Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel dikutuk sebabkan kematian dua wartawan Palestin

Jan 8, 2024 | 1:00 PM
MANGSA PEPERANGAN: Pengarang Aljazeera, Encik Wael Al-Dahdouh, mendakap anak perempuan dan anak lelakinya di upacara pengebumian anaknya, Encik Hamza Al-Dahdouh, seorang wartawan yang terbunuh dalam serangan Israel di Rafah, selatan Gaza.
MANGSA PEPERANGAN: Pengarang Aljazeera, Encik Wael Al-Dahdouh, mendakap anak perempuan dan anak lelakinya di upacara pengebumian anaknya, Encik Hamza Al-Dahdouh, seorang wartawan yang terbunuh dalam serangan Israel di Rafah, selatan Gaza. - Foto REUTERS

JALURAN GAZA: Rangkaian penyiar berita Aljazeera telah mengutuk kematian dua wartawan, seorang daripadanya pekerja bebas rangkaian itu, yang didakwa pihak berkuasa di Gaza telah terbunuh dalam serangan udara Israel ketika mereka dalam perjalanan dengan kereta bagi membuat liputan perang berhampiran Rafah.

Encik Mustafa Thuria adalah penyunting video untuk agensi berita Agence France-Presse (AFP) manakala Encik Hamza Al-Dahdouh ialah pengarang Aljazeera dan anak kepada ketua biro rangkaian TV di Gaza, Encik Wael Al-Dahdouh.

Seorang lagi pekerja bebas rangkaian itu, Encik Hazem Rajab, cedera dalam serangan itu.

Rangkaian media itu menuntut Israel supaya tampil bertanggungjawab atas kekejaman mereka.

Terdahulu dalam perang, Encik Wael Al-Dahdouh telah kehilangan isterinya, dua lagi anak dan seorang cucu. Beliau sendiri terselamat dalam serangan tersebut.

Rangkaian Aljazeera yang berpangkalan di Qatar berkata dalam satu kenyataan, pembunuhan terbaru itu menunjukkan “tanpa syak lagi keazaman tentera Israel untuk meneruskan serangan kejam terhadap wartawan dan keluarga mereka, bertujuan untuk menghalang mereka daripada melaksanakan misi mereka, melanggar prinsip kebebasan akhbar”.

Aljazeera menggesa “Mahkamah Jenayah Antarabangsa, pemerintah, pertubuhan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya meminta Israel bertanggungjawab atas jenayah kejamnya” dan menuntut “dihentikan penyasaran dan pembunuhan wartawan”.

Tentera Israel tidak mengulas mengenai serangan itu tetapi dalam satu kenyataan pada 16 Disember sebagai menjawab kematian seorang lagi wartawan Aljazeera di Gaza, tentera berkata: “Pasukan tentera Israel tidak pernah, dan tidak akan sekali-kali, sengaja menyasarkan wartawan.”

Dalam 10 minggu pertama perang di Gaza, 77 wartawan dan pekerja media telah terbunuh di kawasan itu, kata Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), sebuah badan pemerhati media antarabangsa.

Daripada angka itu, 70 adalah rakyat Palestin, empat (Israel) dan tiga (Lebanon).

“Tingginya bilangan wartawan yang terkorban dalam perang Israel-Gaza tidak dapat ditandingi dalam sejarah CPJ dan menggariskan betapa bahayanya keadaan untuk media di lapangan,” kata Presiden CPJ, Cik Jodie Ginsberg, dalam satu kenyataan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg