NEW YORK: Menurut pihak berkuasa Amerika Syarikat, lelaki yang dikatakan cuba menembak dan mencederakan bekas presiden Donald Trump pernah muncul seketika dalam satu iklan televisyen untuk BlackRock, pengurus aset terbesar dunia, yang dirakam di sebuah sekolah Pennsylvania, tempat lelaki bersenjata itu menuntut pada 2022.
BlackRock berkata 14 Julai bahawa iklan itu – yang memaparkan adegan yang dirakam di dalam bilik darjah seorang guru ekonomi di Sekolah Menengah Bethel Park – telah dikeluarkan daripada edaran.
Lelaki bersenjata itu, Thomas Matthew Crooks, seorang senior di sekolah itu pada 2022, muncul di skrin dua kali dalam tempoh 30 saat. Dia dilihat duduk di meja kelas, memakai baju panas berhud berwarna gelap, dan tidak bercakap.
Crooks, 20 tahun, dibunuh oleh ejen Perkhidmatan Risik Amerika pada 13 Julai selepas dia melepaskan tembakan menggunakna senapang separa automatik ke arah Trump semasa perhimpunan luar di Butler, Pennsylvania. Seorang penonton terbunuh, dan dua lagi cedera parah. Pihak berkuasa belum dapat memastikan motif.
“Pada 2022, kami menyiarkan iklan yang menampilkan seorang guru dari Sekolah Menengah Bethel Park, dengan beberapa pelajar yang tidak dibayar, muncul secara ringkas di latar belakang, termasuk Thomas Matthew Crooks,” kata BlackRock. “Kami akan menyerahkan semua rakaman video kepada pihak berkuasa, dan kami telah mengeluarkannya daripada edaran kerana menghormati mangsa.”
Syarikat itu menggelar cubaan pembunuhan itu sebagai “menjijikkan”, sambil menambah: “BlackRock mengutuk sekeras-kerasnya keganasan politik dalam apa jua bentuk dan akan melakukan bahagian tugas kami untuk mempromosikan kesopanan dan perpaduan di negara ini.”
Iklan itu bertajuk ‘AP And Honours Economics’, sebahagian siri televisyen dan iklan dalam talian, yang dimulakan pada musim luruh 2022, dengan BlackRock berharap dapat memperkenalkan kerja syarikat itu kepada orang ramai.
Kempen iklan itu diperkenalkan selepas BlackRock menghadapi kritikan daripada pegawai negara Republikan kerana melabur dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus atau ESG. Satu lagi iklan seperti itu memaparkan seorang ahli bomba di Florida.
Set iklan di Bethel Park High School termasuk grafik pada skrin yang mempromosikan pengawasan BlackRock terhadap aset pelan persaraan untuk guru sekolah awam. Ia diakhiri dengan slogan: “Melabur dalam Masa Depan Rakyat Amerika.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg