Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenduduk terjejas gempa Venezuela rayu bantuan lebih pantas
Penduduk terjejas gempa Venezuela rayu bantuan lebih pantas
Penduduk dakwa bantuan pemerintah masih belum cukup; angka korban terus meningkat kepada lebih 1,700 nyawa
Penduduk terjejas gempa Venezuela rayu bantuan lebih pantas
EL JUNQUITO (Venezuela): Kemarahan dan kekecewaan semakin memuncak di beberapa kawasan Venezuela yang dilanda dua gempa bumi kuat minggu lalu apabila penduduk mendakwa bantuan pemerintah masih belum mencukupi, ketika angka korban terus meningkat kepada lebih 1,700 orang.
Presiden Dewan Negara Venezuela, Encik Jorge Rodriguez, berkata jumlah kematian akibat dua gempa bumi yang melanda negara itu pada 24 Jun lalu kini meningkat kepada 1,719 orang, manakala 5,034 lagi cedera.
Beliau berkata seramai 15,866 penduduk turut kehilangan tempat tinggal akibat bencana berkenaan.
“Maklumat rasmi adalah satu-satunya maklumat yang benar-benar mempunyai kebenaran untuk dikongsi kepada rakyat,” katanya.
Gempa bumi berkembar bermagnitud 7.2 dan 7.5 itu menyebabkan kemusnahan besar di beberapa wilayah termasuk La Guaira dan kawasan pergunungan El Junquito, kira-kira 33 kilometer di barat Caracas.
Menurut data pemerintah, hampir 200 bangunan musnah sepenuhnya manakala ratusan lagi mengalami kerosakan teruk.
Pakar berkata jumlah korban yang tinggi kemungkinan diburukkan oleh kelemahan penguatkuasaan kod bangunan serta pengabaian prasarana sejak beberapa dekad lalu.
Di El Junquito, penduduk mendakwa mereka masih menunggu bantuan asas dan kehadiran lebih ramai pegawai pemerintah.
Sebaliknya, bantuan awal banyak disalurkan oleh petani dan penduduk tempatan sendiri yang mengagihkan makanan serta bekalan asas kepada mangsa.
Seorang penduduk, Cik Keily Ibarra, 33 tahun, berkata ramai mangsa masih menunggu tindakan lebih pantas daripada pihak berkuasa.
“Kami menunggu jawapan, menunggu runtuhan dibersihkan, menunggu pemeriksaan dibuat dan menunggu bantuan diberikan kepada mereka yang benar-benar terjejas,” katanya.
Beliau menggesa pemerintah melakukan “apa yang perlu dilakukan” bagi membantu mangsa yang kehilangan rumah dan sumber pendapatan.
Pusat komersial El Junquito dilaporkan hampir musnah sepenuhnya dengan beberapa bangunan runtuh masih kelihatan di sekitar kawasan itu.
Ramai penduduk kini tinggal di khemah sementara di kawasan lapang kerana rumah mereka tidak lagi selamat diduduki.
Encik Tony Abreu, pemilik kedai gula-gula tempatan, berkata beliau terpaksa tinggal di khemah sejak gempa berlaku kerana rumah dan kedainya rosak teruk.
“Kami tidak tahu di mana kami akan ditempatkan atau berapa lama kami perlu berada di sini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, pemimpin pembangkang Venezuela, Cik Maria Corina Machado, mendakwa pemerintah menghalangnya memasuki negara itu dari Panama ketika beliau cuba pulang membantu mangsa bencana.
Bagaimanapun, beliau berkata akan terus mencari jalan untuk kembali ke Venezuela.
“Pada saat ini, saya sanggup melakukan apa sahaja dan bercakap dengan sesiapa sahaja untuk membantu rakyat kami,” katanya menerusi video di platform X.
Sementara itu, masyarakat antarabangsa terus meningkatkan bantuan kepada Venezuela dengan tumpuan utama diberikan kepada wilayah La Guaira yang paling teruk terjejas.
Pihak berkuasa berkata negara itu menerima bantuan daripada 30 negara termasuk lebih 1,000 tan bekalan kemanusiaan, 3,600 anggota penyelamat dan sokongan serta 118 anjing pengesan.
Walaupun operasi menyelamat memasuki hari kelima, jumlah sebenar mangsa yang masih terperangkap masih belum diketahui.
Laman web yang digunakan penduduk untuk melaporkan ahli keluarga hilang menunjukkan kira-kira 45,000 orang masih belum dapat dikesan, walaupun angka itu belum disahkan secara rasmi.
Di tengah suasana suram itu, pasukan penyelamat turut mencatat beberapa kejayaan yang memberi harapan kepada rakyat Venezuela.
Antaranya ialah seorang pemuda berusia 21 tahun, Aaron Levi, yang berjaya dikeluarkan hidup-hidup selepas terperangkap selama 106 jam di bawah runtuhan bangunan di La Guaira.
Menurut pemangku Presiden Venezuela, Cik Delcy Rodriguez, operasi menyelamat mangsa itu mengambil masa 43 jam.
“Setiap nyawa yang berjaya diselamatkan memberi harapan baharu kepada seluruh negara,” katanya.
Namun, usaha menyelamat terus berdepan cabaran besar akibat gegaran susulan yang masih berlaku hampir setiap hari.
Pada masa sama, anggota lain terus berada di lokasi untuk mencari tanda-tanda kehidupan serta berkomunikasi dengan rakan sepasukan yang berada berhampiran timbunan runtuhan.
Sekurang-kurangnya 33 mangsa berjaya diselamatkan sepanjang hujung minggu lalu, namun puluhan ribu lagi masih dilaporkan hilang, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa masa semakin suntuk untuk menemui lebih ramai mangsa yang masih hidup.
Menurut pakar, selepas 72 jam berlakunya gempa bumi, peluang untuk menemui mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan menurun secara mendadak.
Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan gegaran susulan bermagnitud 4.6 melanda utara Caracas awal pagi 29 Jun pada kedalaman 10 kilometer.
Cik Rodriguez berkata tiada kerosakan tambahan dilaporkan setakat ini, tetapi gegaran berterusan menambah risiko kepada pasukan penyelamat tempatan dan antarabangsa.
Bagi membantu mangsa yang kehilangan tempat tinggal, pemerintah membuka 15 pusat perlindungan sementara di La Guaira selain menyediakan 50 kem sementara.
Cik Rodriguez turut memuji ketabahan rakyat Venezuela dalam menghadapi tragedi itu.
Beliau bagaimanapun menuduh beberapa pihak menyebarkan maklumat palsu yang boleh meningkatkan keresahan awam.
“Jangan terpengaruh dengan khabar angin atau manipulasi media sosial yang hanya mahu menimbulkan kebimbangan dan keresahan,” katanya.
Dalam masa sama, gangguan bekalan elektrik akibat gempa menyebabkan beberapa loji penapisan minyak, kompleks petrokimia dan kilang industri di wilayah tengah negara itu masih belum dapat beroperasi semula.
Bagaimanapun, sumber industri berkata syarikat minyak pemerintah PDVSA tidak menjangka berlaku kekurangan bahan api domestik kerana pengeluaran di kawasan timur dan barat negara masih mampu memenuhi permintaan. - Agensi berita
