Teheran dibadai letupan bertalu-talu, penduduk hidup dalam ketakutan
Teheran dibadai letupan bertalu-talu, penduduk hidup dalam ketakutan
TEHERAN: Deretan bangunan pangsapuri yang hampir runtuh, blok demi blok dipenuhi besi terkulai, serpihan kaca dan kertas berterbangan. Sebuah bilik hospital dengan tingkap tercabut, batu-bata serta runtuhan menutupi katil pesakit.
Itulah gambaran keadaan di Teheran pada 2 Mac ketika Amerika Syarikat dan Israel terus memperhebat serangan ke atas Iran, menurut keterangan penduduk dan rakaman video yang tersebar. Selepas tiga hari pengeboman berturut-turut, serangan dilihat semakin sengit, kata beberapa penduduk ibu negara itu.
Lewat hari berkenaan, tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan segera kepada penduduk di kawasan sekitar penjara Evin, lokasi tahanan bagi ramai pembangkang politik. “Kehadiran anda di kawasan ini akan membahayakan nyawa,” menurut amaran tentera Israel. Tidak lama kemudian, penduduk Teheran melaporkan letupan kuat menggegarkan bandar itu.
Media rasmi Iran dan saksi berkata serangan udara menyasarkan pejabat televisyen pemeritah di Jalan Vali Asr berhampiran bekas bangunan Parlimen lama di pusat bandar, selain beberapa lokasi lain. Dalam satu siaran langsung di media sosial, bunyi jet pejuang, letupan dan jeritan kedengaran ketika perbincangan awam sedang berlangsung.
“Malam ini serangan jauh lebih besar,” kata seorang penduduk yang dikenali sebagai Encik Kamran menerusi pesanan ringkas kepada The New York Times. “Rasanya seperti bom bunker, letupan demi letupan.” Beliau enggan mendedahkan nama penuh atas faktor keselamatan.
Teheran yang biasanya sibuk dengan budaya kafe dan kesesakan lalu lintas kelihatan sunyi. Enam penduduk dan seorang jurugambar yang meninjau bandar itu berkata kebanyakan kedai runcit, farmasi dan premis perniagaan ditutup, manakala jalan raya hampir kosong.
Ramai penduduk melarikan diri ke kawasan pergunungan atau ke utara negara berhampiran Laut Kaspia. Namun ada yang tidak sempat keluar atau tiada tempat untuk dituju.
Penduduk menggambarkan suasana panik apabila keluarga mengemas barang keperluan dalam beg plastik sebelum meninggalkan kawasan yang dibom. Tetapi persoalannya, ke mana harus mereka pergi?
Sebahagian mendakwa bahaya seolah-olah datang dari semua arah.
Walaupun jalan di dalam bandar kosong, lebuh raya keluar dari Teheran sesak dengan kenderaan. Pasukan keselamatan dan ejen perisikan dilaporkan mengadakan sekatan jalan raya di pelbagai lokasi untuk memeriksa kenderaan dan orang awam.
“Serangan sangat dekat dengan kami malam tadi dan pagi ini,” kata Cik Yasaman, 40 tahun, seorang jurugambar. “Saya tidak tidur selama empat malam.”
Jumlah korban di Teheran belum dapat dipastikan, namun Persatuan Bulan Sabit Merah Iran memaklumkan sekurang-kurangnya 555 orang maut di seluruh negara setakat 2 Mac. Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 175 orang termasuk kanak-kanak dilaporkan terbunuh selepas sebuah sekolah di selatan Iran terkena serangan.
Teheran yang dihuni lebih 10 juta penduduk tidak memisahkan zon komersial, pemerintah dan ketenteraan daripada kawasan kediaman. Keadaan ini menjadikan orang awam amat terdedah apabila Amerika Syarikat dan Israel memperluas sasaran daripada kemudahan peluru berpandu dan nuklear kepada struktur pemerintah, pejabat penyiaran serta ibu pejabat keselamatan dan polis.
“Serangan paling keras dari tentera Amerika masih belum berlaku,” kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, pada 2 Mac.
Kini, kepulan asap tebal yang menjulang siang dan malam menjadi sebahagian daripada latar langit Teheran.
“Teheran ialah bandar yang saling bercampur,” kata seorang penduduk, Encik Nasim. “Dalam satu blok ada sekolah, balai polis, hospital dan di sekelilingnya pangsapuri kediaman.”
Pada 1 Mac, Cik Mina, 61 tahun, seorang jurutera, sedang menonton televisyen di rumahnya di Jalan Jordan di utara Teheran apabila sebuah bangunan pejabat tiga rumah dari kediamannya terkena serangan.
“Letupan itu memecahkan semua tingkap dan pintu di rumah saya dan seluruh blok,” katanya. Beliau tidak tahu mengapa bangunan itu disasarkan. “Serangan sangat dekat, bunyinya amat kuat. Doakan kami selamat malam ini,” katanya dalam pesanan suara.
Encik Nasim turut menyaksikan letupan besar yang menghasilkan bebola api merah dan asap tebal. “Saya sangka bangunan kami akan runtuh. Ia amat menakutkan,” katanya.
Serangan itu menyasarkan menara telekomunikasi sebuah saluran televisyen kerajaan yang terletak berhampiran Hospital Gandhi. Hospital swasta yang terkenal dengan rawatan kesuburan itu mengalami kerosakan teruk dan terpaksa memindahkan pesakit termasuk bayi dalam inkubator.
“Kami ada bayi baru lahir,” kata Presiden Hospital Gandhi, Dr Mohammad Hassan Bani Assad. “Ada lapan pesakit di ICU, dua dalam keadaan kritikal. Wanita sedang bersalin. Embrio di jabatan kesuburan.”
Konflik ini berlaku ketika masyarakat Iran masih trauma akibat tindakan keras pemerintah terhadap penunjuk perasaan anti-pemerintah pada Januari lalu yang menurut kumpulan hak asasi mengorbankan sekurang-kurangnya 7,000 orang. Ekonomi negara turut terjejas akibat sekatan Amerika Syarikat, rasuah dan salah urus, dengan kadar inflasi sekitar 60 peratus.
“Orang biasa yang menjadi mangsa,” kata Encik Ehsan, 36 tahun, seorang saintis. “Walaupun tidak terbunuh, kehilangan rumah atau perniagaan sangat sukar dipulihkan dalam keadaan ekonomi seperti ini.”
Istana Golestan, antara bangunan tertua di Teheran dan tapak warisan UNESCO, turut mengalami kerosakan pada dewan cerminnya selepas serangan berhampiran balai polis. Menurut pakar Iran di badan pemikir DAWN, Encik Omid Memarian, jika pengeboman berterusan merosakkan mercu tanda sejarah dan kawasan kediaman, rakyat Iran akan melihatnya bukan sekadar serangan ketenteraan.
“Ia akan dilihat sebagai serangan terhadap tamadun Iran sendiri, sejarah, identiti dan memori budayanya,” katanya. - Agensi berita

