Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Penguasa Palestin sedia tadbir Gaza jika ‘huraian politik menyeluruh’ dicapai

Blinken, Abbas bincang serangan Israel di Gaza, senario masa depan wilayah jika Hamas kalah
Nov 06, 2023 | 04:31 PM



RAMALLAH: Penguasa Palestin (PA) sedia kembali berkuasa di Jaluran Gaza hanya jika “penyelesaian politik menyeluruh” konflik Israel-Palestin dapat dicapai, kata Presiden PA, Encik Mahmoud Abbas.


“Kami akan memikul sepenuhnya tanggungjawab kami dalam rangka kerja penyelesaian politik menyeluruh yang merangkumi Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmakdis Timur dan Jaluran Gaza,” kata beliau.

Encik Abbas dipetik agensi berita rasmi Palestin Wafa sebagai menyatakan demikian kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Anthony Blinken, dalam pertemuan mereka di Ramallah, ibu kota Tebing Barat, pada Ahad.


Encik Blinken, yang bertemu Encik Abbas sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Timur Tengah, sebelum itu mencadangkan bahawa “Pihak Berkuasa Palestin yang berkesan dan bertenaga semula” boleh mentadbir Jaluran Gaza, di samping menegaskan bahawa negara lain dan institusi antarabangsa juga boleh bertanggungjawab ke atas keselamatan wilayah itu, tanpa mengulas lanjut.

Jika gagasan Encik Blinken itu dilaksana, ia bermakna kembalinya Penguasa Palestin di Gaza, selepas Hamas merampas kuasa daripada PA 16 tahun lalu.

Sebagai sebahagian daripada lawatan kedua beliau ke rantau itu sejak perang antara Israel dan Hamas meletus, Encik Blinken dan Encik Abbas turut membincangkan serangan Israel di Gaza, serta kemungkinan senario masa depan untuk wilayah tersebut sekiranya Hamas kalah.

Encik Blinken bertemu Encik Abbas sehari selepas pertemuannya dengan wakil negara Arab, yang mengulangi tuntutan mereka supaya gencatan senjata segera dilaksana di Gaza.

Washington telah meminta Israel supaya melaksana gencatan senjata kemanusiaan di Jaluran Gaza untuk mencegah kematian orang awam selanjutnya dan membolehkan bantuan kemanusiaan di salurkan ke wilayah itu.

“Saya tidak mempunyai perkataan untuk menggambarkan pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza di tangan jentera perang Israel, yang mengabaikan prinsip undang-undang antarabangsa,” kata Encik Abbas kepada Encik Blinken.

Pemimpin Palestin itu menggesa gencatan senjata segera dan lebih banyak bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza.

Kumpulan militan Hamas adalah saingan parti Fatah pimpinan Encik Abbas, yang berada dalam gabungan tentera yang membentuk Pihak Berkuasa Palestin.

Encik Abbas turut berkata bahawa “penyelesaian ketenteraan dan keselamatan” tidak akan membawa lebih banyak keselamatan kepada Israel dan menegaskan bahawa keamanan hanya boleh dicapai dengan menamatkan pendudukan Israel dan menubuhkan sebuah negara Palestin.

Mengulas isu itu, Encik Blinken mengulangi “komitmen” Amerika untuk berusaha ke arah “merealisasikan aspirasi sah rakyat Palestin untuk penubuhan sebuah negara Palestin”.

Cadangan Amerika itu dibuat pada masa kelemahan besar bagi Pihak Berkuasa Palestin, yang menjalankan pemerintahan sendiri dengan banyak batasan di Tebing Barat.

Di Ramallah, Jenin dan bandar-bandar lain di wilayah itu, terdapat protes besar-besaran yang menggesa Encik Abbas meletak jawatan. Mereka menganggap beliau sebagai pemimpin yang tidak mempunyai kuasa dan tidak mengkritik pihak berkuasa Israel.

Selepas permulaan perang hampir sebulan yang lalu, Encik Abbas telah mengulangi bahawa tindakan Hamas tidak mewakili rakyat Palestin, walaupun sedang Israel menyerang Gaza. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >