JAKARTA: Asap tebal akibat kebakaran hutan di Indonesia menghalang operasi pesawat pemadam kebakaran di Kalimantan Tengah sejak seminggu lalu, merumitkan usaha mengawal api yang mengancam habitat orang utan terkenal di dunia.

Anggota bomba turut menghadapi kawasan berpaya dan kekurangan peralatan ketika kebakaran merebak ke kawasan seluas lebih 500 hektar di Taman Negara Tanjung Puting serta sekitar Kotawaringin Barat dan Seruyan, menurut maklumat daripada mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto pada 12 Oktober.

Setiausaha Kabinet, Encik Teddy Indra Wijaya, pada 13 Oktober mendedahkan laporan Mejar Jeneral Zainul Arifin bahawa jarak penglihatan di sekitar taman itu merosot kepada 500 meter, menghalang operasi ‘pengeboman’ atau curahan air oleh pesawat awam.

Kebakaran itu turut menyebabkan jerebu di beberapa kawasan Asia Tenggara, menjejaskan penerbangan, menutup sekolah dan menimbulkan kebimbangan kesihatan awam.

Tawaran bantuan daripada Singapura dan Malaysia tidak dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Encik Suharyanto, berkata 639.23 hektar tanah masih terbakar di enam wilayah keutamaan setakat 12 Oktober, daripada hampir 130,000 hektar yang telah hangus.

“Khususnya di Kalimantan Tengah, helikopter pemadam api tidak dapat beroperasi sejak seminggu lalu kerana jarak penglihatan yang terhad,” katanya.

Pesawat tidak dapat beroperasi dari Palangka Raya, ibu kota Kalimantan Tengah, dan Banjarmasin di Kalimantan Selatan, menyebabkan usaha pemadaman bergantung pada operasi darat.

Penerbangan untuk merangsang hujan serta penerbangan komersial turut terjejas.

Menurut Encik Teddy, lebih 60,177 anggota dikerahkan, dengan purata lebih 80 peratus kawasan yang baru terbakar berjaya dipadamkan setiap hari.

Tanjung Puting di Pulau Borneo terkenal dengan pemuliharaan orang utan dan pelancongan hutan.

Mejar Jeneral Zainul berkata tapak kebakaran terpencar, berpaya dan dihuni haiwan berbahaya termasuk buaya serta ular. Mereka perlu berhati-hati memasuki kawasan itu.

Beliau berkata taman itu menerima 247 pelancong asing pada 12 Oktober dan 66,000 pengunjung sepanjang 2026.

Pasukan pemadam api bekerjasama dengan pegawai pengurusan bencana, polis dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan anggota ketika memasuki kawasan terjejas, namun masih kekurangan peralatan penting.

Mejar Jeneral Zainul berkata pam air sedia ada masih digunakan untuk menyejukkan kawasan yang kebakarannya telah dipadamkan, manakala pam tambahan sukar diperoleh dan kadangkala terpaksa dibawa dari Jawa.

Apabila beliau meminta 50 pam tambahan, Encik Prabowo berjanji menghantar 200 unit.

Beliau turut meminta bantuan pasukan penggerudi telaga air memadamkan api di kawasan yang tidak dapat dilalui kenderaan. Air bawah tanah boleh diperoleh pada kedalaman 10 hingga 15 meter, dengan kos penggerudian sekitar 10 juta rupiah ($715) bagi setiap telaga.

Encik Prabowo kemudian menjanjikan dua bilion rupiah bagi 200 telaga, yang boleh digerudi dengan bantuan penduduk tempatan.

Mejar Jeneral Zainul turut mencadangkan penggunaan pesawat tentera untuk pengeboman air kerana lebih mampu beroperasi dalam keadaan jarak penglihatan yang terhad berbanding pesawat swasta.

Encik Prabowo mengarahkan penyelarasan antara anggota penerbangan tentera dengan pihak polis.

Beliau turut mengulangi permintaan mendapatkan 70,000 anggota polis hutan serta menggesa langkah pencegahan kebakaran bermula di peringkat kampung berdasarkan nasihat pakar universiti.

Encik Prabowo menegaskan usaha memadamkan kebakaran mesti diutamakan, manakala pencegahan memerlukan strategi besar-besaran, menyeluruh dan bersifat pencegahan. – Agensi berita.