Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenduduk Kalimantan Barat terjejas teruk jerebu saman pemerintah, tuntut udara bersih
Empat plaintif antara lain terdiri daripada badan bukan pemerintah yang wakili golongan belia, pejuang hak masyarakat orang asli
Penduduk Kalimantan Barat terjejas teruk jerebu saman pemerintah, tuntut udara bersih
PONTIANAK (Indonesia): Setiap beberapa tahun, penduduk di wilayah Kalimantan Barat, Indonesia, terpaksa berdepan kebakaran hutan yang teruk hingga menghasilkan jerebu beracun yang menjejas kesihatan, menyebabkan sekolah ditutup serta mengganggu aktiviti ekonomi.
Kini, mereka tidak mahu berdiam diri lagi.
Para peguam telah memfailkan kes mewakili kumpulan penduduk dengan mendakwa wujud “kecuaian, kelalaian dan kegagalan” di pihak pemerintah sehingga mencetuskan “krisis kesihatan awam secara besar-besaran” di wilayah yang terletak di Pulau Borneo berkenaan.
Kes tersebut menyasarkan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, serta 26 pegawai daripada pemerintah pusat, wilayah dan tempatan, selain polis serta perkhidmatan kecemasan.
“Kami tidak meminta perkara berlebihan. Kami hanya menuntut hak asas kami sebagai rakyat – udara bersih dan persekitaran yang sihat,” kata salah seorang daripada empat plaintif dalam kes tersebut, Encik Sisilius Rami.
Bercakap kepada AFP di kediamannya di bandar Pontianak yang diselimuti jerebu, Encik Sisilius berkata jerebu menjejas setiap aspek kehidupan seharian, mengganggu persekolahan serta aktiviti luar termasuk sesetengah sektor pertanian.
Sesiapa sahaja yang keluar rumah perlu memakai pelitup bagi mengelak risiko menyedut bahan beracun.
“Kanak-kanak berhak mendapat pendidikan. Masyarakat berhak untuk hidup sihat. Pemerintah sepatutnya memainkan peranan untuk menjamin hak ini, bukannya membiarkan rakyat menanggung akibatnya sendiri,” katanya.
Plaintif lain terdiri daripada badan bukan pemerintah (NGO) yang mewakili golongan belia, alam sekitar dan pejuang hak masyarakat orang asli di wilayah yang mempunyai hampir enam juta penduduk itu.
Mereka “semuanya merupakan penduduk wilayah Kalimantan Barat yang terjejas akibat bencana jerebu 2026, yang mana bilangannya amat ramai sehingga tidak praktikal untuk memfailkan tuntutan secara individu”, menurut fail tuntutan tersebut.
Selama berminggu-minggu, masyarakat di Kalimantan Barat bertungkus lumus memadamkan kebakaran yang telah memusnahkan kawasan tanah yang luas serta mencemar udara sehingga menjejas kawasan sejauh Malaysia dan Singapura.
Pemerintah telah mengerahkan anggota bomba dengan bantuan sukarelawan di serata kawasan terjejas, selain menggunakan kaedah pembenihan awan dan bom air, namun hasilnya masih terhad.
Menurut pertubuhan masyarakat orang asli, Aliansi (Perikatan) Masyarakat Adat Nusantara (Aman) yang turut bertindak sebagai plaintif, penduduk kini terpaksa menanggung beban terlalu besar, meskipun hanya bersenjatakan hos penyiram tanaman dan pelitup.
“Pemerintah mempunyai sumber dan kemudahan jauh lebih mencukupi berbanding masyarakat. Namun di lapangan, penduduk yang terpaksa berjuang dengan keupayaan yang serba kekurangan,” kata wakil Aman, Encik Tono.
Peguam kumpulan berkenaan, Encik Glorio Sanen, berkata pemerintah Indonesia tidak membuat persiapan yang mencukupi meskipun telah menerima amaran selama berbulan-bulan mengenai musim kemarau yang luar biasa berikutan fenomena cuaca El Nino.
“Siapa yang mempunyai kuasa untuk memimpin dan menyelaraskan tugas merentasi kementerian serta pelbagai peringkat pemerintah? (Pastinya Tuan) Presiden. Sebab itulah kami menamakan Presiden sebagai pihak dalam kes ini,” katanya.
Antara tuntutan yang dikemukakan, termasuk menuntut agar pemerintah mengisytiharkan darurat nasional bagi membolehkan sumber disalurkan untuk pemadaman kebakaran dan pemulihan.
Plaintif juga menuntut siasatan menyeluruh dilakukan terhadap punca kebakaran, sambil menuding jari kepada syarikat-syarikat korporat besar yang membakar tanah untuk penanaman kayu, padi dan kelapa sawit, atau bagi aktiviti perlombongan.
“Bencana jerebu ini telah menyebabkan kerugian yang amat besar. Dalam sektor pendidikan, kesihatan dan ekonomi. Oleh sebab itu, kita mesti membongkar siapa yang sepatutnya bertanggungjawab,” kata Encik Glorio.
Pemerintah memberitahu AFP bahawa mereka “menghormati” tindakan undang-undang berkenaan, dan “kebanyakan kebimbangan yang dibangkitkan oleh penduduk sedang ditangani menerusi usaha berterusan”.
Ini merangkumi “pemadaman kebakaran melalui darat dan udara, perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk masyarakat terjejas, serta siasatan ke atas 95 syarikat korporat” yang aktiviti mereka mungkin menyumbang kepada kebakaran tersebut, kata Agensi Komunikasi Pemerintah.
Pihak agensi turut menekankan larangan sedia ada terhadap pembersihan tanah melalui pembakaran, sambil menambah bahawa pemerintah berkongsi matlamat yang sama dengan pihak plaintif iaitu untuk mendapatkan “udara bersih dan menamatkan krisis kebakaran hutan dan tanah yang berulang”.
Pembicaraan kes mahkamah seterusnya dijadualkan pada 21 Oktober. – AFP.