MOGADISHU: Penduduk Mogadishu keluar mengundi pada 25 Disember dalam pilihan raya majlis perbandaran yang dianggap sebagai langkah penting ke arah pilihan raya nasional secara langsung pertama Somalia dalam tempoh lebih 50 tahun.
Pengundian itu berlangsung di tengah kawalan keselamatan ketat dan boikot oleh sebahagian besar tokoh pembangkang, sekali gus mencerminkan cabaran besar yang masih membayangi peralihan demokrasi negara Afrika Timur itu.
Pusat pengundian di seluruh Mogadishu dibuka seawal jam 6 pagi waktu tempatan, dengan barisan pengundi terbentuk sejak awal pagi. Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud, menyifatkan pilihan raya tersebut sebagai “babak baru dalam sejarah negara”, selepas puluhan tahun rakyat tidak diberi peluang memilih wakil mereka secara langsung.
Kira-kira 500,000 pengundi berdaftar layak mengundi bagi memilih 390 kerusi majlis daerah, dengan seramai 1,605 calon bertanding di 523 pusat pengundian di ibu negara. Anggota majlis daerah yang dipilih kemudiannya akan memilih Datuk Bandar Mogadishu.
Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan memaklumkan bahawa hampir 10,000 anggota keselamatan dikerahkan bagi menjamin kelancaran proses pengundian. Pihak berkuasa turut melaksanakan penutupan menyeluruh bandar, termasuk sekatan pergerakan kenderaan dan pejalan kaki, serta penggantungan sementara penerbangan masuk ke lapangan terbang utama Mogadishu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Encik Abdikarim Ahmed Hassan, memberi jaminan kepada pengundi bahawa langkah keselamatan yang diambil adalah mencukupi. “Pengundi boleh yakin sepenuhnya. Tahap keselamatan yang disediakan adalah 100 peratus,” katanya.
Walaupun keselamatan di Mogadishu dilaporkan bertambah baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan Somalia masih berdepan ancaman berterusan daripada kumpulan bersenjata al Shabaab yang bersekutu dengan al Qaeda. Kumpulan itu melancarkan serangan besar pada Oktober lalu, dan kembali menguasai beberapa kawasan selepas melancarkan ofensif pada Februari 2025.
Menteri Penerangan Somalia, Encik Daud Aweis, menyifatkan pilihan raya ini sebagai kebangkitan semula amalan demokrasi selepas berdekad-dekad terhenti. “Ini adalah tanda bahawa Somalia sedang bangkit dan bergerak ke hadapan,” katanya.
Namun, pengundian tersebut dibayangi kritikan keras daripada tokoh pembangkang utama yang memboikot proses berkenaan. Somalia kali terakhir mengadakan pilihan raya langsung pada 1969, beberapa bulan sebelum rampasan kuasa tentera yang membawa pemerintahan autoritarian selama lebih 30 tahun.
Selepas kejatuhan rejim Mohamed Siad Barre pada 1991 dan tercetusnya perang saudara, Somalia memperkenalkan sistem pilihan raya tidak langsung berasaskan suku kaum pada 2004.
Di bawah sistem itu, wakil suku kaum memilih ahli parlimen, yang kemudiannya memilih presiden. Sistem tersebut sering dikritik kerana membuka ruang kepada perebutan kuasa dan rasuah, namun dipertahankan sebagai mekanisme kompromi dalam negara yang terpecah oleh konflik dan pemberontakan bersenjata.
Presiden Hassan Sheikh Mohamud berjaya mendapatkan kelulusan parlimen bagi pindaan perlembagaan serta menubuhkan suruhanjaya pilihan raya kebangsaan bagi mengurus peralihan ke arah pengundian langsung. Langkah itu bagaimanapun mencetuskan penentangan kuat, termasuk daripada dua bekas presiden.
Bekas Presiden Sheikh Sharif Sheikh Ahmed menyifatkan proses pengundian di Mogadishu sebagai “malang” dan tidak inklusif. “Proses pendaftaran pengundi ini bersifat menyingkirkan pihak tertentu dan tidak mempunyai legitimasi,” katanya. Seorang lagi bekas presiden, Mohamed Abdullahi Mohamed, atau Farmaajo, memberi amaran bahawa langkah tersebut “membuka pintu kepada bahaya yang boleh mengancam keselamatan negara”.
Dua negeri anggota persekutuan yang penting, Puntland di utara dan Jubbaland di selatan yang bersempadan dengan Kenya, menolak sepenuhnya kerangka pilihan raya itu. Pemimpin pembangkang dari negeri-negeri tersebut bertemu di bandar pelabuhan Kismayo awal bulan ini dan mengancam untuk mengadakan pilihan raya nasional mereka sendiri sekiranya kerajaan pusat meneruskan rancangan tanpa persetujuan bersama.
Pengarah Eksekutif badan pemikir Somali Public Agenda, Mahad Wasuge, berkata kerajaan telah mempertaruhkan modal politik yang besar untuk mengadakan pilihan raya langsung. “Pilihan raya tempatan ini adalah kemenangan mudah kerana taruhannya rendah dan kerajaan menguasai landskap politik Mogadishu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa boikot pembangkang dan ketiadaan sokongan jelas daripada rakan antarabangsa merupakan isyarat amaran. “Ini lebih bersifat simbolik berbanding langkah substantif ke arah demokrasi nasional,” katanya.
Pengundian itu turut berlangsung ketika kebimbangan keselamatan semakin meningkat. Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran bahawa keupayaan al Shabaab untuk melancarkan serangan besar masih tidak terjejas. Majlis Keselamatan PBB baru-baru ini memperbaharui mandat misi pengaman Kesatuan Afrika yang disokong PBB di Somalia, namun misi tersebut berdepan kekurangan dana yang serius.
Amerika Syarikat, rakan keselamatan utama Somalia, turut menyuarakan kebimbangan terhadap situasi keselamatan. Wakil tetap Amerika ke PBB, Jeff Bartos, memberi amaran bahawa Washington mungkin tidak lagi meneruskan pembiayaan misi berkenaan. Pentadbiran Presiden Donald Trump juga telah memanggil pulang duta AS ke Mogadishu, satu langkah yang ditafsirkan sebagai pengurangan komitmen Amerika di Somalia.
Bagi sebahagian pengundi, hari pengundian itu tetap membawa makna besar. “Ini kali pertama saya mengundi. Saya sangat gembira dan datang awal pagi bersama ibu-ibu lain,” kata Addey Isak Abdi, 65, yang berjalan kaki ke pusat pengundian.
Pilihan raya di Mogadishu kini dilihat sebagai ujian awal sama ada Somalia benar-benar bersedia melangkah ke arah pengundian langsung di peringkat nasional, atau sekadar satu eksperimen politik di tengah konflik yang masih belum reda. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg