Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengasas Telegram didakwa, dilarang tinggalkan Perancis

Aug 29, 2024 | 11:54 AM
Perancis telah mendakwa pengasas Telegram, Pavel Durov, kerana melanggar undang-undang berkaitan dengan aplikasi pemesejan.
Perancis telah mendakwa pengasas Telegram, Pavel Durov, kerana melanggar undang-undang berkaitan dengan aplikasi pemesejan. - Foto REUTERS

PARIS: Pengasas dan ketua Telegram, Pavel Durov, telah didakwa di mahkamah Perancis pada 28 Ogos dengan beberapa pelanggaran berkaitan aplikasi pemesejan dan melarangnya meninggalkan negara itu.

Namun, mahkamah membenarkan jutawan itu berjalan bebas selepas empat hari ditahan.

Durov, 39 tahun, didakwa atas beberapa pertuduhan kerana gagal membendung kandungan melampau dan haram dalam aplikasi pemesejan popular berikutan perbicaraan dengan majistret penyiasat di Paris.

Dilahirkan di Russia, Durov ditangkap di lapangan terbang Le Bourget di luar Paris pada 24 Ogos dan disoal siasat pada hari-hari berikutnya semasa ditahan oleh penyiasat.

Dia telah diberikan pembebasan bersyarat dengan ikat jamin 5 juta euro ($7.25 juta) dan dia mesti melaporkan diri di balai polis dua kali seminggu serta kekal di Perancis, kata pendakwa raya Paris, Encik Laure Beccuau, dalam satu kenyataan.

Tuduhan itu membabitkan dakwaan jenayah yang melibatkan kumpulan tersusun termasuk “bersubahat dalam pentadbiran wadah dalam talian untuk membolehkan transaksi haram”.

Durov juga telah didakwa kerana enggan berkongsi dokumen yang dituntut oleh pihak berkuasa, “penyebaran imej kanak-kanak di bawah umur dalam pornografi kanak-kanak”, serta pengedaran dadah, penipuan dan pengubahan wang haram.

Peguamnya, Encik David-Olivier Kaminski, berkata adalah “tidak masuk akal” untuk mencadangkan Durov terlibat dalam sebarang jenayah yang dilakukan menerusi aplikasi itu.

Encik Kaminski menambah: “Telegram mematuhi semua aspek peraturan Eropah mengenai teknologi digital.”

Secara berasingan, dia turut disiasat kerana disyaki melakukan “tindakan keganasan serius” terhadap salah seorang anaknya semasa dia dan bekas pasangannya, iaitu ibu kanak-kanak itu, berada di Paris, kata sumber.

Ibu kanak-kanak itu juga memfailkan satu lagi aduan terhadap Durov di Switzerland pada 2023.

Durov, yang turut digelar sebagai ‘Mark Zuckerberg dari Russia’, mempunyai dua kewarganegaraan, Perancis dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Dianggarkan oleh Forbes sebagai mempunyai kekayaan sebanyak AS$15.5 bilion ($19.66 bilion), Durov pada April berkata beberapa pemerintah berusaha untuk menekannya, tetapi aplikasi itu harus kekal sebagai wadah neutral dan bukan ‘alat geopolitik’.

Aplikasi tersebut kini mempunyai lebih 900 juta pengguna. – AFP.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg