Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengiktirafan Israel terhadap Somaliland cetus kemarahan negara Arab, Afrika

Majlis Keselamatan PBB adakan sidang kecemasan
Dec 29, 2025 | 2:40 PM
Somaliland, Israel, tengkarah, Arab
Penunjuk perasaan berhimpun dalam satu demonstrasi anti-Israel di Mogadishu, Somalia, pada 28 Disember 2025, sehari selepas Israel mengumumkan pengiktirafan wilayah Somaliland yang memisahkan diri daripada Somalia sebagai sebuah negara berdaulat dan menjalin hubungan diplomatik penuh. - Foto EPA

BAITULMAKDIS/NAIROBI: Keputusan Israel mengiktiraf wilayah Somaliland yang memisahkan diri daripada Somalia sebagai sebuah negara berdaulat telah mencetuskan kemarahan meluas di Afrika dan dunia Arab, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadual mengadakan sidang kecemasan Majlis Keselamatan bagi membincangkan langkah kontroversi itu.

Sidang kecemasan Majlis Keselamatan PBB dijadual berlangsung pada Isnin, 29 Disember, di bawah agenda “Ancaman terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa”, susulan permintaan rasmi pemerintah Somalia. Pengiktirafan Israel itu dikritik sebagai cubaan campur tangan dalam urusan kedaulatan dan integriti wilayah negara lain.

Israel menjadi negara pertama di dunia yang secara rasmi mengiktiraf Somaliland sebagai negara berdaulat pada 26 Disember lalu. Pengumuman itu dibuat selepas rundingan antara Israel dan kepimpinan Somaliland, dengan Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu turut menjemput Presiden Somaliland, Encik Abdirahman Mohamed Abdullahi, untuk melawat Israel.

Somaliland juga dilaporkan berikrar menyertai Perjanjian Abraham, satu inisiatif normalisasi hubungan dengan Israel yang ditaja Amerika Syarikat.

Langkah tersebut segera menerima kecaman keras daripada Kesatuan Afrika, Liga Arab, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), serta negara-negara seperti Mesir dan Turkey. Kesatuan Eropah turut menegaskan bahawa kedaulatan Somalia mesti dihormati.

Liga Arab dalam satu kenyataan menggesa Majlis Keselamatan PBB mengambil pendirian tegas terhadap apa yang disifatkannya sebagai pengiktirafan “haram” oleh Israel.

“Sebarang cubaan untuk memaksakan pengiktirafan secara unilateral merupakan satu campur tangan yang tidak boleh diterima dalam urusan dalaman Somalia dan mencipta preseden berbahaya yang mengancam keamanan dan kestabilan serantau serta antarabangsa,” kata Setiausaha Agung Liga Arab, Encik Ahmed Aboul Gheit.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas satu mesyuarat tergempar Liga Arab di Kahirah yang diadakan atas permintaan Somalia dan disokong beberapa negara anggota. Wakil daripada 21 negara Arab, Islam dan Afrika turut menyatakan penolakan bersama terhadap tindakan Israel itu.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Qatar, para menteri luar negara terbabit menyifatkan pengiktirafan Israel sebagai “tindakan serius” yang mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Tindakan ini melanggar prinsip undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB yang secara jelas menegaskan keperluan melindungi kedaulatan negara dan integriti wilayahnya,” menurut kenyataan itu, sambil menuduh Israel menunjukkan sikap “mengabaikan undang-undang antarabangsa secara terang-terangan”.

Kenyataan tersebut turut memberi amaran bahawa langkah itu boleh membawa “kesan serius terhadap keamanan dan keselamatan di Tanduk Afrika dan Laut Merah”. Negara-negara terbabit juga menegaskan sokongan penuh terhadap kedaulatan Somalia serta menolak sebarang langkah yang boleh menjejaskan kesatuan wilayah negara itu.

Mereka turut menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan mengaitkan pengiktirafan Somaliland dengan rancangan pemindahan paksa rakyat Palestin atau penggunaan pelabuhan di Somalia utara bagi tujuan ketenteraan.

GCC dalam kenyataannya menyifatkan tindakan Israel sebagai “pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa” dan “pencerobohan terang-terangan terhadap kedaulatan Somalia”.

“Pengiktirafan ini mencipta preseden berbahaya yang akan melemahkan asas kestabilan di rantau Tanduk Afrika dan membuka ruang kepada ketegangan serta konflik baharu,” kata Setiausaha Agung GCC, Encik Jasem Albudaiwi.

Pemerintah Somalia menegaskan bahawa Somaliland merupakan sebahagian tidak terpisahkan daripada wilayahnya, dan sebarang perjanjian atau penglibatan langsung dengan wilayah itu dianggap sebagai pelanggaran kedaulatan negara.

Pendirian ini disokong oleh PBB dan Kesatuan Afrika, walaupun realiti di lapangan menunjukkan Somaliland berfungsi sebagai entiti pentadbiran sendiri sejak mengisytiharkan kemerdekaan pada 1991.

Somaliland, yang terletak di utara Somalia berhampiran Selat Bab el-Mandeb yang strategik, mempunyai garis pantai sepanjang Teluk Aden dan bersempadan dengan Ethiopia serta Djibouti.

Walaupun mempunyai pemerintah sendiri, sistem keselamatan dan pentadbiran yang relatif stabil, wilayah itu gagal mendapatkan pengiktirafan antarabangsa selama lebih tiga dekad.

Langkah Israel itu juga dilihat mempunyai kepentingan geopolitik, dengan penganalisis menyatakan pengiktirafan Somaliland boleh memberi Israel sekutu strategik berhampiran laluan perkapalan penting dan dekat dengan Yemen. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg