SPH Logo mobile
Langgan|

Iran terus disasar selepas serangan AS-Israel bunuh Ayatollah Khamenei

Iran terus disasar selepas serangan AS-Israel bunuh Ayatollah Khamenei

Mar 1, 2026 | 4:31 PM

Iran terus disasar selepas serangan AS-Israel bunuh Ayatollah Khamenei

Orang ramai memberi reaksi sambil berkumpul di Dataran Enghelab, selepas Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei terbunuh dalam serangan Israel dan Amerika Syarikat pada hari Sabtu, di Tehran, Iran, 1 Mac 2026.
Orang ramai memberi reaksi sambil berkumpul di Dataran Enghelab, selepas Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei terbunuh dalam serangan Israel dan Amerika Syarikat pada hari Sabtu, di Tehran, Iran, 1 Mac 2026. - Foto REUTERS

DUBAI/JERUSALEM/WASHINGTON: Israel berkata ia melancarkan satu lagi gelombang serangan ke atas Iran pada Ahad, ketika rakyat Iran berdepan ketidaktentuan selepas pemimpin agama tertinggi mereka terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat dan Israel yang mengancam kestabilan Timur Tengah.

Sementara itu, Presiden Amerika Encik Donald Trump memberi amaran tentang akibat maut jika Iran bertindak balas.

Satu lagi tamparan kepada kepimpinan Iran apabila Ketua Turus Angkatan Bersenjata, Encik Abdolrahim Mousavi, terbunuh dalam serangan, lapor Iran TV.

Beberapa jam selepas Washington dan Israel mengumumkan satu serangan udara telah membunuh Ayatollah Ali Khamenei dalam salah satu siri serangan terbesar ke atas Iran dalam beberapa dekad, media pemerintah Iran mengesahkan kematian pemimpin berusia 86 tahun itu pada 28 Februari.

Encik Trump berkata serangan itu bertujuan menamatkan ancaman Iran dan menghalangnya membangunkan senjata nuklear, sambil mempertahankan langkah berisiko yang dilihat bercanggah dengan pendiriannya menolak penglibatan Amerika di konflik luar negara.

Tentera Israel berkata serangan pagi 1 Mac menyasarkan sistem peluru berpandu balistik dan pertahanan udara Iran, manakala media Iran melaporkan satu letupan di Tehran.

Encik Trump memberi amaran pada 1 Mac yang Amerika akan menyerang Iran “dengan kekuatan yang belum pernah dilihat sebelum ini” jika negara itu membalas serangan.

“Iran baru sahaja menyatakan bahawa mereka akan menyerang dengan sangat kuat hari ini, lebih kuat daripada yang pernah mereka alami sebelum ini,” katanya di Truth Social.

Beliau menambah dalam huruf besar: “Jangan berbuat demikian. Jika tidak, kami akan menyerang dengan kekuatan yang belum pernah dilihat sebelum ini!”

Israel dan Amerika mengatur masa serangan agar bertepatan dengan mesyuarat Khamenei dan pembantu kanannya, menurut dua sumber serta seorang pegawai Amerika.

Media Iran melaporkan beliau terbunuh ketika bekerja di pejabatnya, bersama beberapa ahli keluarga terdekat. 

Ketua agensi keselamatan Iran, Encik Ali Larijani, berkata satu majlis kepimpinan sementara akan ditubuhkan.

Beliau menuduh Amerika dan Israel cuba merompak dan memecah-belahkan Iran, dan memberi amaran kepada “kumpulan pemisah” tentang tindakan balas yang keras jika mereka cuba bertindak, menurut televisyen negara.

Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Amir Saeid Iravani, memberitahu Majlis Keselamatan ratusan orang awam terbunuh dan cedera, sambil menyifatkan serangan balas Iran sebagai mempertahankan diri. 

Setiausaha Agung PBB Encik Antonio Guterres menggesa permusuhan dihentikan segera dan melahirkan kekesalan kerana peluang usaha damai telah disia-siakan.

Pada 28 Februari, Iran melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron sebagai tindak balas, menyasarkan tentera Amerika di rantau itu serta bandar di Israel dan negara Arab yang sekutu dengan Washington, menyebabkan pembatalan penerbangan secara meluas.

Pentagon berkata tiada rakyat Amerika terbunuh atau cedera, namun kebimbangan timbul terhadap risiko baru termasuk kemungkinan serangan siber ke atas infrastruktur kritikal Amerika.

Lapangan terbang utama di Timur Tengah, termasuk Dubai, hab antarabangsa paling sibuk di dunia, ditutup pada 28 Februari selepas serangan balas peluru berpandu Iran mencetuskan gangguan penerbangan global yang teruk.

Ribuan penerbangan terjejas di seluruh Timur Tengah, menurut data FlightAware, platform penjejakan penerbangan.

Penutupan lapangan terbang itu turut memberi kesan jauh melangkaui Timur Tengah.

Dubai dan Doha yang berjiran terletak di persimpangan laluan udara timur barat, menyalurkan penerbangan jarak jauh antara Eropah dan Asia melalui rangkaian penerbangan sambungan yang dijadualkan ketat.

Apabila hab ini terhenti, pesawat dan kru terkandas di lokasi yang salah, sekali gus mengganggu jadual syarikat penerbangan di seluruh dunia.

“Ia melibatkan jumlah penumpang yang besar dan kerumitan operasi,” kata penganalisis penerbangan berpangkalan di UK, John Strickland.

“Bukan sahaja penumpang, tetapi juga kru dan pesawat yang bertaburan di merata tempat.”

Penghantaran laut turut terjejas teruk kerana rantau ini merupakan pembekal utama minyak dan gas asli cecair.

Teheran turut memberi amaran Selat Hormuz telah ditutup, mencetuskan jangkaan lonjakan harga minyak.

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berkata angkatan bersenjata negara itu akan melancarkan operasi serangan terbesar terhadap pangkalan Amerika dan Israel.

Pengawal Revolusi berkabung atas kehilangan “pemimpin agung”, manakala Trump menyifatkannya sebagai antara “orang paling jahat dalam sejarah”.

Encik Trump dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu menggesa rakyat Iran agar bangkit menggulingkan pemerintah mereka.

Pakar berkata kematian Khamenei merupakan tamparan besar, namun tidak semestinya menamatkan pemerintahan ulama atau pengaruh Pengawal Revolusi.

Dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB pada Sabtu, Rusia dan China mengkritik serangan itu ketika Iran sedang berunding dengan Washington.

Pegawai Amerika berkata rundingan gagal kerana Iran enggan menghentikan pengayaan uranium yang menurut Tehran untuk tenaga nuklear, tetapi menurut Washington boleh membuka laluan kepada pembinaan bom nuklear.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec) Plus dijadual bermesyuarat pada 1 Mac dan mungkin meningkatkan pengeluaran melebihi rancangan selepas beberapa pemilik kapal tangki, syarikat minyak dan firma dagangan menggantung penghantaran tenaga melalui selat itu. – Reuters, AFP.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg