Badan zakat Indonesia dirikan 7 khemah bilik darjah di Gaza
Badan zakat Indonesia dirikan 7 khemah bilik darjah di Gaza
JAKARTA: Badan Amil Zakat Nasional (Baznas) Indonesia telah membuka tujuh khemah bilik darjah kecemasan di Beit Lahia, Gaza Utara, untuk menyokong pendidikan kanak-kanak yang kehilangan tempat tinggal akibat perang dan krisis kemanusiaan yang melanda.
Ketua Baznas, Encik Sodik Mudjahid, berkata inisiatif tersebut mencerminkan komitmen agensi untuk memastikan akses kanak-kanak kepada pendidikan dalam situasi kecemasan.
“Kami mahu kanak-kanak di Gaza terus mengakses ruang pembelajaran yang selamat. Khemah-khemah bilik darjah ini dijangka dapat membantu mereka terus belajar meskipun menghadapi kesukaran,” katanya dalam satu siaran akhbar pada 22 Mac.
Walaupun terdapat batasan, beliau berkata bilik darjah sementara dilengkapi dengan meja dan kerusi untuk menyokong pembelajaran dan juga menyediakan sokongan psikososial.
Encik Mudjahid mengucapkan terima kasih kepada Presiden Prabowo Subianto kerana menyokong program berkenaan.
Beliau juga mengucapkan rasa syukur kepada masyarakat Indonesia kerana tampil memberi sumbangan yang memungkinkan inisiatif tersebut dilaksanakan.
Zeina Al Motawaq, seorang pelajar sekolah rendah berusia lapan tahun, berkata khemah-khemah bilik darjah ini telah menjadikan pembelajaran lebih selesa.
“Ia sangat sukar sebelum ini. Kami terpaksa menulis sambil duduk di atas lantai dalam keadaan tidak selesa. Kami sangat bersyukur dengan meja dan kerusi ini,” katanya.
Selain bilik darjah, yang boleh memuatkan sehingga 100 kanak-kanak, Baznas juga menyediakan perkhidmatan perubatan dan bantuan penting, termasuk makanan, air bersih, pakaian, selimut dan khemah.
Ini bukan kali pertama Baznas terlibat dalam kegiatan bantuan kemanusiaan bagi rakyat Palestin.
Badan tersebut telah mengagihkan 2,400 bungkusan pakaian baru kepada rakyat Palestin yang berlindung di Khemah Al Zahraa dan Khemah Palestin di Bandar Gaza Gaza pada Ramadan yang baru berlalu.
Ketua bidang agihan Baznas, Cik Saidah Sakwan, menyatakan bahwa ribuan pakaian ini merupakan hasil sumbangan masyarakat Indonesia dan beberapa badan di negara itu.
“Kami terus memastikan bantuan dari para penyumbang sampai ke tangan mereka yang paling memerlukan bantuan.
“Agihan pakaian di Khemah Al Zahraa dan Khemah Palestin merupakan langkah konkrit untuk memberikan kenyamanan dan menjaga martabat saudara-saudara kita di Gaza yang telah kehilangan harta bendanya,” jelasnya dalam satu kenyataan pada 2 Mac.
Menurut beliau lagi, bantuan tersebut bukan sekadar pada angka 2,400 bungkusan pakaian tetapi juga menyertakan mesej bahawa bahawa rakyat Palestin tidak sendirian dalam keadaan genting sekarang ini. - Agensi berita

