Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenduduk Gaza sangkal dakwaan kemajuan pelan damai Trump
Penduduk Gaza sangkal dakwaan kemajuan pelan damai Trump
Penduduk Gaza sangkal dakwaan kemajuan pelan damai Trump
GAZA: Penduduk Palestin di Gaza menyifatkan dakwaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bahawa pelan damai Gaza kini mencapai kemajuan besar sebagai tidak mencerminkan realiti sebenar di lapangan, ketika serangan Israel yang semakin sengit terus meragut nyawa orang awam.
Pada 2 Ogos lalu sahaja, sekurang-kurangnya 18 penduduk Palestin terbunuh dalam antara serangan paling berdarah sejak gencatan senjata yang dimeterai pada Oktober tahun lalu, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap usaha menamatkan perang yang sudah berlarutan hampir tiga tahun.
Encik Trump pada 30 Julai lalu mengumumkan bahawa perjanjian untuk melaksanakan pelan damai Gaza mencapai “pencapaian besar” selepas Hamas bersetuju melucutkan senjata secara berperingkat, manakala Israel akan mengundurkan tenteranya mengikut fasa yang dipersetujui.
Bagaimanapun, pelaksanaan perjanjian itu kini berdepan pelbagai halangan apabila kedua-dua pihak masih berkeras dengan syarat masing-masing.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, menegaskan tentera Israel tidak akan berundur selagi Hamas belum melengkapkan proses pelucutan senjata dan rangkaian terowong kumpulan itu dimusnahkan sepenuhnya.
Sebaliknya, Hamas menegaskan Israel perlu menghentikan semua operasi ketenteraan serta mengundurkan tenteranya terlebih dahulu sebelum kumpulan itu melaksanakan komitmen berkaitan senjata seperti yang dipersetujui dalam pelan damai.
Di tengah-tengah pertikaian itu, penduduk Gaza berkata keadaan keselamatan semakin merosot dengan serangan udara Israel berlaku hampir tanpa henti.
Cik Aya Mohammad Zaki, 32 tahun, berkata serangan yang berlaku sejak beberapa hari lalu memberi gambaran seolah-olah perang telah bermula semula.
“Seolah-olah perang bermula semula. Serangan berlaku hampir setiap sejam atau kurang. Pesawat menyerang kawasan di utara, tengah dan selatan Gaza. Tiada tempat yang benar-benar selamat,” katanya kepada Reuters melalui telefon.
Antara mangsa yang terbunuh pada 2 Ogos ialah sepasang suami isteri bersama anak mereka selepas sebuah pangsapuri di Bandar Gaza diserang Israel.
Tentera Israel berkata sasaran serangan itu adalah anggota kumpulan bersenjata Hamas yang beroperasi di kawasan berkenaan.
Sejak melancarkan operasi ketenteraan sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, sebahagian besar Gaza kini musnah, manakala jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Menurut penduduk tempatan, kira-kira dua pertiga wilayah Gaza kini berada di bawah kawalan tentera Israel, menyebabkan lebih dua juta penduduk terpaksa berhimpit di kawasan pesisir pantai yang sempit dalam khemah sementara atau bangunan yang rosak.
Walaupun perjanjian gencatan senjata pada Oktober tahun lalu membenarkan Israel mengekalkan kawalan terhadap 53 peratus wilayah Gaza buat sementara sebelum berundur secara berperingkat, situasi di lapangan menunjukkan kawasan yang dikuasai Israel terus bertambah.
Encik Katz mengesahkan kawasan di bawah kawalan tenteranya kini meningkat kepada antara 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan Gaza ketika operasi mencari serta memusnahkan terowong Hamas diteruskan.
Seorang lagi penduduk, Cik Soumah Dawla, 60 tahun, berkata beliau menyedari kawasan kawalan tentera Israel semakin menghampiri kediamannya selepas melihat penanda sempadan berwarna kuning yang dipasang tentera dipindahkan lebih dekat ke kawasan rumahnya.
“Kami menunggu untuk dipindahkan pada bila-bila masa. Seluruh kehidupan kami musnah. Masa depan kami dan anak-anak kami juga musnah,” katanya.
Beliau berkata keluarganya, seperti kebanyakan penduduk Gaza yang lain, sudah beberapa kali dipindahkan sejak perang tercetus.
Di sekeliling khemahnya hanya kelihatan timbunan runtuhan bangunan, manakala cucu-cucunya bermain dengan blok mainan di atas lantai khemah yang menjadi tempat perlindungan sementara keluarga itu.
Cik Dawla mengakui pada mulanya beliau berharap pengumuman Encik Trump akan membawa perubahan positif kepada kehidupan penduduk Gaza.
Namun, menurutnya, keadaan menjadi semakin buruk apabila kemusnahan terus meningkat dan lebih ramai penduduk dipaksa meninggalkan kediaman mereka.
“Kami mahu semua pihak melaksanakan apa yang telah dipersetujui. Kami tidak mahu sekadar mendengar janji, kami mahu melihat tindakan sebenar,” katanya.
Beberapa penduduk lain turut memberitahu Reuters bahawa peluasan Garisan Kuning oleh tentera Israel memaksa penduduk meninggalkan sekurang-kurangnya lima kawasan berbeza di Gaza, termasuk Bandar Gaza, Deir al-Balah dan Khan Younis.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 30 keluarga dipindahkan dari kawasan timur Bandar Gaza berhampiran Garisan Kuning selepas tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan pada 20 Julai lalu.
Dalam rundingan damai, Hamas menuntut Israel berundur dari semua kawasan yang dikuasainya sejak gencatan senjata Oktober lalu sebagai syarat utama meneruskan pelaksanaan perjanjian.
Walaupun menolak istilah “pelucutan senjata”, Hamas menyatakan kesediaan menyerahkan senjatanya untuk disimpan di bawah kawalan pentadbiran Palestin yang disokong Amerika Syarikat selepas Israel menghentikan operasi ketenteraan dan berundur mengikut syarat gencatan senjata.
Sementara itu, jurucakap Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Doron Spielman, berkata pemerintahan Israel telah menyampaikan kebimbangannya kepada Washington berhubung pelan pelucutan senjata itu.
“Keutamaan Israel ialah memastikan tiada sebarang langkah dilaksanakan sebelum Hamas benar-benar melengkapkan proses pelucutan senjata secara menyeluruh,” katanya.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 1,230 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, terbunuh dalam serangan Israel sejak pelan damai Gaza yang disokong Trump dipersetujui pada Oktober tahun lalu.
Dalam tempoh sama, empat anggota tentera Israel turut terbunuh, menurut angka yang dikeluarkan pihak berkuasa Israel. - Agensi berita