Topik diikuti
Pergi ke BHkuRatusan terperangkap bawah runtuhan selepas gempa kuat landa Venezuela
Ratusan terperangkap bawah runtuhan selepas gempa kuat landa Venezuela
Lebih 235 mayat ditemui, lebih 4,300 lain cedera
Ratusan terperangkap bawah runtuhan selepas gempa kuat landa Venezuela
LA GUAIRA/CARACAS: Ratusan penduduk Venezuela dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan manakala ribuan lagi hilang tempat tinggal selepas dua gempa bumi kuat melanda kawasan sekitar ibu kota Caracas, mengorbankan sekitar 235 orang.
Bencana itu merosakkan bangunan dan menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal itu melanda negara yang sudah lama bergelut dengan kemelut ekonomi.
Gempa pertama bermagnitud 7.2 melanda kawasan kira-kira 160 kilometer ke barat Caracas pada petang 24 Jun, sebelum diikuti satu lagi gegaran lebih kuat bermagnitud 7.5 hanya 39 saat kemudian.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gegaran kedua itu merupakan antara gempa paling kuat melanda Venezuela sejak 1900.
Menteri Kesihatan Venezuela, Encik Carlos Alvarado, berkata lewat 25 Jun bahawa pusat perubatan sudah menerima kira-kira 235 mangsa korban.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan jumlah keseluruhan mangsa, ketika pasukan penyelamat terus mencari mereka yang masih hilang di bawah runtuhan bangunan.
Namun media antarabangsa menyebut sumber menyatakan angka kecederaan telah mencecah lebih 4,300 orang.
Ketua Dewan Nasional Venezuela, Encik Jorge Rodriguez, berkata sebelum itu bahawa sekitar 200 orang dipercayai masih terperangkap, manakala kira-kira 250 bangunan rosak atau musnah.
Antara bangunan yang dilaporkan mengalami kerosakan teruk termasuk sekurang-kurangnya lapan hospital, ibu pejabat Palang Merah Venezuela dan Kedutaan Perancis.
Menteri Dalam Negeri, Encik Diosdado Cabello, berkata kira-kira 70,000 keluarga di wilayah La Guaira terjejas akibat bencana itu.
La Guaira, negeri pesisir pantai yang bersebelahan Caracas dan menempatkan lapangan terbang utama ibu kota, antara kawasan paling teruk dilanda gempa.
“Ia sudah menjadi zon bencana,” kata pemangku presiden, Cik Delcy Rodriguez.
Beliau berkata pemerintah sedang bekerjasama dengan syarikat swasta untuk membawa masuk jentera berat bagi mempercepat operasi mencari dan menyelamat.
Bekalan elektrik masih terputus di beberapa kawasan La Guaira, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar ditutup selepas mengalami kerosakan.
Rakaman video daripada saksi di menunjukkan suasana panik apabila panel siling runtuh ketika gegaran berlaku.
Di beberapa kawasan, pekerja kecemasan dan sukarelawan terus mencari mangsa sepanjang malam. Namun, sebahagian penduduk berkata bantuan rasmi tiba terlalu perlahan.
Cik Yamileth Jimenez, seorang penduduk La Guaira, berkata anak lelakinya yang berusia 19 tahun masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan pangsapuri tujuh tingkat tempat mereka tinggal.
“Dia berada di bawah kepingan konkrit dan tiada jentera untuk mengeluarkannya,” katanya.
Beliau berkata bapanya pula meninggal dunia tiga hari sebelum gempa itu berlaku.
Di La Guaira, sukarelawan menggali runtuhan menggunakan tangan kosong ketika keluarga mangsa menunggu dengan cemas berita mengenai saudara-mara yang hilang.
Di lebuh raya Caracas-La Guaira, orang awam dilihat berjalan menuju ke kawasan pantai sambil membawa air, makanan dan ubat-ubatan, selepas skala kemusnahan mengatasi kemampuan awal pasukan penyelamat.
Seorang pemilik bengkel berusia 64 tahun, Encik Pedro Perez, berkata beliau kehilangan rumah dan perniagaannya.
“Kami kehilangan segala-galanya. Kami tiada makanan atau ubat. Kami berharap bantuan tiba segera,” katanya.
Beliau kini tidur di jalanan bersama isteri dan anak-anaknya.
Di beberapa bahagian Caracas, bekalan elektrik terputus, terutama di kawasan barat bandar, manakala paip air pecah menyebabkan jalan raya ditenggelami air.
Perkhidmatan kereta api bawah tanah dan rel turut digantung.
Sekolah pula diarahkan tutup sehingga hujung minggu ini.
Di La Guaira, lebih 100 bangunan dilaporkan runtuh, menurut agensi kemanusiaan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Penduduk berkata mereka amat memerlukan jentera berat untuk mengalihkan runtuhan, kerana ramai mangsa dipercayai masih hidup di bawah timbunan konkrit, besi dan debu.
Seorang wanita yang berdiri berhampiran bangunan pangsapuri yang rosak teruk menangis sambil berkata: “Adik saya tinggal di sini. Saya tidak nampak sesiapa datang membantu. Ini kelalaian pemerintah.”
Seorang lagi penduduk, Cik Yorliana Colmenares, berkata beliau mendengar bunyi ketukan dari bawah runtuhan sebuah bangunan pada pagi Khamis.
Beliau percaya teman lelakinya masih hidup di dalam bangunan itu. Namun, menurutnya, tiada anggota bomba, pekerja perubatan atau pasukan penyelamat rasmi tiba ketika penduduk mula menggali sendiri runtuhan tersebut.
“Mereka sudah mengeluarkan ramai orang mati. Ada yang cedera, ada kanak-kanak, ada haiwan,” katanya.
Di luar sebuah bangunan lain, sepasang suami isteri mencari anak lelaki mereka berusia lapan tahun yang hilang selepas bermain bola keranjang ketika gempa berlaku.
Bencana itu melanda Venezuela ketika negara itu masih berdepan kesan krisis ekonomi dan politik berpanjangan, yang melemahkan prasarana awam dan menyukarkan operasi bantuan.
Gegaran susulan terus dirasai di Caracas dan kawasan pesisir pantai, menambah ketakutan penduduk yang masih berkumpul di jalan raya kerana bimbang bangunan yang rosak akan runtuh.
USGS memberi amaran bahawa jumlah kematian berkemungkinan meningkat apabila pasukan penyelamat mula sampai ke kawasan bukit dan bandar kecil yang terputus hubungan.
Sebuah laman web yang diwujudkan bagi menjejaki orang hilang dan dikongsi pemimpin pembangkang menyenaraikan lebih 46,000 orang sebagai belum dapat dikesan menjelang petang 25 Jun.
Angka itu belum dapat disahkan secara bebas.
Buat masa ini, tumpuan utama pihak berkuasa adalah menyelamatkan mereka yang masih hidup, merawat mangsa cedera dan menyediakan tempat perlindungan sementara kepada ribuan keluarga yang kehilangan rumah. – Agensi berita.
