin kembali ke Doha dalam tempoh terdekat untuk menyelia kemajuan rundingan.
Dalam pada itu, serangan tentera Israel di tengah rundingan gencatan senjata, mengorbankan sekurang-kurangnya 24 rakyat Palestin di serata Jaluran Gaza pada 8 Januari.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan di wilayah yang dikendalikan Hamas menggesa penderma antarabangsa segera membekalkan bahan api untuk menggerakkan penjana elektrik dan mengekalkan perkhidmatan perubatan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg