Krisis air sejagat yang melanda ramai penduduk dunia turut dirasai oleh Encik Muhammad Daeng Tamran, 47 tahun, seorang penduduk daerah Tanjung Priok, di Jakarta Utara.
Daerah pesisir pantai yang menempatkan pelabuhan terbesar di Indonesia itu bukan sahaja mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Jakarta, bahkan penduduknya terpaksa membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan air bersih akibat kekurangan bekalan.
Encik Tamran kini berharap calon pilihannya dalam Pilihan Raya Gabenor Jakarta, pasangan bebas, Encik Dharma Pongrekun dan Encik Kun Wardana, mampu memberikan penyelesaian yang lebih baik jika menang dalam pilihan raya yang dijadualkan pada 27 November.
“Saya sokong pasangan nombor dua (pasangan Dharma-Kun) kerana program mereka propenduduk, terutama dalam isu akses air bersih.
“Ini sangat penting bagi penduduk Tanjung Priok yang menghadapi kesukaran mendapatkan air bersih,” kata Encik Tamran kepada Berita Harian selepas menyertai debat terakhir calon Gabenor di Jakarta Pusat pada 17 November.
Dalam debat bertema alam sekitar dan perubahan iklim itu, Encik Dharma dan Encik Kun berjanji akan memperbaiki akses penduduk kepada air bersih.
Encik Tamran berkata penduduk Tanjung Priok kini terpaksa membayar sehingga 17,000 rupiah ($1.45) bagi setiap meter padu air bersih yang disalurkan kepada kediaman yang mempunyai akses kepada bekalan air daripada syarikat utiliti bandar.
“Saya sudah dengar kempen mereka termasuk dalam dua debat sebelum ini. Bagi saya, program mereka lebih masuk akal,” tambah Encik Tamran.
Walaupun janji-janji itu menarik perhatian, peluang pasangan Dharma-Kun memenangi jawatan tertinggi di Jakarta masih tipis.
Berdasarkan kajian oleh Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC) yang dikeluarkan pada 13 November, pasangan itu hanya mencatatkan sokongan 5.1 peratus, jauh di belakang pasangan Pramono Anung-Rano Karno (46 peratus) dan Ridwan Kamil-Suswono (39.1 peratus).
Pasangan Pramono-Rano dalam debat tersebut mencadangkan had pengambilan air bawah tanah oleh pusat beli-belah utama di Jakarta.
Mereka juga berjanji akan memastikan 100 peratus penduduk Jakarta mempunyai akses kepada air bersih menjelang 2029, berbanding 44 peratus ketika ini, berdasarkan data Institut Air Antarabangsa.
Di Tebet, Jakarta Selatan, Cik Yohanna Panjaitan, 25 tahun, menyatakan sokongannya kepada pasangan Pramono-Rano atas sebab sentimental.
“Saya percaya Rano, sebagai anak jati Jakarta dengan darah Betawi, akan lebih komited membangun kota ini, kampung halamannya,” katanya.
Namun, Cik Dewi Hodijah, 52 tahun, dari Bukit Duri, memilih Ridwan dan Suswono – yang mencadangkan pemasangan saluran paip tambahan bagi memperbaiki pengaliran air bersih.
“Ridwan sudah membuktikan dirinya sebagai Gabenor Jawa Barat dan datuk bandar Bandung. Programnya bagus,” ujar Cik Dewi.
Pada 27 November, lebih 8.2 juta penduduk Jakarta dijangka keluar mengundi untuk memilih gabenor baru yang akan memimpin kota itu selama lima tahun.
Jawatan tersebut telah kosong sejak Encik Anies Baswedan menamatkan penggalnya pada 2022, dan sejak itu diisi oleh penjawat sementara yang dilantik oleh mantan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo.
Semua pihak kini berharap pemimpin baru Jakarta mampu membawa perubahan positif, terutama dalam isu kritikal seperti krisis air bersih.
Pilihan raya kali ini, atau lebih dikenali dengan pilihan raya Pilihan Kepala Daerah (Pilkada) 2024, diadakan serentak dengan lebih 500 wilayah lain di Indonesia, menjadikannya salah satu acara politik terbesar negara itu pada 2024.
Pilkada 2024 akan diadakan di 37 wilayah, 415 kabupaten (daerah diketuai bupati) dan 93 kota secara serentak pada 27 November 2024.
Kesemua rakyat Indonesia yang layak mengundi akan memilih calon wali kota, bupati dan gabenor pilihan mereka.
Dalam masa yang sama, sokongan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, terhadap calon Gabenor Jawa Tengah, Encik Ahmad Luthfi, dalam Pilkada 2024 mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
Ada yang mempersoalkan ketelusan sokongan tersebut, terutama kerana ia datang daripada seorang pemimpin negara.
Bagaimanapun, Jabatan Komunikasi Presiden menjelaskan bahawa sokongan tersebut dibuat atas kapasiti Encik Prabowo sebagai Pengerusi Parti Gerindra dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.
Dalam video tular yang dimuat naik di Instagram rasmi Encik Luthfi pada 9 November, Encik Prabowo kelihatan berdiri bersama Encik Luthfi dan calon timbalannya, Encik Taj Yasin Maimoen.
Ketiga-tiga mereka berpakaian warna biru, simbolik kepada gabungan Parti NasDem dalam Koalisi Indonesia Maju (KIM) yang dipimpin oleh Encik Prabowo.
“Saya percaya mereka mampu memimpin Jawa Tengah dengan baik, membangunkan wilayah ini dan memperbaiki ekonomi untuk manfaat rakyat,” kata Encik Prabowo dalam video itu.
Namun, tinjauan Kompas pada Oktober menunjukkan Encik Luthfi masih ketinggalan di belakang pesaingnya, Encik Andika Perkasa daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), yang tidak menyertai gabungan Encik Prabowo.
Netizen mengkritik sokongan terbuka itu sebagai campur tangan yang boleh menjejas prinsip demokrasi.
Pilkada 2024 dijangka menyaksikan persaingan sengit di Jawa Tengah, dengan PDI-P menjadi pencabar utama gabungan pimpinan Presiden Prabowo.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg