Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasyarakat Islam AS bimbang serangan kebencian terhadap calon Senator Muslim
Kempen berunsur Islamofobia semakin meningkat menjelang pilihan raya 3 November; pemimpin masyarakat Islam gesa pengundi menolak politik kebencian melalui peti undi
Masyarakat Islam AS bimbang serangan kebencian terhadap calon Senator Muslim
DETROIT (Michigan): Masyarakat Islam di Amerika Syarikat semakin bimbang terhadap peningkatan serangan kebencian dan sentimen anti-Islam menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November, khususnya selepas calon Parti Demokrat bagi kerusi Senat Michigan, Encik Abdul El-Sayed, menjadi sasaran serangan berunsur agama dan perkauman.
Bagaimanapun, pemimpin masyarakat Islam menegaskan bahawa mereka tidak akan tunduk kepada ugutan, sebaliknya bertekad menggunakan kuasa undi untuk menolak diskriminasi dan politik kebencian.
Kemenangan Encik El-Sayed, seorang doktor berketurunan Mesir yang dilahirkan dan dibesarkan di Michigan, berpotensi menjadikannya Senator Islam pertama dalam sejarah Amerika.
Beliau kini bersaing dengan calon Parti Republikan, Encik Mike Rogers, dalam pertandingan sengit yang turut berpotensi menentukan parti mana menguasai Senat.
Menurut tinjauan terbaru, Encik El-Sayed mendahului Encik Rogers dengan kelebihan tujuh mata peratusan.
Namun, persaingan itu semakin dibayangi serangan terhadap identiti agama dan keturunan Arab beliau.
Presiden Donald Trump sendiri berulang kali menggelar Encik El-Sayed sebagai seorang “jihadis” dan mendakwa beliau mempunyai hubungan dengan Ikhwanul Muslimin, sebuah gerakan politik Islam yang berasal dari Mesir.
Bagaimanapun, tiada bukti diketahui yang mengaitkan Encik El-Sayed dengan pertubuhan tersebut.
Dalam satu perhimpunan di Port Huron, Michigan, minggu lalu, Encik Trump mendakwa calon Demokrat itu mahu memperkenalkan undang-undang syariah di Amerika.
Beliau turut mempersendakan nama Encik El-Sayed dengan sengaja memanggilnya “Mohammed”.
Serangan itu mendapat kecaman pemimpin masyarakat Islam yang menyifatkannya sebagai usaha menimbulkan ketakutan terhadap orang Islam demi meraih sokongan politik.
Sebuah laporan baru Majlis Hal Ehwal Awam Islam (MPAC) memberi amaran mengenai peningkatan kegiatan kumpulan pelampau kanan yang menyasarkan masyarakat Islam, terutama menjelang pilihan raya.
Laporan sembilan halaman yang disediakan Pusat Keselamatan, Teknologi dan Dasar itu mendokumentasikan beberapa kejadian, termasuk perhimpunan provokasi di luar masjid, ugutan terhadap penduduk Islam, kegiatan pengawasan serta penyebaran dakwaan kononnya berlaku usaha “pengambilalihan Islam” di Amerika.
Menurut MPAC, tindakan tersebut boleh menakutkan pengundi Islam dan menghalang mereka daripada keluar mengundi.
Laporan itu turut memberi amaran bahawa provokasi sedemikian boleh dijadikan alasan untuk meningkatkan penguatkuasaan imigresen, pengawasan polis atau campur tangan pemerintah Persekutuan.
Michigan menjadi tumpuan utama kerana negeri itu mempunyai antara komuniti Arab-Amerika terbesar di negara tersebut.
Pada Ogos lalu, aktivis pelampau kanan, Encik Jake Lang, menganjurkan perhimpunan anti-Islam di Dearborn, sebuah bandar yang mempunyai ramai penduduk Islam.
Polis campur tangan dan menahan 22 individu susulan kejadian itu.
Dalam kejadian berasingan, kumpulan pelampau Ku Klux Klan (KKK) turut mengedarkan ribuan risalah di Dearborn Heights, sebuah kawasan pinggir bandar Detroit yang mempunyai ramai penduduk Islam.
MPAC menggesa masyarakat Islam supaya mengelakkan konfrontasi dengan kumpulan provokasi, melaporkan kegiatan mencurigakan dan keluar mengundi secara berkumpulan demi keselamatan.
Datuk Bandar Dearborn, Encik Abdullah Hammoud, berkata masyarakat Islam semakin kerap menerima ancaman, termasuk melalui media sosial dan panggilan telefon.
Menurut beliau, jumlah ancaman terhadap penduduk Dearborn jauh lebih tinggi daripada yang diketahui masyarakat umum.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa cara terbaik menolak sentimen anti-Islam ialah dengan memilih Encik El-Sayed ke Senat.
Beliau menyifatkan calon Demokrat itu sebagai rakyat Amerika yang berkelayakan tinggi, memiliki ijazah perubatan dan doktor falsafah dalam kesihatan awam.
Aktivis masyarakat Arab dan Islam, Cik Suehaila Amen, pula berkata keadaan sekarang lebih membimbangkan berbanding tempoh selepas serangan pengganas 11 September 2001.
Menurutnya, serangan kebencian bukan lagi terbatas kepada kumpulan pelampau, malah semakin mendapat tempat dalam arus perdana politik Amerika.
Beliau menegaskan bahawa masyarakat Arab dan Islam merupakan sebahagian daripada masyarakat Amerika dan tidak sepatutnya dianggap sebagai orang luar.
Anggota Kongres Demokrat, Cik Rashida Tlaib, turut melahirkan kebimbangan terhadap kesan kempen berunsur perkauman kepada kanak-kanak Islam.
Beliau berkata keluarganya terpaksa menutup iklan politik ketika menonton perlawanan bola sepak bagi mengelakkan anak-anaknya terdedah kepada mesej kebencian.
Sementara itu, Encik Rogers mempertahankan tindakannya membangkitkan latar belakang Encik El-Sayed atas alasan keselamatan negara.
“Ini bukan mengenai cara anda bersembahyang, tetapi cara anda berfikir,” katanya kepada wartawan selepas satu perdebatan pilihan raya.
Senator Republikan, Encik Ted Cruz, turut mendakwa kemenangan Encik El-Sayed boleh menimbulkan risiko keselamatan sekiranya beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Perisikan Senat.
Namun, Encik El-Sayed menolak serangan tersebut sebagai cubaan mengalih perhatian pengundi daripada isu sebenar yang menjejas kehidupan rakyat.
Antaranya termasuk peningkatan harga petrol, kos sara hidup dan kesan perang AS dengan Iran.
Satu tinjauan Michigan State University mendapati kira-kira 38 peratus bakal pengundi menyatakan mereka kurang cenderung menyokong calon beragama Islam.
Pengarah Komunikasi American Muslims for Palestine, Encik Abdelhalim Abdelrahman, menyifatkan serangan terhadap Encik El-Sayed sebagai Islamofobia yang menjijikkan.
Menurutnya, nama dan identiti Islam calon tersebut seolah-olah dijadikan alasan untuk mempersoalkan kesetiaannya kepada negara.
Bagi masyarakat Islam Michigan, pilihan raya 3 November bukan sekadar persaingan merebut kerusi Senat.
Sebaliknya, ia menjadi ujian penting terhadap penerimaan masyarakat Amerika terhadap kepelbagaian agama, hak politik golongan minoriti dan masa depan demokrasi negara itu.