Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengasas WikiLeaks pulang ke Australia setelah dibebaskan

Jun 26, 2024 | 8:06 PM
Pengasas WikiLeaks, Julian Assange, mengangkat tangan dan genggam jejari sebagai memberi isyarat kebebasannya sebaik pesawat peribadi beliau mendarat di Canberra, Australia, pada 26 Jun.
Pengasas WikiLeaks, Julian Assange, mengangkat tangan dan genggam jejari sebagai memberi isyarat kebebasannya sebaik pesawat peribadi beliau mendarat di Canberra, Australia, pada 26 Jun. - Foto EPA-EFE

CANBERRA (Australia): Pengasas WikiLeaks, Encik Julian Assange, telah pulang ke Australia pada 26 Jun selepas mengaku bersalah atas tuduhan membocorkan maklumat pertahanan Amerika Syarikat.

Encik Assange yang dibebaskan dari Penjara Belmarsh di Britain, telah menaiki pesawat peribadi yang membawanya ke mahkamah di Kepulauan Pasifik dalam wilayah Amerika untuk membuat pengakuan atas tuduhan yang dikenakan ke atasnya sebelum terbang ke Canberra.

Ketibaan beliau di Australia mengakhiri drama antarabangsa yang menyaksikannya meringkuk selama lima tahun di penjara yang dikawal ketat di London.

Warga Australia itu mengangkat tangan ketika keluar dari pintu pesawat, melangkah melintasi landasan untuk memberi pelukan kepada isterinya, Cik Stella Assange, dan kemudian memeluk bapanya.

Menerusi satu catatan di platform media sosial X, WikiLeaks berkata, ia akan mengadakan sidang akhbar di ibu negara Australia pada 9.15 malam (7.15 malam waktu Singapura) pada 26 Jun, tetapi tidak menyatakan sama ada Encik Assange akan hadir.

“Beliau akan dapat meluangkan masa berkualiti bersama isteri, Stella, dan dua anaknya, dapat berjalan di pantai dan merasai pasir melalui jari kakinya pada musim sejuk – kesejukan yang indah itu,” kata bapa Encik Assange, Encik John Shipton.

Encik Assange, 52 tahun, mengaku bersalah di mahkamah Amerika di Saipan pada 26 Jun, setelah hakim menerima pengakuan bersalahnya atas satu tuduhan konspirasi untuk mendapatkan dan menyebar maklumat pertahanan Amerika. 

Bilik mahkamah terpencil itu dipilih kerana keengganan beliau untuk pergi ke benua Amerika dan kerana jaraknya yang berdekatan dengan Australia.

Sebagai sebahagian daripada rundingan undang-undang di belakang tabir dengan Jabatan Kehakiman Amerika, beliau dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dan dua bulan – dan kemudian dibebaskan.

“Anda akan dapat keluar dari bilik mahkamah ini sebagai lelaki bebas,” hakim beritahunya.

Encik Assange telah membocorkan ratusan ribu dokumen sulit Amerika di laman Wikileaks dari 2010.

Beliau menjadi wira kepada kempen kebebasan bersuara, namun dilihat sebagai musuh kepada mereka yang menganggap beliau membahayakan keselamatan Amerika dan sumber perisikan.

“Bekerja sebagai seorang wartawan, saya menggalak sumber saya untuk menyediakan bahan yang dikatakan rahsia,” kata Encik Assange kepada mahkamah.

Peguam Encik Assange, Encik Jen Robinson, memberitahu wartawan bahawa ia adalah “hari bersejarah” yang “mengakhiri 14 tahun pergelutan dengan undang-undang”.

“Ia juga menamatkan kes yang telah diiktiraf sebagai ancaman terbesar kepada Pindaan Pertama pada abad ke-21,” katanya. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg