BETHEL PARK (Pennsylvania): Siasatan ke atas pembantu rumah penjagaan rawatan berusia 20 tahun yang didakwa cuba membunuh Donald Trump semasa sebuah rapat pilihan raya mendedahkan sedikit sahaja tentang alasan dia melakukannya atau bagaimana dia hampir membunuh mantan presiden itu.
Butiran awal yang diperolehi mengenai Thomas Matthew Crooks, yang ditembak mati oleh pegawai penguat kuasa, menunjukkan dia bekerja dekat kawasan rumahnya setelah tamat sekolah menengah pada 2022 dengan reputasi sebagai seorang rakan sedarjah cemerlang tetapi pendiam.
Biro Siasatan Federal (FBI) berkata pada 14 Julai bahawa profil media sosialnya tidak mengandungi bahasa mengancam, dan mereka juga tidak menemui sebarang sejarah isu kesihatan mental.
Mereka berkata dia bertindak sendirian dan belum mengenal pasti motifnya.
Yang unik tentang Crooks – dibandingkan dengan penembak baru-baru ini yang melepaskan tembakan di sekolah, gereja, pusat beli-belah dan perarakan – ialah dia begitu hampir membunuh seorang calon presiden.
Pada petang 13 Julai, Crooks menyusup ke atas sebuah bumbung sekitar 140 meter dari pentas tempat Encik Trump berucap di Butler, Pennsylvania.
Dia kemudian melepaskan tembakan dari senapang semi automatik AR-15, yang dibeli oleh bapanya, kata pihak berkuasa.
Tembakannya membunuh seorang lelaki berusia 50 tahun, mencederakan dua hadirin lain dan terkena telinga Encik Trump.
Seorang penduduk Bethel Park, kira-kira sejam dari tempat kejadian itu, berkata Crooks seorang anggota Republikan yang layak membuang undi buat kali pertama dalam pilihan raya 5 November, yang menyaksikan persaingan antara Encik Trump dengan Presiden Joe Biden.
Crooks bekerja sebagai pembantu pemakanan di rumah penjagaan ketika kejadian berlaku, kata pentadbir rumah itu dalam satu kenyataan.
Cik Marcie Grimm, pentadbir Pusat Kejururawatan dan Pemulihan Berkemahiran Taman Bethel, berkata pihaknya dimaklumkan pada 14 Julai bahawa Crooks adalah suspek lelaki bersenjata dalam satu percubaan membunuh.
“Kami terkejut dan sedih mengetahui pelibatannya kerana Crooks melaksanakan tugasnya dengan baik dan pemeriksaan latar belakangnya bersih,” kata Cik Grimm. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg