SPH Logo mobile
Langgan|

Penduduk Gaza terus terpinggir ketika tumpuan dunia beralih kepada konflik Iran

Penduduk Gaza terus terpinggir ketika tumpuan dunia beralih kepada konflik Iran

Mar 24, 2026 | 10:36 AM

Penduduk Gaza terus terpinggir ketika tumpuan dunia beralih kepada konflik Iran

 Sekumpulan wanita Palestin bergambar swafoto ketika berkumpul untuk menunaikan solat Aidilfitri yang menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan di Dataran Al-Saraya, Gaza City, pada 20 Mac 2026.
Sekumpulan wanita Palestin bergambar swafoto ketika berkumpul untuk menunaikan solat Aidilfitri yang menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan di Dataran Al-Saraya, Gaza City, pada 20 Mac 2026. - Foto AFP

GAZA: Ketika perhatian dunia tertumpu kepada konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, penduduk di Gaza sekali lagi merasakan diri mereka dipinggirkan, terperangkap dalam keadaan tidak menentu yang semakin memburuk.

Perang baharu di rantau itu bukan sahaja mengalihkan perhatian antarabangsa daripada Gaza, malah memburukkan lagi keadaan ekonomi penduduk yang masih bergelut untuk pulih daripada serangan Israel selama dua tahun sebelum ini.

Penduduk kini berdepan gelombang pembelian panik yang menyebabkan harga makanan dan barangan asas melonjak tinggi. Situasi ini didorong oleh kebimbangan bahawa laluan masuk ke Gaza akan ditutup semula atau kekal terhad.

Kemajuan ke arah kehidupan yang lebih stabil juga dilihat semakin terbantut. Israel sebelum ini menutup semua laluan masuk ke Gaza, dan kini hanya satu laluan kargo dibuka. Laluan utama untuk keluar masuk penduduk, termasuk pesakit yang memerlukan rawatan di luar, ditutup hampir tiga minggu sebelum dibuka semula secara terhad minggu lalu.

Wilayah Palestin itu baru sahaja cuba bangkit daripada kemusnahan besar akibat serangan Israel yang menurut pegawai kesihatan tempatan telah meragut puluhan ribu nyawa dan memusnahkan sebahagian besar kawasan pesisir.

Namun, perkembangan terbaharu ini membuatkan ramai penduduk berasa semakin terbiar. “Hakikat yang pahit ialah Gaza telah dilupakan,” kata Encik Fuad Shahin, 40 tahun, pemilik sebuah kafe kecil di Deir al-Balah.

Pandangan itu turut dikongsi Encik Adham al-Mabhouh, 46 tahun, jurulatih bola sepak yang melatih mangsa amputasi akibat perang. “Tumpuan dunia kini kepada Iran dan negara Teluk,” katanya. “Apa pun yang berlaku, Gaza tetap rugi.”

Kesan paling ketara dirasai dalam kehidupan seharian apabila harga barangan keperluan meningkat mendadak. Sesetengah peniaga didakwa menyorok bekalan bagi mengambil kesempatan terhadap permintaan tinggi.

“Orang ramai menyerbu pasar dan membeli apa sahaja yang mereka mampu dengan semua wang yang ada, terutama mereka yang berkemampuan,” kata Encik Hussain Ghaben, 37 tahun, bapa kepada tiga anak dari Gaza City.

Bagi mereka yang sudah kehilangan sumber pendapatan, keadaan menjadi lebih sukar. Encik Mahmoud Bolbol, 43 tahun, bapa kepada enam anak, berkata beliau kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan.
“Saya lebih risau tentang mendapatkan gas memasak daripada apa yang berlaku di Iran,” katanya.

Gaza sebelum ini berusaha untuk pulih selepas serangan Israel susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023. Walaupun gencatan senjata rapuh berkuat kuasa lima bulan lalu, tentera Israel masih melancarkan serangan hampir setiap hari dengan alasan bertindak balas terhadap pelanggaran oleh kumpulan militan.

Dalam masa sama, pelan damai 20 perkara yang dicadangkan Presiden Donald Trump dan disokong Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dilihat terhenti. Jawatankuasa teknokrat Palestin yang dirancang untuk mengambil alih pentadbiran daripada Hamas masih belum memasuki Gaza, manakala pasukan penstabilan antarabangsa juga belum diwujudkan.

Kemajuan ke arah pemulihan bergantung kepada isu utama yang masih belum diselesaikan, termasuk pelucutan senjata Hamas dan pengunduran tentera Israel yang kini mengawal kira-kira separuh wilayah Gaza.

Israel menetapkan bahawa sebarang usaha pembinaan semula hanya boleh bermula selepas Hamas melucutkan senjata. Namun, Hamas enggan berbuat demikian kerana senjata dianggap sebagai asas perjuangan mereka serta alat untuk mengekalkan pengaruh di Gaza. Situasi ini menyebabkan penduduk awam terperangkap di antara tuntutan kedua-dua pihak.

“Kami hidup dalam kitaran ganas, seolah-olah terperangkap dalam pusaran yang tidak berkesudahan,” kata Encik Rami Abu Reida, 46 tahun, seorang penjual kacang dari Khuzaa.

Encik Ghaben, yang kini tinggal bersama keluarganya di dalam khemah berhampiran runtuhan rumahnya, berkata beliau tidak mampu membeli keperluan asas. “Saya tidak boleh membeli apa-apa kerana tiada wang. Saya bergantung sepenuhnya kepada bantuan,” katanya.

Beliau juga mengimbas detik sukar ketika krisis kebuluran melanda Gaza sebelum ini, termasuk tidak makan selama empat hari dan ditembak di kaki ketika menunggu bantuan makanan.

PBB menegaskan bahawa lebih banyak laluan perlu dibuka bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan berkesan. Walaupun intensiti pertempuran berkurangan, ancaman serangan masih wujud. Lebih 670 orang dilaporkan terbunuh sejak gencatan senjata dilaksanakan, menurut pegawai kesihatan tempatan.

Sebahagian penduduk juga bimbang bahawa selepas perhatian dunia beralih daripada Iran, Israel mungkin akan menyambung semula operasi ketenteraan secara besar-besaran untuk menewaskan Hamas sepenuhnya.

“Kami masih belum dapat keluar daripada krisis lalu mahupun krisis semasa,” kata Cik Hanin al-Qishawi, 29 tahun, seorang graduan universiti yang menganggur. Beliau menambah bahawa nasib Gaza sentiasa bergantung kepada perkembangan serantau. “Gaza sentiasa terkesan dengan apa sahaja yang berlaku di rantau ini,” katanya. “Ia bergerak mengikut arah angin.” - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg