DUBAI: Beberapa penerbangan komersial mula melencongkan laluan mereka atau menggantung penerbangan mereka susulan sebuah agensi berita Iran mendakwa terdapat ‘letupan’ kedengaran di bandar Isfahan.
Kejadian itu berlaku ketika ketegangan kekal tinggi di Asia Barat selepas serangan peluru berpandu dan dron Iran terhadap Israel selepas rejim itu menyerang kedutaannya di Damsyik, Syria.
Semua penerbangan menuju ke bandar Teheran, Isfahan dan Shiraz, lapangan terbang barat, barat laut dan barat daya telah digantung.
Pengarah perhubungan awam sebuah syarikat lapangan terbang Iran mengesahkan dalam temu bual dengan Mehr TV yang dikendalikan pemerintah.
Penggantungan itu berkuat kuasa serta-merta, tetapi penerbangan belum dibatalkan, kata pengarah itu.
Setakat ini sekurang-kurangnya lapan penerbangan telah dilencongkan dari ruang udara Iran, memetik laporan CNN.
Terdahulu beberapa syarikat penerbangan utama membatalkan penerbangan mereka ke Tel Aviv, Israel, di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di rantau itu berikutan serangan Iran ke atas Israel.
American United Airlines pada 15 April berkata pihaknya membatalkan penerbangan ke Tel Aviv pada hari yang sama.
Isfahan terletak kira-kira 350 kilometer di selatan ibu negara Iran, Teheran. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg