Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengkaji polemik dakwaan ijazah palsu Jokowi pilih berundur
JAKARTA: Doktor Tifauzia Tyassuma atau lebih dikenali sebagai Doktor Tifa memutuskan untuk tidak lagi terlibat secara aktif dalam polemik mengenai dakwaan ijazah palsu bekas Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (Jokowi), selepas kira-kira setahun menjalankan kajian dan melalui proses perundangan berkaitan isu itu.
Beliau berkata kini tiba masanya untuk kembali memberi tumpuan kepada profesionnya sebagai doktor dan penyelidik kesihatan selepas semua kajian yang menjadi tanggungjawabnya berhubung isu berkenaan diterbitkan.
Keputusan itu diumumkan menerusi saluran YouTube rasminya, Dokter Tifa Channel, pada 6 Ogos.
“Saya telah membuat keputusan bahawa tugas saya berkaitan persoalan ijazah ini telah selesai,” katanya.
Keputusan tersebut dibuat hampir setahun selepas penerbitan buku Kertas Putih Jokowi, yang dihasilkan bersama bekas Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Encik Roy Suryo, serta Encik Rismon Hasiholan Sianipar.
Buku itu mengandungi beberapa kajian daripada pelbagai bidang yang mempersoalkan keaslian dokumen akademik Jokowi.
Polemik mengenai ijazah Jokowi berlarutan sejak beberapa tahun lalu, tetapi kembali mendapat perhatian besar pada 2025 apabila beberapa pihak mendakwa terdapat kejanggalan pada ijazah dan tesis sarjana muda beliau dari Fakulti Perhutanan Universitas Gadjah Mada (UGM).
Antara dakwaan yang dibangkitkan ialah penggunaan jenis huruf pada bahagian tertentu tesis Jokowi yang didakwa tidak sepadan dengan teknologi percetakan pada era beliau menuntut di universiti itu, selain persoalan mengenai nombor siri ijazahnya.
UGM bagaimanapun berulang kali menolak dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa Jokowi adalah graduan sah universiti berkenaan.
Menurut rekod rasmi UGM, Jokowi memasuki Fakulti Perhutanan pada 1980 dengan nombor pelajar 80/34416/KT/1681 dan menamatkan pengajiannya pada 5 November 1985.
UGM turut menjelaskan bahawa sistem nombor ijazah ketika itu ditentukan oleh fakulti kerana belum terdapat sistem penomboran seragam di seluruh universiti.
Isu itu turut disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Polis Nasional Indonesia (Bareskrim Polri) selepas menerima aduan mengenai dakwaan pemalsuan ijazah Jokowi.
Dalam siasatan tersebut, polis memeriksa dokumen asal berkaitan pengajian Jokowi sejak beliau memasuki UGM sehingga menamatkan peperiksaan tesis, selain membandingkannya dengan dokumen milik rakan sekuliah yang memasuki universiti pada 1980 dan tamat pada 1985.
Pada 22 Mei 2025, Bareskrim mengumumkan bahawa pemeriksaan makmal forensik terhadap ijazah asal Jokowi mendapati dokumen itu asli dan sah.
Polis berkata pemeriksaan membabitkan antaranya bahan dan ciri keselamatan kertas, teknik percetakan, dakwat tulisan tangan, cap serta tandatangan, dengan dokumen Jokowi dibandingkan dengan ijazah tiga rakan seangkatannya di Fakulti Perhutanan UGM.
Walaupun hasil siasatan itu diumumkan, polemik berterusan dan membawa kepada beberapa proses undang-undang.
Encik Jokowi sendiri membuat laporan kepada Polis Metropolitan Jakarta pada 30 April 2025 berhubung dakwaan ijazah palsu yang dilemparkan terhadapnya.
Doktor Tifa kemudian menjadi antara individu yang berdepan proses perundangan berkaitan isu tersebut bersama Encik Roy dan Encik Rismon. Polis mengklasifikasikan mereka dalam satu kumpulan siasatan berkaitan dakwaan ijazah palsu Jokowi.
Menurut Doktor Tifa, sepanjang kira-kira 450 hari terlibat dalam isu itu, statusnya berubah daripada saksi kepada individu yang dilaporkan kepada polis, sebelum menjadi suspek dan kemudian tertuduh dalam kes dakwaan fitnah.
Beliau berkata antara perkembangan penting yang mempengaruhi keputusannya untuk berundur ialah keputusan Mahkamah Daerah Jakarta Timur pada 23 Julai lalu yang menerima bantahan awal pihak pembelaannya terhadap pertuduhan pendakwa raya.
Keputusan itu menyebabkan surat pertuduhan berkenaan perlu diperbaiki sebelum pendakwa raya mengemukakan pertuduhan baru.
Walaupun mengundurkan diri daripada kegiatan berkaitan polemik itu, Doktor Tifa menegaskan beliau tetap akan menghormati proses undang-undang yang masih berjalan.
Beliau juga bersedia hadir ke mahkamah sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pakar atau saksi fakta.
Doktor Tifa bagaimanapun berkata beliau tidak lagi bercadang melakukan kajian baru atau mengambil langkah secara bebas mengenai isu ijazah Jokowi di luar proses undang-undang.
Mahkamah Daerah Jakarta Timur pula menangguhkan pembacaan pertuduhan baru terhadapnya daripada 6 Ogos kepada 13 Ogos.
Buat masa ini, Doktor Tifa berkata beliau memilih untuk menyerahkan perkembangan selanjutnya kepada proses undang-undang dan kembali menumpukan perhatian kepada bidang perubatan dan penyelidikan kesihatan. - Agensi berita
