Pengeboman AS-Israel ke atas sekolah perempuan di Iran ragut 115 nyawa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengeboman AS-Israel ke atas sekolah perempuan di Iran ragut 115 nyawa

Mar 2, 2026 | 1:44 PM

Pengeboman AS-Israel ke atas sekolah perempuan di Iran ragut 115 nyawa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
perang, Iran, Israel, AS
Orang ramai dan pasukan penyelamat menjalankan operasi selepas serangan Israel ke atas sebuah sekolah di Minab, Iran, pada 28 Februari. - Foto REUTERS

MINAB (Iran): Sekurang-kurangnya 115 orang terbunuh, kebanyakannya dipercayai kanak-kanak, apabila sebuah sekolah rendah perempuan di selatan Iran musnah dalam serangan pada 28 Februari.

Demikian menurut pegawai kesihatan dan media Iran.

Operasi mencari mangsa terselamat di runtuhan Sekolah Shajarah Tayyebeh di bandar Minab ditamatkan pada 1 Mac, kata Gabenor Minab, Encik Mohammad Radmehr.

Kejadian itu dipercayai serangan yang meragut jumlah korban tertinggi setakat ini dalam kempen pengeboman berterusan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel.

Rakaman video serta imej yang disahkan menunjukkan sekurang-kurangnya separuh bangunan dua tingkat itu runtuh akibat letupan kuat.

Pasukan Bulan Sabit Merah dilihat bersama ahli keluarga mangsa menyelongkar runtuhan yang dipenuhi buku sekolah dan beg pelajar berlumuran darah serta debu.

Sebahagian dinding yang pernah dihiasi mural berwarna-warni masih kelihatan di celah runtuhan, manakala meja kelas tertimbus serpihan konkrit.

Dalam rakaman lain, pasukan penyelamat mengeluarkan anggota badan mangsa dari timbunan runtuhan, sementara mayat diletakkan dalam beg khas di tengah kesibukan ambulans.

Ketua Bulan Sabit Merah Iran, Encik Pirhossein Kolivand, menyifatkan tragedi itu menyayat hati sekali.

“Insiden sekolah Minab tidak dapat dibandingkan dengan mana-mana kejadian lain,” katanya dalam video di media sosial.

“Malah di Gaza pun tidak pernah begitu ramai pelajar terkorban serentak. Ini kejadian pahit dan menyayat hati,” tambahnya.

Setakat ini tidak jelas mengapa sekolah itu menjadi sasaran atau pihak manakah yang melancarkan serangan.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mengecam serangan tersebut.

“Pembunuhan pelajar di tempat pembelajaran merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang melindungi sekolah,” ujar kenyataan agensi itu.

Menurut Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, serangan ke atas sekolah, hospital atau struktur awam secara sengaja adalah jenayah perang, dan serangan tanpa diskriminasi juga melanggar undang-undang antarabangsa walaupun terdapat sasaran ketenteraan berhampiran.

Pusat Perlindungan Orang Awam dalam Konflik yang berpangkalan di Washington turut menggesa ketegangan dihentikan serta-merta.

“Kami menyeru supaya semua pihak meredakan ketegangan dengan segera, menahan diri sepenuhnya dan mengambil tindakan secepatnya untuk melindungi orang awam serta prasarana awam,” kata organisasi itu.

Aktivis pendidikan wanita dan penerima Hadiah Nobel Keamanan, Cik Malala Yousafzai, menyatakan “hancur (beliau) hati dan terkejut” dengan serangan tersebut.

Sekolah berkenaan terletak berhampiran pangkalan tentera laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), pasukan tentera elit negara itu.

Imej satelit menunjukkan bangunan itu pernah menjadi sebahagian daripada pangkalan berkenaan pada 2013 sebelum dipisahkan sepenuhnya menjelang 2016.

Rakaman lain menunjukkan kepulan asap tebal dari dua bangunan dalam pangkalan tersebut semasa gelombang serangan pada hari sama, menandakan kemudahan ketenteraan turut menjadi sasaran.

Tentera Israel tidak memberikan sebarang komen mengenai kejadian itu.

Jurucakap Komando Pusat Amerika, Kapten Tim Hawkins, berkata pihaknya mengetahui laporan korban awam.

“Kami memandang serius laporan kecederaan orang awam dan sedang menelitinya,” katanya sambil menegaskan perlindungan orang awam adalah keutamaan.

Serangan di Minab berlaku pada waktu pagi dan merupakan satu daripada dua serangan yang dilaporkan melibatkan sekolah pada hari sama.

Satu lagi letupan dilaporkan melanda Sekolah Menengah Hedayat di Teheran berhampiran Dataran Narmak, mengorbankan dua pelajar, lapor agensi berita hak asasi manusia berpangkalan di Amerika.

Jurucakap Bulan Sabit Merah Iran berkata hampir 750 orang cedera dan lebih 200 terbunuh dalam serangan di 24 wilayah seluruh negara. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg