Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenduduk Yaman rentas Laut Merah selamatkan diri daripada perang
Penduduk Yaman rentas Laut Merah selamatkan diri daripada perang
OBOCK, Djibouti: Ribuan penduduk Yaman melarikan diri merentasi Laut Merah ke Djibouti sedang pertempuran antara Houthi dengan tentera pemerintah yang disokong Arab Saudi semakin sengit di sepanjang pantai barat negara itu.
Lebih 3,000 pelarian tiba di kem Markazi di Obock, utara Djibouti, dalam beberapa hari kebelakangan ini, kebanyakannya keluarga yang menyeberangi Selat Bab el-Mandab dengan bot.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 120,000 penduduk Yaman telah kehilangan tempat tinggal akibat peningkatan mendadak pertempuran di sepanjang pantai Laut Merah.
Antara mereka ialah Encik Ibrahim Issa, 50 tahun, seorang nelayan dari Dhubab, sebuah bandar di pantai barat Yaman yang menjadi medan pertempuran antara Houthi dengan tentera pemerintah yang disokong Arab Saudi.
Beliau membawa keluarganya keluar menggunakan bot sendiri selepas anak-anaknya semakin ketakutan setiap kali mendengar bunyi pesawat.
“Bagaimana saya boleh terus duduk di sana apabila anak-anak saya menjerit dan menggigil ketakutan?” katanya.
“Apabila mereka mendengar bunyi pesawat, mereka mula menjerit. Sebagai ibu bapa, apa yang boleh dilakukan apabila melihat keadaan seperti ini? Sebab itulah kami melarikan diri, untuk menyelamatkan mereka.”
Encik Ibrahim turut membawa beberapa ekor kambing milik keluarganya.
Sebahagian pelarian lain sempat membawa beberapa barangan peribadi, tetapi ramai tiba hanya dengan pakaian yang dipakai ketika meninggalkan Yaman.
Selepas menyeberangi Bab el-Mandab, mereka meneruskan perjalanan dengan trak atau berjalan kaki ke kem Markazi, yang dikendalikan bersama pemerintah Djibouti dan PBB.
Gelombang pelarian terbaru berlaku selepas Houthi, yang sudah menguasai sebahagian besar kawasan berpenduduk di Yaman, mara pantas ke selatan di sepanjang pantai menuju Bab el-Mandab bulan September ini.
Selat sempit itu merupakan laluan strategik yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan seterusnya Lautan Hindi, menjadikannya antara laluan perkapalan terpenting dunia.
Arab Saudi, yang menyokong pemerintah Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa, bertindak melancarkan ratusan serangan udara di kawasan pantai yang kini menjadi medan pertempuran.
Houthi pula melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu ke bandar serta prasarana di barat daya Arab Saudi.
Bagi pelarian di kem Markazi, persoalan mengenai pihak yang melancarkan serangan bukan perkara utama.
Mereka berkata ancaman bom dan serangan udara yang berlaku berhampiran kediaman mereka menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan Yaman.
Encik Qassim Abraham Abssy, seorang bekas nelayan yang berusia 100 tahun, berkata keluarganya meninggalkan negara itu selepas tidak lagi mampu menanggung ketakutan akibat serangan udara.
“Bunyi pesawat, letupan itulah yang menyebabkan kami melarikan diri demi anak-anak kami,” katanya.
“Kami tidak tahu pesawat itu daripada pihak mana. Mereka mengebom di merata tempat kerana Houthi berada di mana-mana, di gunung dan di jalan raya.”
Djibouti, bekas tanah jajahan Perancis yang terletak hanya di seberang laut dari Yaman, menegaskan ia tidak mahu terbabit dalam perang antara Houthi dengan pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi.
Negara kecil itu bagaimanapun mempunyai kepentingan strategik besar dan menjadi lokasi beberapa pangkalan tentera asing.
Amerika Syarikat mengendalikan Camp Lemonnier di Djibouti sejak 2003, manakala China turut mempunyai pangkalan tentera utama di negara itu.
Di kem Markazi, suhu boleh mencecah sekitar 37 darjah Celsius dan pelarian ditempatkan di khemah yang disediakan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR).
Encik Mohammed Abdullarim, 63 tahun, bekas pemandu pelancong dari Aden, sudah tinggal di kem itu sejak 2015.
Beliau melarikan diri tidak lama selepas perang tercetus antara Houthi dengan pemerintah pimpinan Presiden ketika itu, Encik Abdrabbuh Mansour Hadi.
Melihat kedatangan gelombang baru pelarian selepas lebih sedekad konflik, beliau berkata keadaan yang dialami rakyat Yaman amat menyedihkan.
“Kebanyakan orang di sini berada dalam keadaan yang sangat sukar. Saya menangis untuk mereka, untuk rakyat saya dan penderitaan mereka,” katanya.
Perang saudara Yaman yang bermula pada 2014 telah mengorbankan puluhan ribu orang dan menyebabkan jutaan lagi kehilangan tempat tinggal.
Gencatan senjata yang diusahakan PBB pada 2022 pernah mengurangkan pertempuran antara Houthi dengan Arab Saudi, tetapi keadaan itu semakin terhakis sejak beberapa bulan lalu apabila kedua-dua pihak kembali berbalas serangan peluru berpandu, dron dan serangan udara.
Pertempuran berhampiran Bab el-Mandab turut mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan perkapalan dan aliran eksport minyak Arab Saudi melalui Laut Merah.
Bagi pelarian, keutamaan mereka lebih asas – keselamatan, makanan, air dan peluang pendidikan untuk anak-anak.
Isteri Encik Qassim, Cik Aisha Abdulkadir Mohammed, berkata keluarganya bersedia pulang sekiranya keamanan kembali ke Yaman.
“Kami sanggup pulang dengan aman jika keamanan kembali ke negara kami. Kami berdoa supaya keamanan kembali,” katanya.
“Apa yang kami perlukan hanyalah keamanan. Anak-anak kami perlukan keselamatan terlebih dahulu, kemudian makanan, air dan pendidikan.
“Seperti yang anda lihat, kami melarikan diri hanya dengan pakaian yang kami pakai dan meninggalkan segala-galanya kerana di Yaman, tiada keamanan.” - Agensi berita

