JAKARTA: Tiga calon naib presiden Indonesia, bersemuka dalam perbahasan keempat musim kempen. Kali ini mereka membahaskan isu berkaitan tenaga, sumber asli, makanan, cukai karbon, pertanian, alam sekitar dan masyarakat orang asli.
Calon naib presiden, Encik Muhaimin Iskandar, pertama berucap, diikuti Datuk Bandar Surakarta, Encik Gibran Rakabuming Raka.
Kemudian, Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Encik Mahfud MD.
Buat pertama kali, perbahasan pada Ahad 21 Januari dikendalikan dua wartawan wanita, Cik Retno Pinasti dan Cik Zilvia Iskandar.
Memandangkan kepentingan untuk orang awam, penganalisis berkata, isu makanan menjadi tumpuan perbahasan, terutama disebabkan pelbagai halangan yang timbul daripada kemerosotan pengeluaran beras dan kegagalan negara mengekang import makanan, seperti yang dibayangkan oleh pemerintah.
Pakar-pakar berkata isu bekalan makanan ini mendorong kepada perbahasan yang tercetus dari idea pentadbiran Presiden Joko “Jokowi” Widodo, bermula pada 2020.
Makanan menyumbang sebahagian besar daripada perbelanjaan pengguna dan merupakan faktor penting inflasi di Indonesia.
Justeru itu dasar berkaitan bekalan makanan, termasuk pengeluaran domestik dan import, memainkan peranan yang besar dalam perbincangan politik.
Encik Muhaimin, yang berpasangan dengan calon presiden, Encik Anies Baswedan, berjanji untuk membatalkan program membekal makanan, dan sebaliknya ingin mengagihkan tanah kepada petani, jika dipilih.
Beliau memulakan perbahasan dengan mengatakan Indonesia telah mengabaikan petani, berjuta-juta daripada mereka mempunyai kurang daripada satu hektar untuk diusahakan. Sementara yang lain mempunyai lebih daripada 500 hektar.
Ini dilihat sebagai sindiran terhadap Encik Prabowo, yang mengendalikan projek estet makanan pemerintah.
“Ini mesti dihentikan,” tegas Encik Muhaimin, untuk menangani isu makanan negara. Tambahnya, program ladang makanan negara telah membawa kepada konflik dan kerosakan alam sekitar.
Encik Mahfud MD, pasangan calon presiden, Encik Ganjar Pranowo, juga mengkritik projek itu sepanjang musim berkempen.
Beliau memulakan perbahasan dengan menunjukkan keperluan untuk memperoleh manfaat terbesar “untuk rakyat” daripada sumber asli Indonesia.
Beliau menegaskan bahawa negara mempunyai perjalanan yang jauh untuk mencapai sara diri dalam bekalan makanan, manakala jumlah tanah yang dimiliki oleh petani kecil, semakin mengecil.
Beliau mengkritik pelaburan asing yang mengabaikan isu alam sekitar dan sosial.
Encik Mahfud juga berkata program estet makanan, “merosakkan alam sekitar dan tidak memberi manfaat kepada kita”.
Namun, Encik Prabowo Subianto, yang memilih Encik Gibran Rakabuming Raka sebagai pasangannya, telah giat mempertahankan program itu, dan berikrar untuk meneruskannya.
Satu lagi isu sensitif politik ialah subsidi tenaga, yang bertujuan memastikan bahan api dan elektrik mampu milik walaupun untuk golongan kurang berkemampuan.
Namun, untuk menyediakan bahan itu kepada pengguna pada harga yang murah, membebankan belanjawan negara dan mengurangkan insentif untuk pemuliharaan, sekali gus menghalang usaha peralihan tenaga di Indonesia.
Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan Ekonomi dan Kewangan (Indef), Encik Tauhid Ahmad memberitahu akhbar The Jakarta Post, isu subsidi ini mencetuskan perbahasan hangat antara calon.
Encik Gibran berikrar “meneruskan dan memperbaiki dasar industri hiliran” yang diusahakan bapanya, Presiden Jokowi.
Beliau menegaskan bahawa Indonesia mempunyai rizab mineral yang besar seperti nikel dan timah dan berjanji memproses bahan mentah tersebut jika dipilih.
Menjawab soalan pertama daripada ahli panel, Encik Gibran menyatakan sokongan bagi cukai karbon dan pengumpulan dan penyimpanan karbon (CCS).
“Kita tidak seharusnya bergantung kepada bahan api fosil, tetapi mendorong tenaga boleh diperbaharui, seperti biofuel,” kata Encik Gibran.
“Kita perlu mendorong pembangunan industri hiliran, tetapi mengekalkan keseimbangan dengan alam sekitar.”
Ketiga-tiga pasangan calon itu telah menyatakan hasrat mereka, untuk meneruskan usaha peralihan tenaga di Indonesia ketika negara itu berusaha mendapatkan dana asing untuk menghentikan lebih awal loji janakuasa arang batu, dan untuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg