Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Pengundi muda jadi tumpuan dalam pilihan raya Indonesia

Feb 05, 2024 | 05:31 AM



JAKARTA: Menjelang pilihan raya Indonesia yang dijadualkan pada 14 Februari, tumpuan semakin terarah kepada pengundi muda, terutama generasi milenium dan Gen Z, yang merupakan segmen penting dalam landskap politik Indonesia.


Menyedari bahawa pengundi muda memainkan peranan semakin penting dalam menentukan hasil pilihan raya, calon-calon presiden tidak lagi memberikan janji-janji kosong tetapi turut mengambil pendekatan lebih proaktif dalam memikat hati generasi itu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) sekitar 55 peratus daripada lebih 205 juta adalah pengundi muda berusia 17 hingga 40 tahun atau sekitar 114 juta pengundi.

Separuh daripada mereka merupakan pengundi kali pertama.

Sekitar 20 peratus daripada semua pengundi berdaftar adalah generasi milenial, sementara 22 peratus termasuk dalam Generasi Z.

Tidak hairanlah jika calon presiden menggunakan pelbagai strategi untuk menarik pengundi muda, termasuk menghadiri acara-acara masyarakat, berinteraksi secara langsung melalui wadah media sosial, serta melibatkan diri dalam isu-isu yang dianggap penting oleh golongan tersebut.

Generasi itu akan memilih tiga calon bersaing untuk menjadi presiden ekonomi terbesar Asia Tenggara yang seterusnya: mantan Gabenor Jakarta Encik Anies Baswedan; Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto; dan mantan Gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo.

Encik Prabowo didampingi Encik Gibran Rakabuming Raka sebagai calon naib presidennya.

Calon presiden parti pemerintah Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Encik Ganjar berganding dengan mantan Ketua Menteri Keselamatan Indonesia, Encik Mahfud MD.

Encik Anies Baswedan pula diiringi bakal timbalannya, Muhaimin Iskandar, pemimpin parti Islam terbesar di Indonesia, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB).

PIKAT PENGUNDI MUDA

Calon Presiden dan pasangan Naib Presiden Indonesia beralih ke wadah perkongsian video dan penyiaran penstriman langsung yang sangat popular, TikTok, untuk meraih sokongan pengundi muda Indonesia, yang menjadi majoriti kali ini.

Encik Anies mengadakan acara dalam talian dan juga fizikal di mana pengundi muda boleh bertanya secara langsung pandangan mengenai beberapa topik berbeza.

Encik Anies, berjanji membangunkan bandar-bandar di seluruh negara supaya mereka semaju Jakarta, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk 15 juta rakyat Indonesia.

Mantan pensyarah itu turut berjanji memberikan biasiswa dan subsidi kepada universiti supaya mereka dapat menurunkan yuran pengajian kepada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah yang dibayar oleh mahasiswa sekarang.

Encik Prabowo pula memilih anak muda, Encik Gibran, 36 tahun, anak Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, sebagai timbalannya.

Encik Prabowo menjanjikan lebih banyak pekerjaan dengan banyak sumber asli negara diproses dan dikembangkan menjadi produk akhir di dalam negeri berbanding mengeksportnya ke negara-negara lain dalam bentuk mentah.

Encik Ganjar pula berjanji menawarkan banyak program peningkatan kemahiran dan meningkatkan mutu sekolah vokasional supaya rakyat Indonesia boleh mendapatkan pekerjaan yang lebih baik di dalam dan di luar negara.

Penganalisis politik melihat generasi milenium dan Gen Z cenderung lebih kritis dan ragu-ragu terhadap janji-janji politik tradisional.

Mereka lebih cenderung mengambil pendekatan lebih teliti dan memerlukan bukti konkrit bahawa calon tersebut benar-benar mengutamakan kepentingan mereka.

Pengundi muda juga lebih peka terhadap isu-isu yang berkaitan dengan keadilan sosial, hak asasi manusia dan alam sekitar.

Mereka mengharapkan para pemimpin politik mempunyai pandangan progresif dan komitmen kukuh terhadap isu-isu itu.

Oleh itu, bagi para calon presiden, penting untuk tidak hanya memberi tumpuan pada janji-janji populis yang mudah dilakukan, tetapi turut menunjukkan kesanggupan menghadapi isu rumit dan sensitif yang dihadapi generasi muda Indonesia.

PILIHAN ANAK MUDA

Pengamat politik, Dr Saiful Mujani berkata, bakal calon naib presiden, Encik Mahfud, 66 tahun, lebih digemari dalam kalangan golongan muda berbanding calon naib presiden lain, Encik Gibran, 36 tahun dan Encik Muhaimin Iskandar, 57 tahun.

Encik Gibran meraih 76 peratus undian milenial dan 79 peratus undian generasi Z, manakala Encik Mahfud meraih 82 peratus undian milenial dan 83 peratus undian generasi Z.

Ini menurut tinjauan yang dijalankan oleh Lembaga Survei Indonesia (LSI), yang ditubuhkan Yayasan Pengembangan Demokrasi Indonesia (YPDI) dan bersifat bebas, tidak berpihak serta dan tidak meraih untung.

Lebih 1,600 peserta menyertai tinjauan tersebut.

Tinjauan itu menunjukkan kesukaan generasi Z terhadap Encik Muhaimin, sebanyak 61 peratus; Encik Mahfud MD, 83 peratus; dan Gibran, 79 peratus.

Sementara dalam kalangan milenial, Encik Muhaimin meraih 66 peratus undian; Encik Mahfud meraih 82 peratus; dan Encik Gibran pula 76 peratus.

Bagi generasi X pula, Encik Muhaimin mendapat 64 peratus undian; Endik Mahfud 83 peratus; dan Gibran 76 peratus.

Dalam kalangan generasi boomer, kesukaan terhadap Encik Muhaimin ialah 66 peratus, Encik Mahfud 89 peratus, dan Encik Gibran 74 peratus.

Dr Saiful menyimpulkan kebanyakan pengundi muda tidak melihat usia sebagai penentu.


“Kesimpulannya ialah bahawa perbezaan generasi itu tidak penting.

“Ramai pengundi muda memilih Encik Mahfud MD, sama seperti pengundi kanan. Dan pengundi muda juga cenderung lebih menyukai Encik Mahfud berbanding dua lagi calon naib presiden,” ujar Dr Saiful.

“Gibran, anak kepada Presiden Joko Widodo, yang dikatakan bakal menjadi calon naib presiden disebabkan usianya yang muda masih kalah kepada Encik Mahfud, kalau dilihat dari segi pilihan dalam kalangan anak-anak muda.

“Tidak boleh dikatakan Mahfud kurang disenangi dalam kalangan golongan milenial ke bawah. Malah tahap kesukaan terhadap Gibran dalam kalangan milenial dan Gen-Z adalah di bawah Mahfud,” tambah Dr Saiful.

Menurut kajian 2022 yang dijalankan Pusat Kajian dan Strategi Antarabangsa (CSIS), seramai 1,200 responden berumur antara 17 dengan 40 tahun menyatakan kesejahteraan awam dan penciptaan pekerjaan adalah dua daripada isu teratas yang mereka cari dalam keutamaan calon, diikuti pembanterasan rasuah dan kebebasan awam.

Menurut penyelidikan CSIS, 59 peratus responden mengatakan bahawa mereka mendapatkan maklumat utama mereka terutamanya dari media sosial.

Hanya 32 peratus berkata sumber maklumat utama mereka adalah televisyen. Laman web berita dan akhbar adalah sumber maklumat pilihan bagi 6.3 peratus dan 1 peratus daripada responden yang ditinjau secara berturut-turut.

Mereka inginkan seorang presiden yang dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan memastikan bahawa Indonesia tetap menarik untuk pelaburan.

Mereka juga mengharapkan seseorang yang dapat mengambil tindakan berhubung kenaikan kos sara hidup, pemilikan rumah dan yuran pengajian kolej.

Ketua Pegawai Eksekutif yayasan WWF Indonesia, Encik Aditya Bayunanda, berkata 97 peratus pengundi muda menimbang untuk menyokong calon yang komited terhadap pemuliharaan alam sekitar

“Berdasarkan tinjauan pada awal Disember 2023, sebanyak 75 peratus mengakui mempunyai kesedaran mengenai aspek alam sekitar yang diketengahkan calon dalam visi mereka manakala 36 peratus lagi mengaku kurang pemahaman,” katanya.

Tinjauan merangkumi 1,365 responden berumur 17 hingga 30 tahun itu, mencerminkan perspektif belia dengan 54 peratus daripada 204 juta pengundi pada pilihan raya 14 Februari itu terdiri daripada kumpulan milenium dan Gen Z. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >