LONDON: Pengasas WikiLeaks, Encik Julian Assange, dibebaskan selepas lima tahun dalam tahanan British, dan isterinya, Cik Stella Assange, pada 24 Jun mengucapkan terima kasih kepada peserta kempen atas sokongan mereka.
“Julian bebas!!!” tulis Cik Stella di wadah media sosial X, berikutan pengesahan bahawa Encik Assange telah meninggalkan penjara keselamatan tinggi Belmarsh, di tenggara London.
“Kata-kata tidak dapat melahirkan rasa terima kasih kami yang tidak terhingga” kepada semua orang yang menyokong desakan sejagat bagi pembebasannya, tambah Cik Stella.
Cik Stella bertemu Encik Assange semasa penerbit warga Australia itu berlindung di kedutaan Ecuador di London untuk mengelak ekstradisi ke Sweden atas tuduhan serangan seksual, yang kemudiannya digugurkan.
Encik Assange, yang dituduh membocorkan rahsia ketenteraan Amerika Syarikat berkaitan peperangan di Afghanistan dan Iraq, sepatutnya kembali ke mahkamah di London pada Julai selepas memenangi rayuan terhadap ekstradisi.
Tetapi WikiLeaks berkata dalam satu kenyataan: “Julian Assange sudah bebas. Beliau sudah keluar dari penjara Belmarsh pada pagi 24 Jun, selepas ditahan selama 1,901 hari di sana.
“Beliau dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Tinggi di London, dan dibebaskan di Lapangan Terbang Stansted pada sebelah petang, dengan menaiki pesawat dan meninggalkan UK (United Kingdom).”
Kumpulan kebebasan media itu berkata kempen berterusan oleh penyokong akar umbi hingga pemimpin politik dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) “mewujudkan ruang untuk satu rundingan panjang dengan Jabatan Kehakiman Amerika”, membawa kepada satu perjanjian.
Pertubuhan itu berkata perjanjian tersebut “belum dimuktamadkan secara rasmi”.
Ibu Encik Assange, Cik Christine Assange, berkata pada 25 Jun bahawa “pahitnya akhirnya akan berakhir”, dalam satu kenyataan kepada media Australia, berikutan berita mengenai perjanjian rayuan bagi pembebasan anaknya. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg