Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Pengamat: Kuasa politik PAS kian bertambah

Nov 22, 2022 | 05:30 AM



MATA masyarakat sejak keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Malaysia dirasmikan tertumpu pada persaingan dua penjuru untuk menubuhkan kerajaan dan identiti Perdana Menteri ke-10.



Namun satu perkembangan lain yang lahir daripada PRU15 turut wajar diberi perhatian.



Landskap politik di Malaysia telah berubah dan mungkin ini adalah isyarat perubahan lebih besar bagi masa depan, sekurang-kurangnya bagi jangka pendek dan jangka sederhana.



Sedang pengundi di Malaysia telah menunjukkan ia enggan menyokong gabungan parti yang dianggap telah dicemari rasuah walaupun gabungan parti yang sama memperjuangkan hak Melayu dan Islam, ia juga telah mendakap politik konservatif berteras agama yang diperjuangkan Parti Islam SeMalaysia (PAS).



PAS, yang didaftarkan sebagai parti politik pada 1955, memenangi jumlah kerusi parlimen paling banyak dalam sejarahnya di PRU15.



Ada pemerhati politik berkata PAS meraih pencapaian itu semasa bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) namun 49 kerusi parlimen yang dimenanginya - paling banyak dimenangi sebarang parti di pilihan raya ini bermakna sokongan yang diraih parti dalam kalangan pengundi tidak boleh dipertikaikan.



Sebagai perbandingan, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) - satu lagi komponen parti utama dalam PN - memenangi 24 kerusi.



Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula memenangi 31 kerusi parlimen, sementara Umno memenangi 26 kerusi.



Menjawab pertanyaan Berita Harian, pemerhati politik Profesor James Chin berkata sebelum PRU15, pengaruh PAS dan pendirian Islam konservatif yang diperjuangkannya dianggap sebagai terhad kepada negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia seperti Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah.



PAS tidak pernah dijangka berperanan politik di peringkat federal, atau memenangi lebih 10 peratus daripada 22 kerusi parlimen yang dipertandingkan, berdasarkan rekodnya memenangi antara 18-23 kerusi di beberapa pilihan raya umum lalu.



Namun, semua andaian ini telah berubah selepas PRU15.



Bidang kuasa PAS telah bertambah, juga di tempat-tempat yang tidak dianggap sebagai pangkalan sokongan baginya.



Sebagai contoh, PAS memenangi dua kerusi parlimen di Pulau Pinang, satu-satunya negeri yang dipimpin Menteri Besar Cina dan yang dianggap sebagai antara negeri yang paling liberal di Malaysia.



Malah, calon PAS di Permatang Pauh menewaskan calon PH Cik Nurul Izzah Anwar, walaupun kerusi parlimen tersebut telah menjadi milik keluarga Anwar Ibrahim sejak 40 tahun lalu.



Profesor Chin, yang mengajar Pengajian Asian di Universiti Tasmania di Australia berkata laporan awal menunjukkan pengundi baru yang lebih muda juga menyokong PAS, walaupun kumpulan pengundi muda yang mengundi, secara keseluruhannya, tidak besar.



"Satu-satunya penjelasan bagi prestasi PAS yang di luar jangkaan di PRU15 ini ialah peralihan sokongan kepadanya yang besar dalam kalangan pengundi yang sedia ada.



"Lebih penting, ia juga mendapat sokongan pengundi baru, yang membolehkannya menang di luar tempat-tempat yang dianggap pangkalan sokongannya," ujar Profesor Chin, yang juga Felo Kanan di Institut Jeffery Cheah bagi Asia Tenggara.



Memberi sudut pandangan yang selaras, pengarah di BowerGroupAsia, Encik Adib Zalkapli, berkata imej Barisan Nasional (BN) yang dikaitkan dengan 'kluster mahkamah' atau pemimpin yang berdepan dengan dakwaan rasuah atau pecah amanah, juga memain peranan mendorong pengundi yang mahukan pemimpin yang memimpin berpandukan teras kepimpinan Melayu kepada PN.



Berkongsi pendapat yang sama, pemerhati politik, Dr Oh Ei Sun, Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata pengundi dari golongan Melayu yang konservatif tetapi tidak mahu menyokong Pakatan Harapan akan memilih parti yang dianggap bersih, seperti PAS.



LEBIH PENGARUH, LEBIH SEDERHANA?



Profesor Chin berkata kemenangan besar PAS dalam PRU15 bermakna ia berupaya membentuk sepertiga sebarang gabungan parti kerajaan dan boleh meminta kerajaan memberikan jawatan tertinggi di kementerian utama kepada Anggota Parlimen (AP) dari parti itu.



Ini bemakna ia boleh mengubah landskap politik dan sosial di Malaysia jika ia menyokong lebih banyak dasar awam yang berteraskan agama.



Sebagai contoh, usaha PAS mengangkat kedudukan Mahkamah Syariah supaya setaraf dengan Mahkamah Sivil dijangka dipergiat dalam parlimen yang bakal ditubuhkan.



Bercakap di Muktamar Tahunan Pemuda PAS di Alor Setar, Kedah, pada September lalu, ketua pemuda PAS, Encik Ahmad Fadhli Shaari, berkata PAS tidak pernah lupa akan perkara tersebut yang diperjuangkan menerusi Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai RUU355.



Namun, PAS juga boleh berubah menjadi lebih sederhana jika PN menubuhkan kerajaan Malaysia yang seterusnya berdasarkan keprihatinan kehadirannya dalam kerajaan boleh menjadi rintangan bagi pelabur asing memasuki Malaysia.



Menurut Profesor Chin, satu sebab Kelantan dan Terengganu - kededuanya dipimpin PAS di peringkat negeri - kekal sebagai antara negeri yang termiskin di Malaysia ialah kerana ia mengutamakan pembangunan kerohanian daripada pembangunan ekonomi dan tidak menarik banyak pelaburan asing.



Pada hari-hari awal selepas PRU15 ini, persoalan mengenai PAS yang mana satu - yang lebih sederhana atau yang terus berpegang teguh kepada pendirian Islam konservatif - akan muncul di parlimen nanti.



Hanya masa boleh memperlihatkan jawapannya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >