Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenduduk haram Israel sasar masjid, kenderaan dan ladang di Tebing Barat
Penduduk haram Israel sasar masjid, kenderaan dan ladang di Tebing Barat
Penduduk haram Israel sasar masjid, kenderaan dan ladang di Tebing Barat
BAITULMAKDIS: Ketegangan di Tebing Barat yang diduduki semakin memuncak apabila sekumpulan penduduk haram Israel membakar dua masjid, merosakkan kenderaan, serta membakar tanah pertanian milik penduduk Palestin dalam satu lagi siri serangan.
Kejadian terbaru ini berlaku hanya dua hari selepas pertempuran berdarah di kampung Tal.
Pihak berkuasa Palestin berkata serangan terbaru itu berlaku di beberapa kampung berhampiran Nablus pada 26 Julai, sekali gus menambah kebimbangan terhadap peningkatan keganasan oleh kumpulan penduduk haram yang didakwa semakin berani bertindak di bawah pemerintahan gabungan sayap kanan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.
Datuk Bandar Qusra, Encik Abdul Azim Wadi, berkata sekumpulan pendatang menyerang kampung itu pada waktu malam sebelum membakar sebuah masjid yang masih dalam pembinaan, lapor BBC.
Beliau berkata kumpulan berkenaan turut menyembur cat pada dinding masjid dengan perkataan, “balas dendam”, selain merosakkan beberapa harta awam.
“Kumpulan itu datang pada waktu malam, membakar masjid yang sedang dibina dan meninggalkan mesej kebencian pada dinding,” katanya.
Dalam kejadian berasingan di kampung Kour, pihak berkuasa Palestin berkata sebuah lagi masjid turut dibakar, manakala slogan berunsur kebencian disembur pada bangunan itu.
Selain rumah ibadat, beberapa kenderaan dibakar, harta benda dicuri dan kawasan pertanian turut dimusnahkan.
Tentera Israel mengesahkan anggotanya dihantar ke Qusra selepas menerima laporan mengenai kejadian itu.
Menurut tentera, polis Israel akan menjalankan siasatan serta mengumpul bukti berhubung serangan berkenaan.
Gelombang keganasan itu tercetus susulan pertempuran di kampung Tal pada 24 Julai lalu, yang mengorbankan empat rakyat Palestin dan dua rakyat Israel.
Kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain sebagai pencetus keganasan.
Sejak kejadian itu, penduduk Palestin mendakwa serangan oleh penduduk haram Israel berlaku hampir setiap hari di beberapa kampung di Tebing Barat.
Pada masa sama, tentera Israel melancarkan operasi besar-besaran yang disifatkan sebagai operasi antikeganasan, dengan menahan lebih 130 individu sepanjang hujung minggu.
Encik Netanyahu pula berikrar akan mengambil “tindakan tegas” susulan pembunuhan dua rakyat Israel di Tal, termasuk mempertimbangkan perobohan rumah dua rakyat Palestin yang didakwa terbabit dalam serangan itu.
Di kampung Sarra yang terletak bersebelahan Tal, kesan kemusnahan masih jelas kelihatan apabila beberapa rumah hangus dibakar.
Penduduk tempatan berkata sekurang-kurangnya enam rumah dibakar, manakala lebih 12 kediaman lain dirosakkan dengan batu.
Encik Hanan Turabi, yang kehilangan rumahnya dalam serangan itu, berkata beliau hanya sempat melarikan diri bersama empat anak ketika kumpulan pendatang haram menghampiri kediamannya.
“Mereka datang dari semua arah. Kami cuba melarikan diri tetapi mereka terus mengejar kami sambil membaling batu.
“Saya mahu mempertahankan rumah, tetapi akhirnya terpaksa memilih antara menyelamatkan keluarga atau melihat rumah terbakar,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Encik Kaied Ahmad Turabi, yang menetap di Miami dan pulang melawat keluarganya, turut cedera ketika cuba membantu mempertahankan kampung itu.
Beliau mengalami lebam pada mata, beberapa luka di badan serta kecederaan di kepala yang memerlukan 12 jahitan.
“Saya bekerja dengan ramai orang Yahudi sepanjang hidup saya, tetapi kumpulan ini berbeza.
“Mereka menutup muka, membawa kayu dan pelbagai objek. Mereka datang dengan persediaan untuk menyerang,” katanya.
Beberapa jam selepas serangan itu, puluhan belia Palestin berkumpul bagi mempertahankan pintu masuk kampung apabila penduduk haram Israel sekali lagi dikesan menghampiri kawasan berkenaan.
Tentera Israel kemudian ditempatkan bagi memisahkan kedua-dua kumpulan sebelum pendatang berundur.
Bagaimanapun, tentera melepaskan gas pemedih mata ke arah penduduk Palestin bagi menyuraikan mereka.
Rakaman dari lokasi menunjukkan beberapa belia Palestin cuba menimbus kanister gas dengan tanah atau menendangnya jauh sambil melaungkan slogan “Palestin, Palestin”.
Tentera Israel berkata pihaknya sedang berusaha menghalang “jenayah bermotif nasionalis”, istilah yang digunakan bagi merujuk serangan pendatang Israel terhadap penduduk Palestin.
Walaupun pemimpin Israel secara terbuka mengecam keganasan oleh pendatang pelampau, kumpulan hak asasi manusia mendakwa pemerintah terus mempercepatkan pembinaan petempatan haram di Tebing Barat yang menjadi punca utama peningkatan ketegangan.
Sebagai reaksi kepada pembunuhan dua rakyat Israel di Tal, Encik Netanyahu mengumumkan pemerintah akan mempercepatkan pembinaan dan pengesahan penempatan baharu di Tebing Barat.
Beberapa petempatan baharu dilaporkan mula muncul berhampiran Sarra hanya beberapa hari selepas pengumuman itu.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seramai 1,114 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat sejak perang Gaza meletus pada Oktober 2023, dengan sebahagian besar kematian berpunca daripada operasi tentera Israel.
Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 35 kematian dikaitkan dengan serangan oleh penduduk haram Israel.
Dalam tempoh sama, 41 rakyat Israel, termasuk orang awam dan anggota keselamatan, terbunuh dalam serangan rakyat Palestin atau ketika operasi tentera Israel di Tebing Barat.
Israel menawan Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur dalam perang Timur Tengah 1967 sebelum membina ratusan petempatan yang kini menempatkan kira-kira 700,000 pendatang Yahudi.
Kira-kira 3.3 juta rakyat Palestin kini tinggal di kawasan yang sama, yang mereka tuntut bersama Gaza sebagai sebahagian daripada negara Palestin pada masa depan.
Masyarakat antarabangsa menganggap semua petempatan Israel di Tebing Barat sebagai menyalahi undang-undang antarabangsa, namun pembinaannya terus diteruskan dan menjadi antara punca utama konflik yang berpanjangan di wilayah itu. – Agensi berita.