JAKARTA: Pihak Berkuasa Ibu Kota Nusantara (OIKN) telah menggariskan dua aspek penting yang memerlukan perhatian khusus, dalam usaha merealisasikan pertanian moden di ibu kota baharu (IKN) Nusantara, di Kalimantan Timur, menurut laporan.
“Pertama, adalah penting untuk menggunakan teknologi baharu bagi meningkatkan produktiviti aktiviti pertanian,” kata Ketua OIKN, Encik Bambang Susantono, di Jakarta pada Sabtu (25 November).
Kedua, teknologi baharu itu mesti konsisten dengan usaha memelihara alam sekitar, katanya.
“Kita tidak seharusnya lagi menggunakan racun perosak yang boleh memudaratkan alam sekitar, kerana pemerintah membayangkan Nusantara sebagai bandar hijau.
“Justeru, semuanya mesti mengikut prinsip alam sekitar,” tegasnya, dipetik agensi berita rasmi, Antara.
Encik Susantono kemudiannya menekankan kepentingan memupuk kerjasama, demi menyokong ketahanan makanan di ibu kota masa depan Indonesia.
“Kami tidak boleh bekerja secara berasingan, kerana kami perlu memberi perhatian kepada rantaian bekalan makanan.
“Oleh itu, adalah perlu untuk memikirkan bagaimana IKN Nusantara boleh bekerjasama dengan wilayah rakan kongsi, untuk memenuhi keperluan makanan di bandar,” katanya.
Beliau turut mengajak semua masyarakat yang menetap di tapak pembangunan IKN Nusantara untuk menjadi petani moden.
“Semua petani yang tinggal di wilayah Samboja, Loa Kulu, Loa Janan, dan Muara Jawa, akan menjadi penduduk IKN Nusantara.
“Justeru, saya berharap semua orang bersedia menjadi rakyat Nusantara,” katanya.
Ketua OIKN itu berkata, untuk berjaya, petani di IKN Nusantara harus menggunakan teknologi pertanian yang inovatif.
“Petani di Nusantara seharusnya tidak lagi menggunakan kaedah biasa, memandangkan anda akan menjadi rujukan negara.
“Semua orang akan melihat bagaimana petani di ibu kota bekerja,” katanya kepada petani Nusantara.- Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg