RIYADH: Arab Saudi menyatakan bahawa serangan yang dilakukan sejak beberapa minggu lalu oleh Iran terhadap prasarana tenaga negara itu mengorbankan seorang individu dan menjejas kapasiti pengeluaran minyaknya, menurut Agensi Berita Saudi (SPA), memetik sumber rasmi Kementerian Tenaga.

Serangan yang menyasarkan tapak minyak, gas dan elektrik di Riyadh, Wilayah Timur, dan Bandar Perindustrian Yanbu, mengakibatkan kematian seorang warga Arab Saudi yang merupakan pegawai keselamatan perindustrian syarikat tenaga Saudi, dan tujuh yang lain cedera, lapor agensi itu pada 9 April.

Ini menjadikan angka korban di negara itu meningkat kepada tiga orang sejak permulaan perang, yang tercetus akibat serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran pada 28 Februari.

Negara-negara Teluk, yang terdiri daripada Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait, Oman, dan Qatar, telah menghadapi serangan dron dan peluru berpandu berulang kali daripada Iran sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sebagai tindak balas terhadap perang Amerika dan Israel ke atas Iran yang bermula pada 28 Februari.

Pegawai Saudi itu mengesahkan bahawa salah satu stesen pam di saluran paip penting timur-barat terkena serangan, menyebabkan pengurangan kapasiti pengepaman sebanyak 700,000 tong sehari.

Saluran paip Petroline terbukti sebagai talian hayat ekonomi penting semasa perang, dengan rangkaian paip sepanjang 1,200 kilometer (km) yang menghubungkan dua laluan air penting bagi perdagangan global, Teluk di sebelah timur dan Laut Merah di sebelah barat.

Pegawai yang bercakap dengan SPA berkata serangan berterusan membawa kepada pengurangan bekalan, memperlahankan pemulihan, dan menyumbang kepada peningkatan turun naik dalam pasaran minyak kerana ia menjejaskan keselamatan bekalan untuk negara pengguna.

Harga minyak melonjak selepas seharian aliran menurun pada 8 April, ketika dunia mempertimbangkan prospek gencatan senjata Iran-Amerika yang rapuh dan kemungkinan pembukaan semula sepenuhnya Selat Hormuz, titik transit minyak penting yang telah disekat oleh Iran semasa konflik.

Petroline mampu mengepam sehingga 7 juta tong minyak mentah sehari dan menjadi sangat penting dalam menyalurkan minyak ke pasaran antarabangsa selepas laluan melalui Selat Hormuz terjejas akibat tindakan Iran, di mana kira-kira 20 peratus bekalan minyak mentah global melalui laluan itu sebelum perang.

Pegawai tersebut berkata kemudahan pengeluaran minyak Manifa dan Khurais turut terjejas, mengurangkan kapasiti pengeluaran negara itu sebanyak 600,000 tong sehari.

Arab Saudi, pengeksport minyak mentah terbesar dunia, menghasilkan sekitar 10 juta tong sehari.

Serangan itu juga menyasarkan loji penapisan di Jubail, Ras Tanura, Yanbu dan Riyadh, “yang memberi kesan langsung kepada eksport produk minyak sudah ditapis ke pasaran global”, serta kemudahan pemprosesan gas, tambah pegawai itu.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu, dan Teheran berkata ia akan membuka semula laluan air Selat Hormus yang biasanya mengangkut satu perlima daripada minyak dan gas dunia.

Selat Hormuz bukan sekadar laluan perdagangan, malah, ia telah berubah menjadi alat tekanan geopolitik utama di tengah-tengah konflik di Teluk.

Harga minyak mentah terus meningkat dalam dagangan awal Asia susulan kebimbangan pelabur terhadap sekatan aliran perkapalan melalui Selat Hormuz, ketika gencatan senjata antara Iran dengan Amerika terus diuji oleh serangan berterusan Israel ke atas Lebanon.

Setakat 1 pagi GMT pada 10 April, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 0.87 peratus kepada AS$96.75 ($123.35 )setong. 

Niaga hadapan minyak mentah AS turut mencatat kenaikan lebih satu peratus.

Kebimbangan pasaran didorong oleh ketidaktentuan di laluan perkapalan strategik Selat Hormuz, yang mengendalikan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak global.

Sekatan trafik kapal di laluan berkenaan mencetuskan kebimbangan gangguan bekalan tenaga dunia.

Iran memanfaatkan gabungan kelebihan geografi dan ketenteraan untuk mengukuhkan pengaruhnya di kawasan tersebut.

Sebelum gencatan senjata dipersetujui, Encik Trump berkata beliau boleh “mengambil alih minyak di Iran” dan merampas hab eksport Iran di Pulau Kharg, ketika permusuhan di Timur Tengah berterusan masuk minggu kelima.

Beliau memberitahu Financial Times (FT) pada 29 Mac bahawa “keutamaannya adalah mengambil alih minyak”, membandingkannya dengan operasi ketenteraan Amerika di Venezuela pada awal 2026.

Operasi itu menyaksikan Amerika menguasai industri minyak negara Amerika Latin itu, susulan penangkapan pemimpinnya, Encik Nicolas Maduro.

“Kami mungkin ambil Pulau Kharg, mungkin tidak.

“Kami ada banyak pilihan. Ia juga bermakna kami terpaksa berada di Pulau Kharg untuk seketika,” ujar Encik Trump. - Agensi berita