TOKYO: Lima isi rumah di sekitar lubang benam dan semakin melebar dekat Tokyo digesa berpindah pada 2 Februari, dengan usaha menyelamatkan seorang lelaki yang terperengkap di dalamnya dilaporkan telah dihentikan.
Seorang pemandu trak berusia 74 tahun termasuk bersama kenderaannya ke dalam lubang berkenaan, yang sejak itu telah melebar hingga 40 meter – hampir sepanjang kolam renang saiz Olimpik.
Lubang yang semakin membesar itu mungkin berpunca daripada paip pembetungan yang terhakis, menurut pihak berkuasa tempatan.
Ekoran kejadian itu, pihak berkuasa telah mengeluarkan arahan pada 2 Februari agar lima isi rumah berhampiran lubang di bandar Yashio, Wilayah Saitama, supaya segera berpindah, kata seorang pegawai kerajaan tempatan.
Penduduk yang tinggal dalam radius 50 meter daripada lubang itu juga digalakkan supaya berpindah, tambahnya.
Pada 1 Februari, para penyelamat Jepun telah menyelesaikan pembinaan cerun 30 meter untuk menghantar peralatan berat menuju ke tempat pemandu trak berada.
Tetapi, sejumlah besar air kumbahan ditemui di bawah cerun, diburukkan oleh hujan yang turun, menyebabkan misi menyelamat digantung pada 2 Februari, kata stesen penyiar awam NHK.
Menurut stesen tersebut, dengan dinding lubang – sedalam sekitar 15 meter, terhakis, para pekerja penyelamat tidak dapat berada dalam lubang tersebut buat tempoh yang lama.
Lubang itu pada mulanya berdiameter lima meter tetapi semakin melebar ketika kerja menyelamat dijalankan pada pada malam 2 Februari.
Sekitar 1.2 juta penduduk yang tinggal berdekatan tempat kejadian, telah diminta supaya mengurangkan penggunaan bilik mandi dan dobi untuk mengelakkan kebocoran kumbahan daripada menghalang operasi yang dijalankan. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg