Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penguasa Palestin gantung operasi Al Jazeera atas dakwaan berbaur hasutan

Jan 2, 2025 | 11:20 AM
Seorang pekerja rangkaian berita dan saluran televisyen berpangkalan di Qatar, Al Jazeera, dilihat di pejabat saluran tersebut di Baitulmakdis. Penguasa Palestin (PA) mengarahkan penggantungan penyiaran rangkaian Al Jazeera yang berpusat di Qatar di seluruh wilayah Palestin
Seorang pekerja rangkaian berita dan saluran televisyen berpangkalan di Qatar, Al Jazeera, dilihat di pejabat saluran tersebut di Baitulmakdis. Penguasa Palestin (PA) mengarahkan penggantungan penyiaran rangkaian Al Jazeera yang berpusat di Qatar di seluruh wilayah Palestin - Foto AFP

RAMALLAH: Pihak Penguasa Palestin (PA) telah menghentikan sementara operasi saluran televisyen Qatar, Al Jazeera, di wilayahnya termasuk siaran mereka, dengan alasan penyebaran bahan yang dianggap “menghasut”,.

Demikian agensi berita Palestin, Wafa, pada 1 Januari.

Keputusan itu dibuat secara bersama oleh menteri kebudayaan, dalam negeri dan komunikasi Palestin.

Agensi berita Wafa menyatakan bahawa Al Jazeera menyiarkan bahan yang “mengelirukan dan menimbulkan perpecahan”, tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai kandungan yang dimaksudkan.

Keputusan itu dilaporkan sebagai sementara, namun tiada tarikh khusus diberikan untuk penghentian itu.

Pihak PA sebelum ini mengkritik Al Jazeera di atas liputan mereka terhadap konflik berlarutan antara pasukan keselamatan Palestin dengan pejuang bersenjata di kem Jenin, wilayah Tebing Barat yang diduduki Israel.

Al Jazeera memaparkan naratif yang merosakkan perpaduan rakyat Palestin dan menimbulkan ketegangan,” kata kenyataan daripada pihak Fatah, pecahan yang mengawal PA.

Mereka turut menyeru rakyat Palestin supaya tidak bekerjasama dengan saluran tersebut.

Dalam responsnya, Al Jazeera mengecam tindakan ini sebagai “cubaan untuk menghalang laporan mengenai situasi yang semakin memburuk di wilayah yang diduduki itu”.

“Kami menyeru pihak PA agar menarik balik keputusan ini dan membenarkan wartawan kami melaporkan tanpa gangguan di Tebing Barat,” kata Al Jazeera dalam satu kenyataan.

Keputusan itu dijangka tidak akan dikuatkuasakan di Jaluran Gaza yang dikawal oleh Hamas, kerana PA tidak mempunyai kuasa di kawasan tersebut.

Tindakan ini berlaku di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat terhadap Al Jazeera.

Pada September, tentera Israel menyerbu pejabat Al Jazeera di Ramallah dan memerintahkan penutupannya.

Pada Mei, Israel melarang operasi dan siaran salurannya dengan alasan ia menimbulkan ancaman terhadap keselamatan.

Di tengah-tengah tindakan itu, perangkaan yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Pusat Palestin (PCBS) menunjukkan bahawa populasi Gaza telah menurun sebanyak 6 peratus sejak perang dengan Israel bermula 15 bulan lalu.

Lebih 55,000 orang disahkan terbunuh, termasuk lebih 45,500 wanita dan kanak-kanak, manakala 11,000 lagi dilaporkan hilang.

“Israel telah melancarkan serangan berdarah terhadap Gaza yang memusnahkan kehidupan manusia, bangunan dan prasarana penting,” lapor PCBS.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Israel menolak data tersebut dan menyifatkannya sebagai “rekaan dan manipulasi untuk memburukkan nama Israel”.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini telah mengarahkan Israel agar mencegah tindakan genosid terhadap rakyat Palestin.

Namun, Israel berulang kali menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa ia mematuhi undang-undang antarabangsa dalam mempertahankan negaranya selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

PCBS juga melaporkan bahawa 22 peratus penduduk Gaza kini berada dalam tahap kekurangan makanan yang genting, termasuk 3,500 kanak-kanak yang berisiko maut akibat kekurangan zat makanan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg